Edisi Sukan! Keputusan Terkini Le Tour De Langkawi - Jose Serpa Juara Baru LTDL!

Oleh Kaki Wayang on


JOSE SERPA sekali lagi membuktikan kehebatannya pada Le Tour de Langkawi (LTdL) apabila memenangi Jersi Kuning selaku juara keseluruhan selepas perlumbaan berstatus 2.0 Hors edisi ke-17 itu melabuhkan tirainya di Kuala Terengganu semalam.

Ini kali kedua pelumba pasukan Androni Giocattoli itu dinobatkan sebagai juara selepas dia turut memenangi Jersi Kuning pada edisi 2009 dengan kehebatannya menawan peringkat pendakian paling sukar ke puncak Genting Highlands.


Serpa, 33, memenangi Jersi Kuning kali ini dengan mengatasi rakan sepasukannya, Jose Rujano dengan kelebihan 30 saat dan kejayaannya menawan puncak Genting juga menyaksikan dia memenangi Jersi Merah selaku Raja Bukit.

“Kejayaan memenangi dua jersi pada LTdL kali ini adalah sesuatu yang istimewa bagi saya dan juga kepada pengurus serta rakan-rakan sepasukan.

“Saya tidak terfikir akan memenangi Jersi Kuning sekali lagi, apatah lagi untuk menyarung dua jersi. Namun hasil kerjasama yang luar biasa daripada rakan-rakan sepasukan, saya mahu hadiahkan kejayaan ini kepada mereka,” kata Serpa yang turut muncul pelumba kedua dinobatkan juara sebanyak dua kali selepas Paolo Lanfranchi (1999 dan 2001).

Begitupun, tumpuan pada peringkat terakhir LTdL 2012 dari Dataran Tasik Kenyir ke Kuala Terengganu semalam lebih tertumpu kepada pelumba pasukan Farnese Vini-Selle Italia, Andrea Guardini yang dinobat sebagai pemenang Jersi Biru selaku Raja Pecut.

Guardini, 23, turut mencipta sejarah dengan muncul pelumba pertama memenangi 11 peringkat perlumbaan LTdL selepas menjuarai peringkat terakhir semalam yang juga kejayaan keenamnya pada edisi kali ini.

“Sudah tentu saya berasa gembira kerana mencatat rekod sejarah baharu dalam LTdL. Ini kali kedua saya beraksi di Malaysia dan kejayaan memenangi gelaran Raja Pecut akan saya pertahankan pada tahun depan.

“Saya juga amat berterima kasih kepada rakan-rakan sepasukan saya yang tidak pernah berputus asa membantu saya sepanjang perlumbaan di sini. 

“Mereka banyak memberi kerjasama yang menakjubkan dan mereka semua adalah pelumba yang hebat,” kata Guardini yang mengatasi pelumba Astana, Valentin Iglinskiy dengan kelebihan 9 mata dalam persaingan Jersi Biru tersebut.

Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia pula menjadi milik pelumba Kazakhstan dari pasukan Astana, Alexandre Dyachenko yang mengatasi pelumba Iran dari Tabriz Petrochemical, Ghader Mizbani.

Mengenai Penulis:

Kaki Wayang mula terlibat dan serius dalam dunia penulisan kreatif sejak tahun 2006. Beliau juga terlibat dalam penciptaan lagu dan lirik lagu Nasyid dan pernah menjulang nama Politeknik Muadzam Shah apabila menjuarai Pertandingan Lagu-lagu Patriotik di PNM, Kuala Lumpur pada tahun 2007.

Ikuti perkembangan terbaru beliau melalui @ Blog Paling Hangat! | Facebook

Comments
0 Comments

{ 0 Komen Membina!... read them below or add one }

Post a Comment