Edisi Informasi! Dasar Gaji Minimum Tidak Mufliskan Negara!

Oleh Kaki Wayang on


Kementerian Sumber Manusia (KSM) menafikan dasar gaji minimum yang mahu dilaksanakan kerajaan akan menyebabkan ekonomi Malaysia muflis sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak benar.

Menterinya,  Datuk Seri Dr S. Subramaniam sebaliknya berkata, negara akan mempunyai keupayaan untuk melaksanakannya dan pada masa sama memperkembangkan ekonomi negara.

“Dasar ini tidak akan memberi kesan buruk kepada ekonomi negara secara keseluruhan. Malaysia bukan negara pertama memperkenalkan gaji minimum kerana negara seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom telah lama melaksanakan dasar ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Penyampaian  Sijil Tamat latihan Program Pelatih Penyiaran Astro 2011 di sini hari ini.

Media baru-baru ini melaporkan Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai berkata, beliau bimbang Malaysia mungkin menghadapi kesukaran kewangan yang serius atau menjadi muflis seperti Barat jika kerajaan membayar lebih untuk kurang bekerja.

Beliau dipetik berkata, ini boleh berlaku apabila gaji atau pampasan untuk bekerja tidak diikuti dengan pertambahan produktiviti.

Mengulas lanjut, Subramaniam berkata, Malaysia tidak sepatutnya dibandingkan dengan Vietnam atau Kemboja dalam hal tersebut kerana negara ini sedang bergerak ke arah matlamat menjadi negara berpendapatan tinggi.

Justeru, katanya, Malaysia seharusnya bersaing dengan negara maju seperti Singapura atau Taiwan apabila melibatkan soal dasar gaji minimum.

Jelasnya, kerajaan mahu rakyat memperoleh gaji yang lebih daripada gaji minimum dan bukannya pada gaji minimum.

Mengenai Penulis:

Kaki Wayang mula terlibat dan serius dalam dunia penulisan kreatif sejak tahun 2006. Beliau juga terlibat dalam penciptaan lagu dan lirik lagu Nasyid dan pernah menjulang nama Politeknik Muadzam Shah apabila menjuarai Pertandingan Lagu-lagu Patriotik di PNM, Kuala Lumpur pada tahun 2007.

Ikuti perkembangan terbaru beliau melalui @ Blog Paling Hangat! | Facebook

Comments
0 Comments

{ 0 Komen Membina!... read them below or add one }

Post a Comment