Kenyataan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyokong
usaha menjaga keselamatan Israel adalah amat dikesali dan memalukan,
kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk SeriMustapa
Mohamed.
Beliau berkata, Malaysia sebagai sebuah negara Islam amat bersimpati
dengan rakyat Palestin yang dizalimi oleh rejim Zionis dan dasar luar
Malaysia adalah jelas iaitu menentang kekejaman dan kekerasan.
"Jadi kita harap rakyat Malaysia membuat penilaian tentang politik
pemimpin ini yang sanggup berbuat apa sahaja untuk meraih sokongan
pihak tertentu," katanya di sini hari ini.
Anwar dilaporkan menyatakan sokongan terhadap usaha bagi menjaga dan
melindungi keselamatan Israel ketika beliau ditemubual oleh akhbar Wall Street Journal (WSJ) baru-baru ini.
"Kita mengakui perjuangan rakyat Palestin adalah perjuangan yang
benar dan betul, kita tahu mereka ditindas dan dizalimi oleh Israel,"
kata Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli.
Beliau berkata, dasar luar negara ini sudah terbukti membawa banyak
faedah kepada negara, bagaimanapun dasar tersebut akan berubah
sekiranya pembangkang memerintah.