Malaysia mengikat Hong Kong 1-1 di Stadium Siu Sai Wan, Hong Kong, semalam sekali gus meneruskan rekod tanpa kalah dalam tiga perlawanan bola sepak persahabatan sepanjang tahun ini. Sentuhan berbisa penyerang muda Terengganu, Abdul Hadi Yahya seperti mana dia menerajui Liga Super musim ini, menyerlah dengan jaringan penyamaan buat skuad negara pada minit ke-66 setelah menggantikan Safee Sali.
Tuan rumah bagaimanapun mengejutkan anak buah K. Rajagobal yang sedang dalam persediaan menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2014, dengan gol Siu Ki Chan, enam minit terdahulu. Keputusan seri dalam perlawanan yang disaksikan kurang 600 penonton ini turut menyekat hasrat Hong Kong untuk menebus kekalahan 2-0 kepada juara Piala Suzuki AFF 2010 ini dalam persahabatan pertama, 9 Februari lalu. Satu lagi perlawanan persahabatan pada 26 Mac lalu menyaksikan Malaysia turut diikat 1-1 oleh juara Liga Singapura, Etoile FC dari Perancis di Singapura.
Malaysia akan menghadapi Myanmar dalam persahabatan seterusnya, kemungkinan di Kota Bharu pada 18 Jun ini sebelum berdepan ujian sebenar Kelayakan Piala Dunia dengan Taiwan, 29 Jun dan 3 Julai.