Edisi Informasi! Selidik latar belakang pasangan sebelum bertunang!

Oleh Kaki Wayang on

KES putus tunang atau membatalkan perkahwinan yang dirancang kerap berlaku dalam masyarakat. Dalam banyak kes, ia diselesaikan dengan baik, biarpun salah satu pihak pada dasarnya tidak berpuas hati dengan pembatalan itu.

Ikatan pertunangan adalah satu perjanjian yang mana pihak lelaki dan perempuan bersetuju untuk berkahwin pada masa depan dalam tempoh dipersetujui. Dalam masyarakat Melayu, proses meminang diadakan secara beradat yang membabitkan merisik sebelum majlis meminang. Merisik sebelum meminang adalah tuntutan agama. Tidak semestinya diadakan acara rasmi seperti biasa diadakan. Apa yang dikehendaki ialah maklumat mengenai perempuan yang bakal dipinang. Biasanya merisik bertujuan bagi pihak lelaki mengetahui mengenai perempuan hendak dipinang. Pada masa sama juga pihak perempuan boleh bertanya mengenai lelaki yang masuk merisik itu.

Pengumpulan maklumat kedua-dua pihak amat penting bagi memastikan tidak ada perkara yang sengaja disembunyikan. Banyak kes putus tunang disebabkan tidak mengetahui identiti sebenar pasangan masing-masing.

Sikap menyembunyikan fakta diri atau sengaja menyatakan perkara yang tidak tepat membawa kesan buruk hingga mendatangkan tidak puas hati yang membawa kepada putus pertunangan.

Kes putus pertunangan memberi kesan buruk, lebih-lebih lagi jika berlaku ketika waktu perkahwinan terlalu hampir. Persiapan majlis perkahwinan diadakan dan tetamu sudah diundang. Pembatalan perkahwinan pada saat-saat akhir bukan saja mengecewakan bakal pengantin, tetapi seluruh ahli keluarga. Mereka bukan saja menanggung kerugian kewangan menyediakan persiapan perkahwinan, tetapi juga maruah turut tercalar dan menerima aib pada mata masyarakat.

Mengikut Seksyen 15 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, jika seseorang mengikat pertunangan mengikut hukum syarak, sama ada secara lisan atau secara bertulis, dan sama ada secara bersendirian atau melalui orang perantaraan dan kemudian enggan berkahwin dengan pihak yang satu lagi tanpa sebab yang sah, manakala pihak yang satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka pihak yang mungkir bertanggungjawab memulangkan pemberian pertunangan jika ada, atau nilai dan membayar apa-apa wang yang dibelanjakan untuk membuat persediaan bagi perkahwinan itu, boleh menuntutnya di mahkamah.

Antara punca putus pertunangan ialah adanya gangguan pihak ketiga. Sikap mengatakan ‘baru bertunang, belum kahwin lagi’ sebagai gambaran bahawa ikatan itu mudah diputuskan amat ditegah oleh agama. Memang ikatan pertunangan tidak sekuat ikatan perkahwinan, Islam tetap menegah perkara itu dibuat main-main.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Seorang mukmin adalah saudara bagi mukmin yang lain. Oleh itu tidak halal dia membeli pembelian saudaranya, dan tidak halal pula dia meminang pinangan saudaranya itu.” (Hadis riwayat Muslim).

Jelas sekali, haram bagi lelaki masih menaruh minat terhadap perempuan yang sudah bertunang. Begitu juga, perempuan yang menjadi tunangan orang, jangan sekali-kali terpikat kepada lelaki lain.

Perbuatan meminang atau menjalin hubungan dengan perempuan sudah bertunang samalah seperti merampas hak orang lain. Sifat sedemikian boleh menyebabkan perbalahan di antara lelaki yang saling ingin memiliki perempuan yang sama. Akibatnya boleh menyebabkan permusuhan berpanjangan yang memutuskan persaudaraan.

Bagaimanapun, perempuan yang sudah bertunang boleh dipinang selepas ikatan pertunangan dibatalkan oleh pihak lelaki. Perkara itu mungkin juga berlaku di atas permintaan pihak perempuan dan dipersetujui pihak lelaki.

Perempuan yang bertunang juga boleh dipinang jika diizinkan tunangnya. Keadaan ini berlaku jika tunangnya bersedia memutuskan pertunangan dan mengetahui ada lelaki lain ingin meminang tunangnya.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Seorang lelaki tidak boleh meminang pinangan lelaki lain, sehinggalah lelaki pertama yang meminangnya membatalkannya, atau mengizinkannya.” (Hadis riwayat Bukhari).

Memutuskan pertunangan tanpa kerelaan satu pihak lagi bermakna tidak menunaikan janji ingin berkahwin. Dalam Islam menunaikan janji adalah sesuatu amat dituntut. Sesiapa tidak menunaikan janji termasuk melakukan perbuatan munafik.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tiga perkara, sesiapa yang berada di dalamnya, maka dia adalah munafik, walaupun dia berpuasa, sembahyang dan mengaku dirinya seorang Muslim. (Perkara itu ialah) Apabila bercakap ia berbohong, apabila berjanji ia memungkiri dan apabila dipercayai dia khianat.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Ikatan pertunangan adalah janji secara dasarnya lahir daripada sikap saling mempercayai dan menghormati antara kedua-dua pihak yang mengikat janji.

Tetapi dalam keadaan yang mana ada alasan kukuh dan demi untuk kebaikan, ikatan pertunangan boleh diputuskan dengan persetujuan kedua-dua pihak. Islam mengharuskan perbuatan itu atas dasar untuk mengelakkan keburukan jika pertunangan diteruskan dan lebih-lebih lagi apabila berkahwin.

Dalam keadaan itu, kedua-dua pihak perlu berlapang dada dan tidak saling menyalahkan.

Sebab itu, dinasihatkan agar pasangan bercinta atau perempuan dirisik jangan terburu-buru mengikat pertunangan. Ambillah sedikit masa untuk mengenali dan menyelidiki pasangan terlebih dulu

Nabi Muhammad memberi panduan yang terbaik bagaimana mencari pasangan hidup. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Dikahwini wanita itu kerana empat perkara iaitu harta kekayaannya, keturunannya, kecantikannya, dan agamanya. Maka utamakan wanita yang kuat beragama, nescaya sejahtera hidupmu.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Mengenai Penulis:

Kaki Wayang mula terlibat dan serius dalam dunia penulisan kreatif sejak tahun 2006. Beliau juga terlibat dalam penciptaan lagu dan lirik lagu Nasyid dan pernah menjulang nama Politeknik Muadzam Shah apabila menjuarai Pertandingan Lagu-lagu Patriotik di PNM, Kuala Lumpur pada tahun 2007.

Ikuti perkembangan terbaru beliau melalui @ Blog Paling Hangat! | Facebook

Comments
0 Comments

{ 0 Komen Membina!... read them below or add one }

Post a Comment