Edisi Khas! Dokumentari Khas Siti Nurhaliza kini di ASTRO!

Oleh Kaki Wayang on


Bila sebut sahaja nama Siti Nurhaliza apakah yang wujud dalam bayangan anda? Wajah manisnya yang telah menawan hati setiap pelusuk isi rumah di Malaysia, Indonesia dan Singapura? Atau deretan trofi yang terkumpul sehingga tidak cukup almari? Atau vokal emasnya yang mendodoi lena setiap malam kita? Atau paparan kisah sepanjang dia bergelar anak seni sejak 16 tahun lalu?

Hanya luaran yang mengisi minda kita seperti apa yang kita sering tonton di televisyen dan baca di akhbar dan majalah. Tidak ramai yang mengetahui apakah yang terselindung di sebalik nama Siti Nurhaliza itu sendiri.
Justeru, sempena ulangtahun kelahiran yang ke 33 penyanyi bercop nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza, saluran History mengambil inisiatif menerbitkan sebuah dokumentari khas yang berjudul “Siti Nurhaliza” untuk tayangan Asia.

Dokumentari sepanjang satu jam itu akan membawa penonton meraikan kehidupan penyanyi yang berasal dari Kuala Lipis ini bermula sebagai penyanyi yang menjuarai Bintang HMI 1995 sehinggalah bergelar usahawanita yang memiliki produk kecantikan jenama sendiri, SimplySiti.

Tidak mengganggap peluang itu sebagai kemuncak kerjayanya, Siti berharap dokumentari ini akan mencetuskan inspirasi kepada masyarakat khususnya golongan muda yang menanam cita-cita untuk berjaya sepertinya satu hari nanti.

“Ia satu penghargaan kerana Siti antara yang muda dan diberikan peluang untuk merakamkan perjalanan hidup saya untuk tontonan masyarakat. Saya melihat ia dari sudut seorang anak kampung yang mempunyai cita-cita untuk berjaya sebagai penyanyi dan perlu berhadapan dengan pelbagai cabaran. Fokusnya lebih kepada saya menjadi inspirasi kepada semua dengan melihat kejayaan yang saya perolehi hari ini. Motivasi yang baik itu harapnya dapat diterima oleh penonton kelak,” kata Siti yang kini memiliki album Inggeris sendiri “All You Love”.

Siti merupakan artis muda yang masih hidup diberikan peluang tersebut. Sebelum ini saluran History pernah menerbitkan dokumentari mengenai Seniman Agung Tan Sri P.Ramlee dan Penghibur Nombor Satu Asia, Datuk Sudirman Hj Arshad.

Menerusi dokumentari itu, masyarakat yang selama ini hanya didedahkan pada aspek luaran penyanyi itu akan meneroka di sebalik tabir kehidupannya sepanjang  bergelar penyanyi.

“Pelbagai cabaran telah Siti lalui namun apa yang dipaparkan di televisyen, akhbar dan majalah hanyalah luaran Siti sahaja. Bagaimana Siti berdepan dengan cabaran tersebut hanya diketahui oleh mereka yang dekat dengan Siti. Kali ini mereka yang akan berkongsi cerita tersebut seperti contohnya jurusolek Siti, Nurul Shukor yang telah bersama Siti lebih 10 tahun dan pastinya kakak ipar dan pengurus Siti, Rozi Abdul Razak,” tambah Siti lagi.

Menurut Siti, hanya jurusoleknya itu yang tahu bagaimana cara dia berdepan dengan pelbagai masalah dan Nurul telah dianggap sebagai salah seorang orang kepercayaannya.

“Bagaimana saya memberontak dan meluahkan kemarahan saya bila pelbagai cerita tidak betul yang keluar tentang saya. Bagaimana saya berdepan dengan tekanan tersebut. Hanya sesetengah orang saja yang tahu bagaimana kami menyimpan setiap perkara yang tidak pernah dipertontonkan kepada masyarakat,” ujar Siti yang cukup teruja mahu menyaksikan apa kata orang mengenainya.

“Sebelum ini pun pernah ada program sebegini yang melibatkan kehidupan Siti, namun gaya penceritaan dan hasil setiap program pastinya berbeza. Macam tadi bila tengok balik klip-klip persembahan Siti di Indonesia dan bersama 2 By 2 memang tidak Siti jangkakan mereka akan masukkan klip sebegitu,” jelas Siti lagi.

Tambah penerbit, Lina Tan, dia akui sukar untuk menyunting 12 jam rakaman footage yang ada untuk dijadikan dokumentari sepanjang satu jam.

“Kita bermula sejak awal tahun, dari proses pengumpulan bahan lagi. Bila kita dah temuramah ramai orang yang terlibat ada lebih 12 jam footage yang ada. Memang sukar untuk menyunting dokumentari tersebut. Yang menariknya bila kita selesai menemuramah, kita semakin kenal siapa Siti sebenarnya. Dia popular bukan sahaja di Malaysia, malah di Indonesia dan Singapura. Kita juga sedar yang sukar untuk menjadi bintang di sini dan apakah kehidupan sebenar yang mereka lalui.” ulas Lina selaku penerbit dokumentari tersebut.

Antara yang diwawancara termasuk komposer Adnan Abu Hassan, personaliti televisyen terkemuka, Najip Ali, wartawan hiburan kanan, Zainal Alam Kadir, Jennifer Thompson dan Michael Ong.

Dokumentari “Siti Nurhaliza” akan ditayangkan pada 11 Januari 2012 pukul 10 malam di saluran History (Astro 555). Ia akan diulangtayang pada 12 Januari (8 malam), 14 Januari (6 petang) dan 15 Januari pada pukul 9 malam.

Kredit: MummyNemo

Mengenai Penulis:

Kaki Wayang mula terlibat dan serius dalam dunia penulisan kreatif sejak tahun 2006. Beliau juga terlibat dalam penciptaan lagu dan lirik lagu Nasyid dan pernah menjulang nama Politeknik Muadzam Shah apabila menjuarai Pertandingan Lagu-lagu Patriotik di PNM, Kuala Lumpur pada tahun 2007.

Ikuti perkembangan terbaru beliau melalui @ Blog Paling Hangat! | Facebook

Comments
0 Comments

{ 0 Komen Membina!... read them below or add one }

Post a Comment