Edisi Sentap! Pelajar Dirotan Sampai Berdarah!

Oleh Kaki Wayang on


Hanya kerana mengejek seorang rakan, seorang pelajar Tingkatan Dua di sebuah sekolah tahfiz swasta di Alor Gajah, dirotan sebanyak 10 kali oleh gurunya sehingga berdarah. Kejadian berlaku di sebuah kelas di sekolah berkenaan, kira-kira 7.30 pagi, Khamis lalu, mengakibatkan Amir Azamuddin Abd Rahim, 14, lebam dan calar balar di bahagian belakang badan, kedua-dua bahu serta betis.
 
Guru berkenaan yang dipanggil mereka sebagai ustaz menjatuhkan hukuman di hadapan pelajar lain dengan menggunakan rotan sebesar ibu jari tangan yang dibalut pita pelekat di hujungnya.
 
Bapa mangsa, Abd Rahim Abdul Wahid, 37, berkata, anaknya memberitahu, kejadian berpunca daripada seorang rakannya mengadu kepada guru berkenaan mengenai perbuatannya mengejeknya, sehari sebelum itu.
 
“Ustaz berkenaan datang berjumpa anak saya dan tiga rakannya sebelum merotan kesemua mereka. Bagaimanapun, hanya anak saya seorang dirotan sehingga 10 kali, sementara yang lain dirotan sebanyak tiga dan empat kali.
 
“Akibat tidak tahan, anak saya lari keluar dari kelas dan mendapatkan pertolongan rakan saya,” katanya.
 
Abd Rahim berkata, dia dihubungi isterinya, Meme­dalina Abu, 34, yang berada di rumah kira-kira 12 tengah hari, selepas dimaklumkan kejadian itu oleh lelaki terbabit.
 
“Saya pergi ke sekolah berkenaan untuk membawa pulang Amir Azamuddin. Di dalam kereta anak saya menceritakan segalanya sebelum saya terus membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, kira-kira 3 petang,” katanya.
 
Menurutnya, ketika di IPD, guru berkenaan turut dipanggil polis untuk memberi keterangan dan sempat meminta maaf atas perbua­­tan­nya, serta mengakui bertindak mengikut emosi.
 
“Saya tidak kisah anak saya dirotan kerana kesalahannya, tapi hukuman sebegitu adalah keterlaluan,” katanya.
 
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Abd Rahman Jid berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan.

Mengenai Penulis:

Kaki Wayang mula terlibat dan serius dalam dunia penulisan kreatif sejak tahun 2006. Beliau juga terlibat dalam penciptaan lagu dan lirik lagu Nasyid dan pernah menjulang nama Politeknik Muadzam Shah apabila menjuarai Pertandingan Lagu-lagu Patriotik di PNM, Kuala Lumpur pada tahun 2007.

Ikuti perkembangan terbaru beliau melalui @ Blog Paling Hangat! | Facebook

Comments
0 Comments

{ 0 Komen Membina!... read them below or add one }

Post a Comment