Betol-betol Hangat! Senyuman dan Ketegasan “Antara Hikmah dan Ibrah”

Oleh Kaki Wayang on



Bukan sukar untuk menghadiahkan senyuman, tetapi kita sendiri menyukarkan senyuman itu terpamer di wajah kita. Hati mana yang tidak tenang, apabila sedang dalam kekusutan kita masih lagi boleh tersenyum kepada rakan-rakan. Senyuman itu adalah sebuah ciptaan yang paling indah yang Allah pernah ciptakan, malahan senyuman juga adalah kuntuman-kuntuman indah yang sentiasa Rasulullah persembahkan.

Siapa tidak kenal dengan Muhammad bin Abdullah. Nabi Muhammad saw. adalah manusia sempurna yang patut diteladani segala sifat, sikap, dan tingkah lakunya. Ada beberapa hal menarik pada diri baginda yang jarang diungkapkan oleh orang ramai iaitu mengenai senyum Rasulullah. Sepintas lalu hal itu mungkin nampak kecil dan tidak bererti. Tetapi apabila dikaji sebenarnya senyuman Rasulullah memberi impak positif yang sungguh luar biasa. Hikmahnya, banyak kejayaan Rasulullah dalam misinya sebagai penyebar risalah Tauhid disebabkan oleh senyuman dan keramahan baginda. Disebabkan itu, Rasulullah dapat mempengaruhi orang ramai sehinggakan baginda dicintai dan disegani oleh kawan dan juga lawan.

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjJCpsxTvMynPwlPQp0k5kwrY4pALdp-PVQvM7ktHDywa1jk8fqy2uzPHnGPCjR1LrxOMfd8lCrFJ9ez4mLiT_WWu3ic-wzeE4eaaButaGUHV5fWbmlyuTiQ1r5FhFk9C3Sy096A7lInLc/s1600/bayi_18.jpg

Para sahabat adalah saksi kehidupan Rasulullah s.a.w yang penuh dengan senyuman. Antara sahabat besar yang pernah menceritakan tentang betapa indahnya senyuman Rasulullah ialah Saidina Umar. Kata Saidina Umar, “Rasullullah s.aw tersenyum dan baginda adalah orang yang paling bagus giginya”(diriwayatkan Ibnu Hibban di dalam sahihnya). Manakala seorang lagi sahabat Rasulullah yang bernama Abdullah bin Al-Harist menyatakan, “Tidak pernah aku melihat seseorang yang lebih banyak tersenyum daripada Rasulullah s.a.w.” (Riwayat At-Tirmidzi)

Cucu kesayangan baginda, Saidina Husein juga ada menggambarkan bagaimana sikap Rasulullah sepertimana dalam sebuah hadith yang direkodkan oleh Imam Tirmidzi, beliau berkata, “Aku bertanya kepada Ayahku( Saidina Ali ra) tentang adab dan etika Rasulullah s.aw. terhadap orang-orang yang bergaul dengan baginda. Ayahku mengatakan, ‘Baginda senantiasa tersenyum, budi pekerti lagi rendah hati, beliau bukanlah seorang yang kasar, tidak suka berteriak-teriak, bukan tukang cela, tidak suka mencela makanan yang tidak disukainya. Siapa saja mengharapkan pasti tidak akan kecewa dan siapa saja yang memenuhi undangannya pasti akan sentiasa puas…..”

Tambahan itu, Rasulullah walaupun dalam keadaan marah baginda tetap mempamerkan senyumannya, hatta kepada orang yang baginda tidak sukai. Perkara ini pernah direkodkan oleh Imam Bukhari disebukan bahawa Saiditina Aisyah r.a berkata, “Ada seorang lelaki yang meminta izin untuk bertemu dengan Rasulullah. Ketika baginda melihat orang itu dari jauh ,maka beliau bersabda, “Dia adalah seburuk-buruk saudara dan anak dalam kerabat”. Namun ketika orang (Uyainah) itu sudah duduk, baginda memberikan senyuman di wajah dan menerima dengan baik hati kedatangan orang itu. Ketika orang itu sudah pergi, Aisyah berkata kepada Rasulullah, “Wahai Rasulullah, ketika kau melihat orang itu tadi dari jauh engkau berkata begini dan begitu. Tapi kemudian engkau berwajah ceria setelah berada di hadapannya dan menerima kedatangannya dengan baik hati.”. Kemudia Rasulullah bersabda “Wahai Aisyah, bilakah engkau melihatku berbuat tidak baik?.”

http://madrasahperadaban.files.wordpress.com/2010/05/baby-massage-smile.jpg

Imam al-khataby ketika mensyarahkan hadith ini, beliau berkata, “Hadith ini dilihat dari sudut adab dan ilmu. Ucapan Rasulullah tentang diri Uyainah tentang sesuatu gambaran yang tidak disukainya secara jelas disebut GHIBAH. Ghibah ini berlaku diantara sebahagian orang dari umat islam terhadap sebahagian yang lain. Namun begitu, perlakuan baginda ini adalah menjelaskan dan mengungapkannya dalam bentuk nasihat dan kasih sayang baginda terhadap umatnya. Tetapi kerana baginda sudah dianugerahi sifat kemurahan hati dan akhlak yang baik, maka baginda memperlihatkan wajah yang beseri dan tidak menghadapi kesukaran berhadapan dengan orang yang tidak disukainya. Baginda bertindak sebegitu agar umat Islam meniru perbuatan baginda, agar dapat dihindari keburukan yang boleh menimpa umatnya dan mereka boleh selamat dari kejahatan dan tipu daya.” (Fathul Bari, 10/469).

