Edisi Hangat! Kemuncak populariti Adele!

Oleh Kaki Wayang on


DENGAN enam pencalonan yang diterima oleh penyanyi dan komposer wanita popular, Adele pada Anugerah Grammy Ke-54 yang berlangsung di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) hari ini, ramai yang mengandaikan gelaran Ratu Grammy bakal menjadi miliknya.

Semuanya kerana kesan luar biasa bingkisan keduanya, 21 yang telah menjadi album paling laris untuk tahun 2011 sekali gus meletakkan Adele sebagai calon utama untuk menggondol anugerah muzik berprestij AS itu.
Pada edisi ke-54 itu, Adele yang menerima enam pencalonan dengan tiga daripadanya bagi kategori utama iaitu Album, Rakaman dan Lagu Terbaik yang sering kali menjadi petunjuk untuk seseorang artis itu menyerlah di pentas Grammy.

Single pertama daripada album 21, Rolling In The Deep dicalonkan untuk Rakaman dan Lagu Terbaik serta Video Muzik Terbaik sementara album tersebut pula tersenarai dalam kelompok lima Album Terbaik. Bukan itu sahaja, 21 juga tercalon dalam kategori Album Pop Vokal Terbaik selain Adele sendiri dicalonkan untuk Persembahan Solo Pop Terbaik menerusi lagu yang menjadi kegemaran ramai, Someone Like You. Selain pencalonan serta populariti yang dikecapi Adele ketika ini, memang tidak mustahil untuk penyanyi kelahiran West Norwood, England itu menang besar pada majlis anugerah muzik gilang-gemilang itu. Seandainya Adele menang keenam-enam kategori yang dicalonkan, secara automatik dia akan menyamai rekod yang pernah dicipta oleh Beyonce pada tahun 2010 selaku pemenang paling banyak.

Jika bukan semua, sekurang-kurangnya lima trofi yang mungkin akan dibawa pulang oleh Adele bakal memberinya merit untuk mencipta rekod dan setanding dengan lima penyanyi wanita sebelum ini yang berjaya memenangi lima trofi dalam satu malam iaitu Lauryn Hill (1999), Alicia Keys (2002), Norah Jones (2003), Beyonce (2004), Amy Winehouse (2008) dan Alison Krauss (2009).

Sebenarnya Adele sendiri bukan nama baru dalam sejarah penganjuran Grammy apabila pernah memenangi dua trofi iaitu Artis Baru Terbaik dan Persembahan Vokal Pop Wanita Terbaik bagi lagu Chasing Pavements pada tahun 2009 bersandarkan album perdananya, 19.

Kejayaan Adele yang telah memberikan kesan luar biasa sepanjang tahun lalu boleh diibaratkan sebagai kisah dongeng buat penyanyi berusia 23 tahun itu. Tidak keterlaluan dikatakan, sebelum ini walaupun sudah memenangi Grammy, bakat dan lagu-lagunya tidak diterima dengan meluas seperti hari ini. Malah Adele sendiri tidak pernah menyangka masyarakat dunia akan menerima album 21 dengan baik dan positif. Apatah lagi untuk mendapat pengiktirafan dalam acara muzik berprestij itu.

Tanggungjawab

“Semuanya bermula sebagai hobi dan kemudiannya ia bertukar menjadi cinta. Nyanyian juga ibarat satu kebebasan buat saya untuk bercerita kepada umum sambil berkongsi cerita dengan mereka.

“Bidang ini sudah menjadi satu tanggungjawab buat saya dan merupakan sebahagian daripada hidup saya. Saya perlu menjaga kurniaan (bakat) yang diberikan kepada saya ini kerana saya akan berada di sini untuk masa yang lama,” jelas Adele atau nama sebenarnya, Adele Laurie Blue Adkins mengenai kerjaya seninya.

Adele juga telah membuka lembaran baru dalam industri seni muzik apabila 21 menjadi album paling laris di AS sepanjang tahun lalu dengan penjualan hampir mencecah tujuh juta salinan. Malah di negara kelahirannya juga, album 21 berjaya mengatasi album Back to Black milik Winehouse untuk menjadi album paling laris pada abad ke-21.

Lebih hebat lagi album rakaman persembahannya, Live At The Royal Albert Hall juga mencipta rekod apabila menduduki tangga pertama dengan penjualan mencecah 100,000 salinan sebaik sahaja dipasarkan pada November tahun lalu. Memang agak sukar untuk tidak menyukai karya ciptaan Adele. Setiap lagu yang dihasilkan begitu jujur dan luhur yang lahir daripada hati, juga pengalaman hidupnya sendiri. Jika tidak, mana mungkin untuk penyanyi hebat seperti Beyonce turut memuji Adele. Begitu juga dengan artis-artis lain seperti LeAnn Rimes, Britney Spears, Lady Gaga, Christina Aguilera dan Kanye West yang semuanya meminati Adele. Malah vokalis kumpulan Foo Fighters, Dave Grohl turut memuji bakat luar biasa Adele yang disifatkannya sebagai penyanyi dan komposer sebenar.

“Kami amat berbangga apabila dapat dicalonkan untuk Grammy tahun ini bersama-sama Adele. Benar, orang ramai begitu kagum dengan penjualan album Adele. “Tetapi bagi saya Adele lebih daripada itu. Album 21 lebih daripada segala-galanya dan bukan sembarangan karya. Dia mempunyai vokal yang indah dan cukup istimewa dan itulah yang dikatakan sebagai penyanyi sejati.

“Menjual muzik sepatutnya seperti itu dan bukannya menjadi satu iklan yang menjual vokal palsu yang telah diubah selain imej serta personaliti seperti seorang supermodel,” kata Grohl tanpa selindung kepada USA Today pada satu temu ramah tidak berapa lama dulu.

Mengenai Penulis:

Kaki Wayang mula terlibat dan serius dalam dunia penulisan kreatif sejak tahun 2006. Beliau juga terlibat dalam penciptaan lagu dan lirik lagu Nasyid dan pernah menjulang nama Politeknik Muadzam Shah apabila menjuarai Pertandingan Lagu-lagu Patriotik di PNM, Kuala Lumpur pada tahun 2007.

Ikuti perkembangan terbaru beliau melalui @ Blog Paling Hangat! | Facebook

Comments
0 Comments

{ 0 Komen Membina!... read them below or add one }

Post a Comment