Edisi Hangat! Aksesori kesayangan Shaheizy Sam!

Oleh Kaki Wayang on


AKTOR popular Shaheizy Sam yang mesra disapa Sam cukup bertuah kerana mempunyai kelompok peminat yang sangat menghargai kerja lakonannya. Bukan saja dia menerima pelbagai bentuk hadiah, malah undian peminat ini juga membolehkan dia bergelar Artis Paling Popular 2010.

Bagaimanapun, populariti mendadak ini tidak sama sekali melalaikan Sam untuk berbangga atau mendabik dada. Sebaliknya, kejayaan itu membuatkan dirinya lebih berhati-hati dalam tindak-tanduk dan kata-kata serta merendah diri.

Dalam pertemuan OopStarz! bersama aktor ini di kediamannya, baru-baru ini, pelakon yang bakal muncul dengan filem terbaru iaitu Songlap bermula 15 Disember ini, Sam sempat berkongsi 10 barangan kesayangannya untuk tatapan pembaca.

Mari kita lihat satu persatu barangan peribadinya yang merangkumi trofi anugerah, peti syiling 50 sen, koleksi barangan karakter The Joker, jam tangan dan landskap taman yang dibina dengan titik peluhnya sendiri.

Apa ceritanya setiap barang ini? Sama-sama kita intai dalam zoom!!! minggu ini.

 

Trofi

Sam sangat menghargai sebarang pengiktirafan yang diberikan kepadanya. Dia menganggap trofi Anugerah Yasmin Ahmad di Anugerah Skrin 2010, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-23 (FFM23) dan terbaru Pelakon Lelaki Terbaik FFM24 sebagai pengiktirafan industri atas lakonannya.

Baginya, semua orang berlakon tetapi tidak mudah untuk diiktiraf. Sementara itu, trofi Artis Paling Popular dan Pelakon Filem Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 yang dimenanginya, April lalu sebagai paling berharga kerana walau sehebat mana seorang pelakon itu berlakon, belum tentu individu berkenaan akan diiktiraf di mata peminat. Sebab itu, Sam sangat menghargai kesudian peminat yang sentiasa menyokong kerja seninya.

Aksesori komputer riba

Aksesori yang ditampal di atas permukaan komupter ribanya ini cukup istimewa kerana ia dihasilkan olehnya sendiri. Menurut Sam, dia menghabiskan masa selama lebih seminggu untuk melekatkan satu persatu biji batu Swarovsky itu sehingga menjadi satu corak.

Walaupun kerjanya rumit, Sam puas melihat hasilnya kerana penelitian yang ditumpukan ke atas kerja-kerja membakar gam batu itu, melekat dan menyusun satu persatu batu itu memberikan satu kepuasan. Aksesori itu sudah tiga tahun melekat pada komputer ribanya.

Landskap taman
 
Adik kepada aktres Zizie Ezzette ini mengambil masa selama 10 hari untuk menyiapkan landskap taman di depan rumahnya. Walaupun terpaksa berhabis sekitar RM4,000 untuk kos barang-barang dan pemasangan, Sam akui berpuas hati kerana landskap itu dibangunkan dengan titik peluhnya sendiri.

Kalau hendak tahu, landskap ini baru sahaja dibina oleh Sam ketika menghabiskan cuti Hari Raya Aidilfitri yang lalu. Dia sendiri yang melakukan kerja-kerja mengecat, memasang perabot dan memacakkan tiang lampu di taman ini.

Gitar


Gitar dan muzik adalah sebahagian daripada hidup Sam. Kongsi bekas anggota kumpulan M.O.B ini, setiap perkara yang dilakukan adalah berlatarkan muzik.

Justeru itu, gitar ini boleh diumpamakan seperti teman sunyi dan ketika masa senggang pada waktu kerja. Setiap kali dia memetik gitar itu, ia seolah memberikan idea untuk menghayati watak atau filem yang dijayakannya dalam satu-satu masa. Gitar ini adalah koleksi terbarunya yang dibeli kurang sebulan yang lalu dengan harga RM1,600.

Peti syiling 50 sen

Peti syiling yang kelihatan seperti peti harta karun ini tersimpan wang syiling 50 sen yang dikumpulnya sejak setahun yang lalu. Idea untuk menyimpan syiling itu tercetus selepas dia memikirkan kepentingan untuk menabung yang tidak pernah menjadi kenyataan sejak kecil lagi.

