PERKAHWINAN dan kasih sayang antara suami isteri
boleh dikekalkan apabila pasangan selalu mempraktikkan ungkapan-ungkapan kasih
kepada pasangan masing-masing seperti ucapan sayang sekurang-kurangnya tujuh
kali sehari.
Bukan itu sahaja, berkomunikasi dengan baik,
bergurau senda dan memanggil pasangan dengan panggilan hebat seperti 'sayang',
'abang', 'manja' dan sebagainya juga dapat mengeratkan lagi perhubungan suami
isteri.
Masing-masing perlu memainkan peranan untuk memupuk
perasaan sayang agar ia sentiasa mekar dalam jiwa dan membuahkan keserasian dan
kemesraan. Selain itu, tahukah anda bahawa pelukan juga boleh membuatkan
pasangan merasa lebih dekat dan intim?
Bagi isteri, pelukan merupakan bentuk komitmen
cinta dan kesetiaan pasangan. Kajian mendapati pelukan bukan sesuatu yang
bersifat seksual. Ia satu daripada kaedah untuk mendapatkan keselesaan.
Begitupun, biasanya suami menganggap pelukan
bermakna isteri dahagakan hubungan seksual. Sebenarnya para isteri lebih menikmati
pelukan dari hubungan seksual. Menurut Doktor Perubatan Kanan Kumpulan
Perubatan Penawar Johor Bahru, Dr. Zubaidi Ahmad, para suami tidak perlu rasa
'kelam kabut' sekiranya tidak bersedia bila isteri minta dipeluk.
Ini kerana jelas beliau, bagi suami, pelukan
hanyalah pertautan fizikal dan ada kalanya merimaskan selain tidak memahami
mengapa isteri sangat suka apabila dipeluk.
Mencadangkan 'rawatan pelukan'
"Sebenarnya suami isteri saling memerlukan
antara satu sama lain untuk mengurangkan tekanan perasaan.
"Ramai pakar psikologi yang mencadangkan
'rawatan pelukan' di mana suami dan isteri digalakkan berpeluk sebelum tidur
selama 10 minit. Pelukan ini harus dinikmati tanpa diteruskan dengan hubungan
seks.
"Tujuannya agar segala perasaan negatif yang
tersimpan dalam hati sepanjang hari dapat dilepaskan dengan memeluk suami atau
isteri. Jadi, pelukan sangat diperlukan dalam hubungan suami isteri. Ia akan
merapatkan lagi hubungan suami isteri," katanya ketika dihubungi baru-baru
ini.
Katanya, pelukan bukan bermakna mukadimah pada
hubungan seks antara suami dan isteri. Ia juga harus dilihat sebagai hubungan
perasaan dan perkongsian emosi antara suami dan isteri.
Mengulas lanjut, Dr. Zubaidi berkata, pelukan
adalah satu sentuhan fizikal yang erat dilakukan di leher, belakang badan atau
pinggang. Pelukan juga kadang kala melibatkan kucupan, pandangan mata, sentuhan
mesra dan beberapa gerakan tubuh lain.
Oleh itu, mereka yang berpelukan menandakan
hubungan mereka amat rapat dan mempunyai pertalian kasih sayang yang mesra. Kata
Dr. Zubaidi, ramai ahli psikologi kini bimbang dengan pasangan suami isteri
yang jarang berpelukan.
Mereka bimbang perkahwinan pasangan seperti itu
hanya diikat oleh 'lafaz nikah' dan hubungan fizikal dan seks saja dan bukan
hubungan emosi serta perkongsian perasan.
"Islam juga menggalakkan hubungan emosi dan
dalam satu hadis Rasulullah SAW memberitahu, barang siapa yang tidak mengasihi,
maka ia tidak akan dikasihi. (riwayat Bukhari dan Muslim). "Oleh yang
demikian, perbanyakanlah luahan kasih sayang dengan ucapan dan sentuhan fizikal
(pelukan). "Secara tidak langsung, bagi pasangan yang agak berat untuk
meluahkan perkataan 'Saya sayang awak', pelukan adalah cara alternatif terbaik
untuk melafazkannya," ujarnya.
Pelukan juga akan menyebabkan kelenjar di otak
mengeluarkan hormon serotonin dan dopamine yang memberikan rasa tenang dan
tenteram. Perbuatan itu juga akan menyebabkan gelombang di otak menjadi lebih
tenang, lalu mengurangkan stres dan kerisauan.
Oleh itu bagi pesakit yang mengalami masalah
kerisauan (anxiety) dan mempunyai emosi yang tertekan, memeluk binatang
peliharaan adalah rawatan kejiwaan yang baik. Namun apa yang lebih baik lagi bagi suami atau
isteri selain memeluk pasangan masing-masing ketika mereka mengalami tekanan
jiwa dan dalam keadaan kerisauan.