Pemain tengah Barcelona, Andres Iniesta mengakui The Catalan akan berdepan Chelsea yang dianggap sebuah pasukan yang penuh dengan dendam terhadap pasukannya pada aksi separuh akhir Liga Juara-Juara awal pagi esok. Ini kerana bintang tengah Barca itu merupakan orang yang bertanggungjawab mengecewakan The Blues apabila menjaringkan gol kemenangan pada separuh akhir edisi 2009.
Ditambah pula dengan kontroversi apabila Chelsea menuduh pengadil, Tom Henning Ovrebo pilih kasih pada pertemuan tiga tahun lalu itu. Kini Iniesta kembali ke London pada perlawanan timbal balik pertama selaku pasukan pilihan untuk menjejakkan kaki ke pentas final buat kali ketiga sepanjang empat musim.
Iniesta berkata: "Apabila sesuatu perkara yang berlaku sebagaimana yang terjadi terhadap Chelsea beberapa tahun lalu yang mana kamu tersingkir pada minit-minit terakhir perlawanan, ternyata ia akan mengecewakan kamu.
"Kini, kami kembali beraksi menentang mereka dan Chelsea ternyata mahu menebus kekalahan pada peringkat separuh akhir edisi 2009. "Pada perlawanan tersebut, saya berpendapat nasib lebih memihak kepada kami apabila berjaya menjaringkan gol kemenangan.
"Namun, semua pihak mengetahui pada ketika itu ia turut menimbulkan kontroversi apabila Chelsea berang dengan keputusan pengadil yang didakwa berat sebelah. "Namun, situasi itu telah berubah dan mereka semakin ghairah untuk menewaskan kami.
"Chelsea merupakan sebuah pasukan yang berpengalaman dan kehadiran dua pemain Sepanyol, Fernando Torres dan Juan Mata menjadikan mereka semakin kuat."