Kata Sam, dia mengumpulkan syiling itu dengan pelbagai cara seperti menukarkan wang kertasnya di kaunter parkir dan meminta daripada keluarga dan teman-teman rapat. Malah, rakan-rakannya yang mengetahui hobi itu sering memberikan syiling 50 sen mereka kepada Sam setiap kali berkunjung ke rumah.

Sam akui, apabila syiling itu sudah terkumpul sebanyak itu, terbit pula rasa sayang kepadanya untuk menukarkannya di bank. Mungkin dia akan simpan saja syiling itu untuk dijadikan khazanah, katanya.

Koleksi memorabilia Joker

Sam sangat mengagumi karakter Joker daripada filem Batman kerana ia menyuntik idea dan semangat kepadanya dalam lakonan.

Apabila dia kebuntuan ilham untuk menghayati karakter lakonannya, Sam akan menonton DVD filem itu atau membelek-belek kemeja T, patung atau pun merenung ke arah poster karakter tersebut sebagai sumber inspirasi.

Bagi Sam, kejayaan karakter antagonis Joker itu membuktikan bahawa semua pelakon boleh menjadi pelakon yang hebat kerana aktor Heath Ledger sudah membuktikannya kepada dunia dalam filem The Dark Knight. Semua memorabilia ini dibeli sendiri oleh Sam kira-kira dua tahun lalu.

Hadiah peminat


Sam mengakui dia sangat menghargai apa sahaja barangan atau hadiah pemberian daripada para peminat. Tidak kira apa juga betuk hadiah yang diberikan kepadanya, Sam sangat tersentuh dengan keikhlasan para penyokongnya.

Kata pelakon filem Kongsi ini, peminat tiada pertalian darah dengannya tetapi sokongan dan kasih sayang yang mereka tunjukkan itu buat dia terharu. Antara beberapa hadiah pemberian peminat yang sempat dikongsikan termasuk bantal,bingkai gambar, bunga, kemeja T, alas tilam dan perhiasan kapal layar.

Cermin mata

Memang banyak sungguh koleksi cermin mata yang dimiliki oleh aktor ini. Semua cermin mata ini bukan untuk melaram semata-mata tetapi setiap satunya mempunyai kuasa kanta kerana dia memang seorang yang rabun.

Cerita Sam, sebenarnya sejak kecil dia memang mengalami masalah rabun jauh. Memandangkan Sam takut untuk menggunakan kanta lekap, sebab itu dia membeli pelbagai cermin mata yang mempunyai rekaan berbeza-beza untuk disesuaikan dengan penampilannya.

Sehingga kini, dia sudah mempunyai lebih 20 unit cermin mata.

Jam Tangan

Jam tangan berjenama Jaguar ini sangat sentimental buat Sam. Apa tidaknya, ia adalah jam tangan pertama yang dibeli oleh Sam dengan wang lakonannya sendiri. Dibeli dengan harga RM1,000 di pusat beli-belah Sunway Pyramid, wang itu diperoleh daripada hasil lakonannya dalam drama bersiri 52 episod, Rumah Ayah pada 2001.

Kunci kereta

Kunci kereta terbarunya, Nissan Teana ini juga mempunyai nilai tersendiri dalam hati anak bongsu dalam keluarga ini.

Sam berkata kunci kereta ini cukup bernilai kerana ia adalah hadiah yang dimenanginya daripada ABP2010 yang lalu. Bagi Sam, hadiah kereta yang dimenanginya datang daripada undian peminat.

Ia membuatkan Sam sedar bahawa bukan semua artis berpeluang untuk mendapat pengiktirafan di hati peminat. Segala susah-payah dan pengorbanan peminat yang tidak henti-henti mengundi namanya sehingga memenangi trofi dan kereta ini tidak terbalas oleh dirinya.

“Saya selalu berasa diri ini seperti pasukan bola sepak, di mana peminat akan menyokong sepenuhnya tetapi apabila saya menang hadiah dan trofi mereka tidak dapat apa-apa pun melainkan kepuasan melihat kejayaan saya. Hakikat itu menyentuh perasaan dan membuatkan saya amat menghargai peminat,” akuinya.








Mengenai Penulis:

Kaki Wayang mula terlibat dan serius dalam dunia penulisan kreatif sejak tahun 2006. Beliau juga terlibat dalam penciptaan lagu dan lirik lagu Nasyid dan pernah menjulang nama Politeknik Muadzam Shah apabila menjuarai Pertandingan Lagu-lagu Patriotik di PNM, Kuala Lumpur pada tahun 2007.

Ikuti perkembangan terbaru beliau melalui @ Blog Paling Hangat! | Facebook

Comments
0 Comments

{ 0 Komen Membina!... read them below or add one }

Post a Comment