
LANGKAH 'pendekar' Gergasi Merah, Selangor ketika ini dilihat cukup sukar digugat. Malam kelmarin, Shahzan Muda menjadi mangsa 'amukan' Merah Kuning itu
 apabila 'dibedil' di depan penyokong sendiri dengan keputusan 0-4 dalam
 aksi pusingan pertama Piala FA 2012.
Ia merupakan rentetan kemenangan yang cukup bermakna buat Gergasi 
Merah selepas membenam Kelantan 2-1 dalam aksi Liga Super Selasa minggu 
lepas, sekali gus menutup mulut pengkritik yang meragui persembahan 
hambar pasukan itu pada permulaan musim ini. Dengan kemenangan itu, semifinalis Piala FA 2011 itu bakal berdepan 
bekas 'sifu' mereka, K. Devan di pusingan kedua pada 10 Mac depan 
selepas Johor FC berjaya mengejutkan juara edisi 2010, Negeri Sembilan 
di gelanggang lawan dalam satu lagi perlawanan kelmarin.
Sudah pasti, pertemuan 'mata bertentang mata' antara Devan dan 
jurulatih baharu Selangor, Irfan Bakti Abu Salim menjanjikan sesuatu 
yang istimewa buat peminat fanatik Merah Kuning, bagi membuktikan siapa 
sebenarnya yang lebih hebat.
Irfan begitupun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu kerana 
menyifatkannya masih terlalu awal untuk menimbang-tara sebarang 
kemungkinan menjelang pertemuan dengan Sang Lebah di pusingan kedua 
nanti. Menurut beliau, pemainnya mahu menumpukan sepenuh perhatian terlebih 
dahulu menentang Kedah di gelanggang lawan bagi saingan Liga Super pada 3
 Mac depan sebelum memikirkan ramuan istimewa bagi mengekang kemaraan 
anak-anak buah Devan selepas itu.
"Masih terlalu awal (membuat sebarang andaian menentang Johor FC), bagi saya ia tidak ada bezanya dengan perlawanan lain.
"Ia mungkin penting (bagi peminat Selangor) berdepan semula Devan, 
tetapi saya rasa ia tidak lebih daripada sekadar satu kebetulan," 
katanya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Kosmo! semalam.
 

 

 0 Comments
0 Comments