Betol-betol Gempak! Adele dirompak!

Oleh Kaki Wayang on

 
SEDARI awal lagi, nama penyanyi yang berasal dari Tottenham, England ini disebut-sebut dan berpotensi besar untuk mendominasi senarai pencalonan akhir Anugerah Grammy Ke-54. Apatah lagi dengan kejayaan album keduanya, 21 yang merupakan album terlaris dengan penjualan melebihi empat juta salinan di Amerika Syarikat.

Ternyata ramalan itu benar belaka apabila Adele menerima enam pencalonan termasuk tiga kategori utama iaitu Rakaman, Lagu dan Album Terbaik sewaktu pengumuman pada 30 November lalu. Dengan tercalon dalam tiga kategori utama dalam Anugerah Grammy itu, Adele sememangnya kini merupakan calon utama untuk menang besar pada malam itu nanti.

Menerusi lagu popularnya, Rolling In The Deep, Adele dicalonkan untuk Rakaman dan Lagu Terbaik sementara album 21 pula bakal bersaing hebat dengan empat calon lain bagi merebut gelaran Album Terbaik.

Namun, persoalan yang timbul apabila ada pihak yang seolah-olah merasakan Adele bagaikan ‘dirompak’ apabila hanya menerima enam pencalonan walhal sebenarnya dia mampu meraih lebih banyak pencalonan. Ini berbeza dengan penyanyi rap, Kanye West yang mengungguli senarai pencalonan kali ini apabila menerima tujuh pencalonan tetapi tidak untuk kategori Album dan Rakaman Terbaik.

Ada yang merasakan lagu-lagu di dalam album 21 tidak dipromosikan sebaiknya dan hanya menumpukan kepada Rolling In The Deep sebagai satu-satunya umpan untuk pencalonan Grammy kali ini. “Jika diperhatikan, genre yang diketengahkan oleh Adele menerusi 21 hanyalah pop semata-mata. Ini amat berbeza dengan penyanyi yang mempertaruhkan genre hip hop atau R&B di mana mereka boleh bermain dengan pelbagai warna agar ia dapat dicalonkan dalam kategori lain.

“Dalam konteks ini, Justin Timberlake adalah contoh terbaik. Dia menghasilkan sebuah album pop tetapi dia menampilkan variasi menerusi setiap lagu di dalamnya seperti rock dan muzik dance misalnya. “Jadi untuk Adele menerima enam pencalonan sudah dikira cukup baik dan satu pencapaian yang seharusnya dibanggakan,” jelas wartawan muzik berpengalaman, Phil Gallo kepada E! Online, baru-baru ini.

Selain tiga kategori utama, Adele turut dicalonkan dalam tiga kategori lain termasuk Persembahan Solo Pop Terbaik bagi lagu Someone Like You, Album Vokal Pop Terbaik (21) dan Muzik Video Pendek Terbaik (Rolling In The Deep).

Adele sebenarnya bukanlah nama asing dalam anugerah berprestij itu apabila dia pernah diiktiraf dengan dua trofi Grammy untuk Artis Baru Terbaik dan Persembahan Vokal Pop Wanita Terbaik bagi lagu Chasing Pavements, dua tahun lalu.

Mengekori rapat Adele juga dengan enam pencalonan ialah Bruno Mars dan Foo Fighters manakala penyanyi rap, Lil Wayne dan Skrillex masing-masing menerima lima pencalonan. Penyanyi wanita seksi, Rihanna juga tidak kurang hebatnya apabila menerima empat pencalonan termasuk Album Terbaik bagi albumnya, Loud selain Lady Gaga untuk tiga kategori juga termasuk Album Terbaik untuk Born This Way.

Juara American Idol musim keempat, Carrie Underwood masih lagi menjadi pilihan juri apabila tersenarai dalam kategori Persembahan Solo Country Terbaik dan bakal berdepan dengan saingan hebat daripada Jason Aldean, Martina McBride, Blake Shelton dan Taylor Swift. 

Satu yang pasti dan realiti yang harus dihadapi apabila Grammy dilihat semakin mencabar ekoran perubahan syarat yang dilakukan oleh pihak akademi rakaman Amerika Syarikat. Perubahan terbesar yang dilakukan bermula tahun ini apabila penstrukturan kategori yang dipertandingkan hanyalah sebanyak 78 kategori sahaja berbanding 109 tahun lalu.

Untuk setiap genre, tiada lagi pembahagian kategori seperti lazimnya di mana untuk persembahan solo misalnya, penyanyi lelaki dan wanita disatukan dalam satu kategori. Sama juga dengan kolaborasi vokal dan persembahan vokal duo atau berkumpulan disekalikan menjadi Persembahan Duo/Berkumpulan Terbaik.

Begitu juga dengan empat cabang muzik lain yang turut mengalami perubahan dari segi pengkategorian iaitu teater muzikal kini menjadi persembahan muzikal selain filem, televisyen atau visual media lain ditukar kepada muzik untuk visual media). Dua yang lain termasuklah gospel yang kini berubah kepada gospel atau muzik Kristian kontemporari dan kategori dance yang dahulunya berdiri sendiri kini digabungkan bersama muzik elektronika lalu menjadi kategori dance atau elektronika.

Terdapat juga beberapa kategori yang dimansuhkan dan kemudiannya disekalikan dalam genre yang sama. Dalam konteks ini, kategori Album R&B Terbaik misalnya, akan disatukan dengan genre kontemporari R&B. Ini berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini apabila Album Kontemporari R&B mempunyai kategori tersendiri. Perubahan ini juga melibatkan muzik sejagat (world music), kanak-kanak, folk dan latin.

Anugerah Grammy Ke-54 akan berlangsung di Staples Centre, Los Angeles, Amerika Syarikat pada 12 Februari depan.

Mengenai Penulis:

Kaki Wayang mula terlibat dan serius dalam dunia penulisan kreatif sejak tahun 2006. Beliau juga terlibat dalam penciptaan lagu dan lirik lagu Nasyid dan pernah menjulang nama Politeknik Muadzam Shah apabila menjuarai Pertandingan Lagu-lagu Patriotik di PNM, Kuala Lumpur pada tahun 2007.

Ikuti perkembangan terbaru beliau melalui @ Blog Paling Hangat! | Facebook

Comments
0 Comments

{ 0 Komen Membina!... read them below or add one }

Post a Comment