Begitu indah akhlak Rasulullah, walaupun seseorang itu tidak disukai oleh baginda namun baginda tetap mempamerkan senyuman dan menyambut kedatangan Uyainah dengan ceria. Oleh sebab itu Saiditina Ai’syah menkhabarkan bahawa sesungguhnya akhlak Rasulullah adalah aklak al-Quran, sepertimana yang direkodkan dalam hadith Sahih Muslim. Sebagai umatnya yang mengaku bahawa baginda adalah sebaik-baik manusia dan seorang Nabi dan Rasul, tidakkah kita malu kerana tidak mengikut perbuatan baginda yang sentiasa menghadiahkan senyuman kepada orang ramai.

Sesungguhnya beruntunglah mereka yang mengikuti perbuatan Rasulullah kerana harga sebuah senyuman tidak ternilai dengan wang ringgit. Allah s.w.t berfirman dalam surah al-Ahzab ayat 21, “Sesungguhnya telah ada pada diri Rasullullah itu suri tauladan yang baik bagi kalian(iaitu) bagi orang-orang yang mengharap(rahmat) ALLAH dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut ALLAH”

Malahan baginda Rasulullah s.a.w berkata, “Tersenyum ketika bertemu dengan saudara kalian adalah termasuk ibadah.” (Direkodkan Imam Tirmidzi, Ibnu Hibban, dan Al-Baihaqi)

Walaupun baginda adalah seorang insan mulia yang sentiasa mempamerkan senyumannya kepada orang ramai, namun dalam beberapa keadaan baginda tidak akan senyum. Lebih-lebih lagi apabila hukum-hukum Allah dipermainkan dan dilanggar oleh umatnya. Bukan sahaja senyuman tidak dihadiahkan, tetapi wajah baginda akan bertukar serta-merta menjadi merah kerana kemarahan. Menurut Saiditina Aisyah sepertimana yang direkodkan oleh Imam Muslim dalam Sahihnya, beliau berkata, “Pada suatu hari, Rasulullah baru kembali dari sebuah musafir. Sebelumnya aku telah meletakkan tabir di pintu rumahku dengan langsir tipis yang bergambar. Ketika baginda melihat gambar tersebut, Rasulullah terus mengoyakkannya hingga berubah rona wajah baginda, kemudian baginda berkata, “Wahai ‘Aisyah ! sesungguhnya orang yang paling keras siksanya di sisi Allah pada hari kiamat adalah orang-orang yang meniru ciptaan Allah”.

Selain itu, ketegasan baginda juga dapat dilihat dalam sebuah hadith yang direkodkan oleh Imam Bukhari dan Muslim tentang seorang wanita dari kabilah Makhzumiyah yang telah mencuri. Kaum Quraisyh berasa binggung dengan permasalahan tersebut kerana mereka tahu bahawa hukuman pencuri mengikut undang-undang Islam ialah tangan pencuri tesebut harus dipotong (mengikut syarat-syarat yang ditetapkan). Mereka bertanyakan kepada sesiapa yang berani berjumpa dengan Rasulullah dan memohon baginda melepaskan wanita tersebut. Kemudian sebahagian dari mereka menyarankan agar Usamah bertemu dengan Rasulullah, kerana Rasulullah menyayangi Usamah.

Maka Usamah pun pergi dan berbicara kepada Rasulullah saw. untuk minta pembelaan atas wanita itu. Kemudian Rasulullah saw. bersabda, “Jadi kamu ingin memohon syafaat (pebelaan) terhadap salah satu dari hukum Allah?” Setelah mengucapkan ayat tersebut, baginda berdiri dan berkhutbah, “Wahai manusia! Sesungguhnya yang menyebabkan binasanya umat-umat sebelum kalian ialah, apabila mereka mendapati ada orang mulia yang mencuri, mereka membiar-kannya. Tetapi apabila mereka mendapati orang lemah di antara mereka yang mencuri, mereka akan menjatuhkan hukuman kepadanya. Demi Allah!, sekiranya Fatimah binti Muhammad yang mencuri, nescaya aku akan memotong tangannya.”

Oleh itu, marilah kita menjadikan senyuman dan ketegasan Rasulullah sebagai Ibrah dan dalam masa yang sama menilai hikmah yang ada disebaliknya. Senyumlah, kerana senyuman tidak pernah mengurangkan rezeki sesiapa, malahan dengan senyuman hati kita akan berasa tenang dan sentiasa disenangi oleh orang ramai. Manakala, bertegaslah dalam beberapa keadaan agar agama tidak diperkotak-katikkan.

Sumber: Senyuman dan Ketegasan Rasulullah

Mengenai Penulis:

Kaki Wayang mula terlibat dan serius dalam dunia penulisan kreatif sejak tahun 2006. Beliau juga terlibat dalam penciptaan lagu dan lirik lagu Nasyid dan pernah menjulang nama Politeknik Muadzam Shah apabila menjuarai Pertandingan Lagu-lagu Patriotik di PNM, Kuala Lumpur pada tahun 2007.

Ikuti perkembangan terbaru beliau melalui @ Blog Paling Hangat! | Facebook

Comments
0 Comments

{ 0 Komen Membina!... read them below or add one }

Post a Comment