Seramai 17 mahasiswa dipercayai dari Universiti Pendidikan Sultan
Idris (UPSI) ditahan pihak polis tengah malam tadi apabila mengadakan
perhimpunan tanpa kebenaran.
Kekecohan yang berlaku antara pihak berkuasa dan kumpulan mahasiswa
menyebabkan Pengerusi Badan Mahasiswa Menuntut Kebebasan Akademi (Bebas)
yang juga Timbalan Presiden Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia
(Gamis), Safwan Anang Talib cedera dan dikejarkan ke unit kecemasan
Hospital Slim River.
Ada laporan awal menyebut beliau patah tulang rusuk dalam kejadian
itu namun versi berkenaan masih belum dapat disahkan sepenuhnya.
Antara yang ditahan pula adalah Adam Adli yang sebelum ini mencetuskan kontroversi kerana menurunkan gambar bendera Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di perkarangan Ibupejabat UMNO.
Kesemua mereka telah dibawa dan ditahan di lokap Ibupejabat Polis Daerah Tanjung Malim.
Kejadian malam tadi dipercayai berpunca apabila kumpulan
mahasiswa yang berhimpun itu merempuh barisan Pasukan Simpanan
Persekutuan (FRU) yang mengawal kawasan perhimpunan berkenaan.
Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasruddin Hassan dalam reaksi segeranya yang
disiarkan di Facebook membantah dan mengutuk keras kejadian yang berlaku
itu.
Beliau memberikan masa lima jam atau sehinggah 12 tengah hari ini untuk polis membebaskan kesemua 17 mahasiswa yang ditahan itu.
“Jika tidak satu perhimpunan besar anak muda akan diadakan
bagi mendesak pembebasan mahasiswa dan pihak polis yang terlibat
melakukan kekasaran ini mestilah disiasat dan diambil tindakan tegas,”
katanya.
Beliau juga mendesak pihak polis bertanggungjawab jika sesuatu yang
buruk berlaku kepada mahasiswa-mahasiswa berkenaan terutama Safwan
Anang.
(SUMBER GAMBAR: Blog Politikus)