Edisi Hangat! Kisah Bahagia dan Romantik Safee Sali dan Sabrina Yusof Serta Keluarga Sebelum Krisis!

Oleh Kaki Wayang on


BERADA di negara orang, tidak bermakna budaya sendiri boleh terus dilupa dan mengekalkan budaya asal biarpun berada di tempat lain tidak bermaksud mengasingkan diri dari masyarakat setempat.


Begitulah gambaran yang boleh dibuat dalam kehidupan penyerang kebangsaan, Safee Sali yang kini menjadi tonggak kelab Pelita Jaya. Di sebalik kehidupan menjalani latihan di kelab, Safee tetap meluangkan masa bersama keluarga jika ada masa terluang.

Safee bersama isteri Sabrina Yusof dan dua anak, Nur Syaza Syaqina, 3, serta Nursyasya Safirna, 1, tinggal di Apartmen Bona Vista, kediaman mewah yang disediakan kelab itu.

“Masa saya agak sibuk di padang sama ada berlatih mahupun menghadapi perlawanan. Tapi saya tetap luangkan masa bersama keluarga kerana mereka juga perlukan perhatian saya. Latihan di sini agak ringan kerana pendekatan jurulatih (Miodrag Radovic) berbeza dengan jurulatih lain,” kata Safee yang ditemui di apartmennya, kelmarin.

Selain anak dan isteri, Safee turut ditemani ibu bapanya Maripah Hussain, Mohd Sali Mian selain adik serta adik iparnya Hidayah Sali serta Ayu Yusof.

“Kami sekeluarga sering keluar bersama ke mana-mana sekalipun. Ada kalanya jika saya menjalani latihan mereka akan datang ke mes penginapan skuad Pelita Jaya di Sawangan menyaksikannya. “Jika ada waktu lapang, saya kan bersantai di luar atau ke pusat membeli belah,” kata Safee.

Sabrina juga mengakui Safee sering sibuk, tapi perkara itu sudah biasa baginya kerana keadaan hampir sama di Selangor. Dalam kesibukan Safee, Sabrina tetap melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri dengan memasak di rumah seperti mana hidangan masakan Malaysia.

“Saya lebih senang memasak sendiri kerana lebih sedap memakan masakan yang kita sudah biasa. Malah sebelum ini juga Safee pernah kena cirit birit selama seminggu kerana kami makan di luar, jadi saya ambil keputusan untuk memasak sendiri,” kata Sabrina.

Melihat sambutan peminat di seluruh Indonesia yang pantang melihat kelibat Safee apabila mereka terus menjerit dan mendekati untuk bersalaman, Sabrina berkata dia tidak terkejut dengan senario itu.

“Di Selangor, selepas Piala AFF, beginilah reaksi peminat. Tapi di sini bagaikan satu fenomena, namun saya tidak kisah,” kata Sabrina yang tidak lekang senyuman ketika kami bertamu di kediamannya.

Begitupun, Safee ketika ini bimbang kesihatan puteri keduanya yang demam selsema sejak tiba hingga ke hari ini.

“Saya agak bimbang dengan keadaan Syasya kerana demamnya masih belum reda. Dia sudah dirawat di klinik panel kelab, hingga pada satu ketika doktor terpaksa menyedut kahak keluar dari paru-parunya. Mungkin dia belum dapat membiasakan diri dengan cuaca di sini,” kata Safee.

Dalam pada itu, Mohd Sali yang berada di Jakarta dengannya sejak 13 Februari lalu berkata, beliau gembira melihat keadaan anaknya tapi berasa perlu berada di sana lebih lama kerana bimbang meninggalkan menantunya keseorangan di rumah ketika Safee menjalani latihan.

“Pak cik rasa tak senang jika pulang ke Malaysia ketika ini kerana bimbangkan keadaan menantu dan cucu bersendirian di rumah jika Safee tiada. Pak cik juga bimbang keselamatan mereka jika ke stadium menonton perlawanan membabitkan Safee. Penonton di sini tidak seperti di Malaysia, ada antara mereka bertindak ganas,” kata Mohd Sali.

Pada cuti hujung minggu, Safee mengakui pada awalnya dia bersama keluarga gemar bersiar-siar dan ke pasar raya, melihat perbezaan budaya masyarakat serumpun. Namun kini pada cuti Ahad, dia berkira-kira untuk menaiki kenderaan kerana kota Jakarta mengalami kesesakan yang amat teruk.

“Dua perkara yang agak rumit dan memenatkan adalah kesesakan lalu lintas tanpa mengira hari dan masa serta jarak gelanggang sendiri yang terlalu jauh, lainnya tiada masalah bagi saya,” kata Safee.

Jarak pangkalan latihan Pelita Jaya di Sawangan ke Stadium Singaperbangsa, Karawang di Jawa Barat hampir 100 kilometer. Adakalanya kesesakan di Jakarta berlarutan ke lebuh raya menuju ke Karawang.

Mengenai Penulis:

Kaki Wayang mula terlibat dan serius dalam dunia penulisan kreatif sejak tahun 2006. Beliau juga terlibat dalam penciptaan lagu dan lirik lagu Nasyid dan pernah menjulang nama Politeknik Muadzam Shah apabila menjuarai Pertandingan Lagu-lagu Patriotik di PNM, Kuala Lumpur pada tahun 2007.

Ikuti perkembangan terbaru beliau melalui @ Blog Paling Hangat! | Facebook

Comments
0 Comments

{ 0 Komen Membina!... read them below or add one }

Post a Comment