Edisi Agam! Berhijrah daripada membuat dosa!

Oleh Kaki Wayang on

NALURI manusia yang normal sudah pasti mahukan kepada kejayaan atau pun perubahan yang lebih baik pada setiap masa. Tiada manusia yang sempurna akalnya, mahu terus hidup dalam kegelapan dan bergelumang dalam dosa dan maksiat.

Persoalannya, bagaimana mahu berubah dan untuk berubah, manusia itu perlu mengorbankan banyak perkara. Antaranya adalah 'kekuatan' untuk mengorbankan rasa selesa berada pada tahap sedia ada dan berusaha atau berhijrah melaksanakan transformasi dalam diri untuk menjadi insan mukmin yang berjaya.
Hal ini dijelaskan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya yang bermaksud: ...Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri yang mengubah apa apa yang pada diri mereka...(ar-Ra'd: 11)

Sebagai mana kita maklum, hijrah Rasulullah SAW dan para sahabat ke Madinah Al-Munawwarah menjadikan dakwah Islam berpindah ke satu tahap dakwah yang baru. Kaum muslimin juga boleh beribadah dengan lebih selamat dan terbuka berbanding tekanan dan suasana umat Islam di Mekah.

Daripada Aishah r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: Tidak ada hijrah selepas pembukaan (Mekah) tetapi jihad dan niat (yang baik). Apabila kamu disuruh bersiap sedia, maka bersedialah. (riwayat Muslim)

Sememangnya tidak ada lagi hijrah selepas hijrah (perpindahan) Nabi SAW itu. Yang ada, adalah hijrah dalam segi berjihad menentang hawa nafsu yang suka mengajak manusia bergelumang dalam noda dan dosa.
Penolong Profesor Kulliyah Ekonomi dan Sains Pengurusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Zaharuddin Abd. Rahman berkata, hijrah dalam segi bahasa bermaksud tinggal.

Justeru katanya, umat Islam masa kini perlu berusaha berhijrah dalam tiga keadaan untuk mencapai taraf hidup yang lebih baik.

Pertama, hijrah seseorang daripada melakukan dosa dan kesalahan, kedua; meninggalkan negara kufur (yang melarang umat Islam melaksanakan Islam) dan ketiga; hijrah meninggalkan tempat-tempat maksiat.

Ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Dan sesungguhnya Allah telah menurunkan kepada kamu (perintah-Nya) di dalam Kitab (al-Quran), iaitu: apabila kamu mendengar ayat-ayat keterangan Allah diingkari dan diejek-ejek (oleh kaum kafir dan munafik), maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka. Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan sekelian orang munafik dan orang kafir di dalam neraka jahanam. (al-Nisa': 140)

Menurut Zaharuddin, maksud negara kufur di sini adalah negara yang melarang umat Islam melaksana ibadat.

"United Kingdom memang negara kufur tetapi tidak sampai menghalang umat Islam beribadat malah wujud masjid pelbagai mazhab di sana," katanya.

Beliau berkata demikian dalam forum bertajuk 'Hijrah: Transformasi Ke Arah Kebaikan' di Masjid An-Nur, Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor, Jumaat lalu.

Seorang lagi ahli panel ialah Pengarah Eksekutif Telaga Biru Sdn. Bhd., Dr. Zahazan Mohamed. Moderator ialah guru Sekolah Menengah Agama Kuala Selangor, Ghazali Omar.

Forum yang dihadiri oleh kira-kira 1,000 orang itu adalah anjuran bersama Masjid An-Nur, Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Selangor, Lembaga Zakat Selangor dan Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Zaharuddin menambah, antara resipi kejayaan Rasulullah SAW berhijrah dan membentuk para sahabat menjadi mukmin adalah sering membawa akhirat dalam kehidupan.

Contohnya, dalam Perang Tabuk, umat Islam diperintah berjihad menentang musuh ketika masa hasil tanaman mereka hanya menunggu masa dituai. Keadaan ketika itu, kata Zaharuddin adalah musim panas dan orang Islam perlu membelah kawasan gurun yang suhunya mencecah 50 ke 60 darjah Celsius. Di sini, menurut belau, golongan munafik awal-awal lagi mencari pelbagai helah supaya tidak ikut serta berjihad bersama Nabi SAW.

"Lebih teruk lagi, mereka cuba mempengaruhi umat Islam supaya jangan berjihad dengan alasan antaranya, sudah tentu kamu akan mati kepanasan di padang pasir yang tidak ada air dan tempat berteduh.

"Namun baginda SAW bersabda kepada umat Islam, neraka Allah adalah lebih panas daripada yang bakal dilalui di padang pasir.

"Pendek kata, para sahabat mendalami ajaran Allah sebab itu mereka berjaya," jelas beliau.
Zaharuddin juga menarik perhatian agar masyarakat membetulkan salah tanggapan dalam mengukur kejayaan kaum wanita.

Katanya, Allah mencipta kaum lelaki untuk keluar bekerja dan wanita untuk mendidik keluarga dan anak-anak.

Menurut beliau, walaupun Saidatina Khadijah bekerja iaitu sebagai usahawan tetapi beliau adalah seperti pemegang saham dan duduk di rumah.

Demikian juga dengan Aisyah, beliau bekerja mengajar para sahabat ilmu Islam baik hadis dan juga al-Quran.

"Malangnya, media kini mencanangkan wanita yang hebat dan berjaya itu adalah wanita yang berkerjaya. "Bukan saya suruh para isteri berhenti kerja tetapi tugas utama isteri adalah di rumah iaitu menjaga 'sarangnya'. "Sebabnya, keluarga yang pincang akan melahirkan golongan pembunuh, perompak dan sebagainya," tegas beliau.

Mengenai Penulis:

Kaki Wayang mula terlibat dan serius dalam dunia penulisan kreatif sejak tahun 2006. Beliau juga terlibat dalam penciptaan lagu dan lirik lagu Nasyid dan pernah menjulang nama Politeknik Muadzam Shah apabila menjuarai Pertandingan Lagu-lagu Patriotik di PNM, Kuala Lumpur pada tahun 2007.

Ikuti perkembangan terbaru beliau melalui @ Blog Paling Hangat! | Facebook

Comments
0 Comments

{ 0 Komen Membina!... read them below or add one }

Post a Comment