Edisi Sentap! Apek sudah menduga sepakan Ferdinand!

Oleh Kaki Wayang on

 

Tiap kali disandarkan harapan, penjaga gol utama negara, Khairul Fahmi Che Mat tidak pernah mengecewakan malah dia sekali lagi menjadi watak penting kepada kejayaan skuad bola sepak negara yang meraih pingat emas di Sukan SEA XXVI Indonesia 2011. 

Selain cemerlang mengawal asakan hebat pemain-pemain Garuda Muda sepanjang 120 minit selepas rakan sepasukan bagaikan sudah kehabisan tenaga, Khairul yang lebih dikenali sebagai Apek dilihat menjadi faktor penting membawa skuad negara memenangi pertarungan sepakan penalti selepas kedudukan terikat 1-1 sehingga penghujung perlawanan.

Pada sepakan penalti terakhir Indonesia yang diambil penyerang gantian Ferdinand Sinaga, Apek berkata, melalui gerak hatinya, dia sudah dapat membaca arah tendangan pemain berkenaan.

''Pada situasi semalam, saya sudah dapat duga arah sepakan yang akan diambil oleh dia (Ferdinand) apabila tengok gaya dia meletakkan bola. ''Saya memberikan fokus lebih 100 peratus untuk cuba menyelamatkan sepakan tersebut kerana sedar itu sepakan terakhir oleh mereka (Indonesia). ''Alhamdulilah, telahan saya pada sepakan terakhir benar-benar tepat dan apabila Baddrol (Bakhtiar) berjaya mengambil sepakan, saya cukup gembira kerana dapat membantu negara menyumbangkan emas," katanya.

Malaysia muncul juara dengan keputusan 4-3 mengetepikan Garuda Muda di Stadium Gelora Bung Karno melalui penentuan sepakan penalti.

Walaupun telah menyumbangkan dua kejayaan berturut-turut selepas menjuarai Piala AFF pada tahun lalu, Apek mengakui, dia belum lagi puas memberikan lagi kejayaan kepada pasukan negara.

''Selepas membantu memenangi emas kepada negara dan menjuarai Piala AFF, saya rasa masih banyak lagi saya boleh berikan kepada skuad negara terutama kita masih berada dalam saingan kelayakan Olimpik. ''Kini saya berhasrat kita mampu melakukan sesuatu pada saingan kelayakan Olimpik, saya harap kita boleh mengejutkan Syria. ''Soal penat dan jadual padat harus ketepikan dahulu, ia tidak boleh dijadikan alasan, apa yang lebih mustahak kita mesti capai satu keputusan yang membanggakan pada perlawanan esok (hari ini)," katanya.

Mengenai Penulis:

Kaki Wayang mula terlibat dan serius dalam dunia penulisan kreatif sejak tahun 2006. Beliau juga terlibat dalam penciptaan lagu dan lirik lagu Nasyid dan pernah menjulang nama Politeknik Muadzam Shah apabila menjuarai Pertandingan Lagu-lagu Patriotik di PNM, Kuala Lumpur pada tahun 2007.

Ikuti perkembangan terbaru beliau melalui @ Blog Paling Hangat! | Facebook

Comments
0 Comments

{ 0 Komen Membina!... read them below or add one }

Post a Comment