Edisi Ngeri! Anak hamil dikelar menantu!

Oleh Kaki Wayang on

Hasrat seorang bapa untuk menimang cucu sulung musnah apabila anaknya yang hamil sebulan ditemui mati dengan kesan dikelar pada lehernya di sebuah rumah di Batu 16, Jalan Kastari, Ulu Tiram, di sini, petang kelmarin.

Lebih menyayat hati, pembunuhan kejam Rohana Hamzah, 26, yang didakwa keluarga mangsa sebagai angkara suaminya berlaku pada tahun kelima perkahwinan pasangan berkenaan mendirikan rumah tangga. Bapa mangsa, Hamzah Mohamad, 51, berkata, dia rebah kerana hatinya hancur sejurus melihat jenazah Rohana tertiarap berlumuran darah di bilik tidur di rumah sewa pasangan berkenaan.

Menurutnya, dia bergegas ke rumah itu selepas menerima panggilan daripada bapa saudara menantunya yang memaklumkan timbul masalah membabitkan pasangan berkenaan, kira-kira jam 2.30 petang. Bagaimanapun, katanya, dia mula cemas selepas melihat polis dan orang ramai mengerumuni rumah anak perempuannya itu sebelum rebah sejurus melihat jenazah anak ketiganya itu dengan tangan terkilas ke belakang.

“Saya mula rasa ada yang tak kena apabila melihat menantu berusia 24 tahun dalam keadaan bergari dan dibawa polis,” katanya yang ditemui di Hospital Sultan Ismail (HSI), semalam.

Hamzah berkata, kali terakhir dia berjumpa Rohana ketika anaknya itu pulang bercuti seminggu iaitu sebelum Aidiladha lalu di rumahnya di Taman Sri Pulai di Skudai pada 14 November lalu.

“Kali terakhir Rohana menghubungi adiknya pula kira-kira jam 11.15 pagi pada hari kejadian. Dia bertanyakan salinan MyKad miliknya yang tertinggal di rumah kami. “Bagaimanapun, perbualan singkat itu terhenti dan pada masa sama, adiknya mendengar bunyi bising sebelum talian terputus,” katanya.

Menurutnya, risau dengan keadaan itu, mereka sekali lagi cuba menghubungi Rohana, tetapi panggilan tidak berjawab.

“Kami tahu sangat sikap cemburu dan panas baran suaminya kerana pernah melihat dia memukul Rohana di depan kami. “Malah, kami juga berat melepaskan Rohana pulang pada malam sebelum kejadian memandangkan dia baru saja dicederakan suami sebelum pulang ke rumah kami,” katanya.

Hamzah berkata, kecederaan itu menyebabkan Rohana dirawat di wad selama tiga hari selain menerima lapan jahitan dan ketika ditanya, arwah anaknya itu mengatakan ia akibat terkena kaca. Bagaimanapun, keluarga Rohana sangsi dan percaya ia akibat kelaran menggunakan pisau, malah doktor yang merawatnya juga meragui kecederaan itu berpunca daripada kaca.

“Tapi, semuanya sudah ditakdirkan dan sekelip mata bukan saja kehilangan anak tersayang, malah cucu dalam kandungan,” katanya.

Jenazah mangsa dihantar ke HSI untuk dibedah siasat sebelum dituntut keluarga petang semalam dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 10, Skudai.

Mengenai Penulis:

Kaki Wayang mula terlibat dan serius dalam dunia penulisan kreatif sejak tahun 2006. Beliau juga terlibat dalam penciptaan lagu dan lirik lagu Nasyid dan pernah menjulang nama Politeknik Muadzam Shah apabila menjuarai Pertandingan Lagu-lagu Patriotik di PNM, Kuala Lumpur pada tahun 2007.

Ikuti perkembangan terbaru beliau melalui @ Blog Paling Hangat! | Facebook

Comments
2 Comments

{ 2 Komen Membina!... read them below or add one }

www.terbaik.my said...

giler ngeri~~

Farhan Yusuf said...

Ya Allah..
ape kesudahnyer isi dunia sekarang ini..

Post a Comment