TERBABAS...kereta tersangkut atas bumbung garaj selepas hilang kawalan.
“Tiba-tiba rumah bergegar dan sebaik membuka pintu, saya terkejut
apabila melihat sebuah Toyota Vios tersangkut di bumbung garaj,” kata
penghuni sebuah rumah yang dihempap kereta terbabas di Jalan Simpang
Tiga, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 12 tengah malam itu, penghuni rumah berusia
50-an yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian, dia dan seorang
rakan menonton televisyen di ruang tamu, sebelum terdengar dentuman
kuat dari depan rumah.
“Saya terkejut apabila melihat kereta tersangkut pada bumbung rumah dan ia adalah kejadian kedua, kerana beberapa tahun lalu pagar rumah pernah dilanggar kereta terbabas,” katanya.
Difahamkan, kereta dipandu seorang lelaki dikenali sebagai Robert,
30, dari Jalan Rock dipercayai hilang kawalan akibat jalan licin ketika
hujan menyebabkan ia merempuh besi penghadang jalan dan kedai peralatan
pengantin sebelum ‘mendarat’ di bumbung garaj rumah berkenaan.
Namun pemandunya bernasib baik apabila hanya cedera ringan sebelum dibawa ke klinik dengan bantuan rakannya.
Dalam kejadian berasingan, seorang lelaki terselamat selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki hilang kawalan lalu terbabas di Jalan Mendu, beberapa minit kemudian pada malam sama. Kemalangan berlaku hanya 300 meter dari tempat kejadian pertama apabila pemandu, Lim Chin Kwong, 42, dari Jalan Arang gagal mengawal kenderaannya lalu berpusing sebelum merempuh pembahagi jalan serta tiang lampu.
Kejadian itu menyebabkan mangsa cedera ringan sebelum dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) dengan ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM). Satu lagi kemalangan berlaku membabitkan sebuah Proton Wira apabila pemandunya, Mohammad Ali Tambi, 44, hilang kawalan lalu merempuh penghadang sebelum berhenti di tengah-tengah jambatan, di Sejingkat.
Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan bersama seorang rakan, Mustapha Hassan, 27, dalam perjalanan ke Kampung Geobilt bertemu rakannya, pada jam 1 pagi. Kemalangan dipercayai berpunca keadaan jalan licin menyebabkan kenderaan dinaiki berpusing beberapa kali.