SEBUAH batu bundar yang berwarna hitam dan berlubang, terletak di
sudut timur Kaabah atau sebelah kiri Multazam (antara Hajar Aswad dan
pintu Kaabah), tingginya sekitar 150 sentimeter, di atas tanah.
Batu ini mempunyai lingkaran sekitar 30 sentimeter dan garis tengah
10 sentimeter, lebih besar daripada lingkaran muka seseorang. Kerana
itu, seseorang yang ingin mencium batu ini harus memasukkan mukanya ke
dalam lubang itu.
Kepala yang besar pun dapat dimasukkan ke dalam lubang batu hitam
ini. Bahagian luar batu hitam ini diikat dengan pita perak yang
berkilat.
Asal dan Sejarah Hajar Aswad
Menurut banyak riwayat, antara lain daripada Abdullah bin Umar bin Khattab, Hajar Aswad berasal dari syurga.
Riwayat oleh Sa'id bin Jubair r.a daripada Ibnu Abbas daripada Ubay
bin Ka'b r.a, menerangkan bahawa Hajar Aswad dibawa turun oleh malaikat
dari langit ke dunia.
Abdullah bin Abbas juga meriwayatkan bahawa Hajar Aswad adalah batu
yang berasal dari syurga, tidak ada sesuatu selain batu itu yang
diturunkan dari syurga ke dunia ini. Riwayat-riwayat di atas disebutkan
oleh Abu al-Walid Muhammad bin Abdullah bin Ahmad al-Azraki (M.224 H/837
M), seorang ahli sejarah dan penulis pertama sejarah Mekah.Tidak
ditemukan maklumat yang jelas tentang siapa yang meletakkan Hajar Aswad
itu pertama kali di tempatnya di Kaabah; apakah malaikat atau Nabi Adam
a.s.
Pada mulanya Hajar Aswad tidak berwarna hitam, melainkan berwarna
putih bagaikan susu dan berkilat memancarkan sinar yang cemerlang.
Abdullah bin Amr bin As r.a (7 SH-65 H) menerangkan, perubahan warna
Hajar Aswad daripada putih menjadi hitam disebabkan sentuhan orang-orang
musyrik. Hal yang sama diungkapkan oleh Zubair bin Qais (M. 76 H/65 M).
Dikatakannya bahawa Hajar Aswad adalah batu dunia yang berasal dari
syurga yang dahulunya berwarna putih berkilauan, lalu berubah menjadi
hitam kerana perbuatan keji dan kotor yang dilakukan oleh orang musyrik.
Namun, kelak batu ini akan berwarna putih kembali seperti sedia kala.
Menurut riwayat Ibnu Abbas dan Abdullah bin Amr bin As, dahulu Hajar
Aswad tidak hanya berwarna putih tetapi juga memancarkan sinar yang
berkilauan.
Jika Allah SWT tidak memadamkan kilauannya, tidak seorang manusia pun yang sanggup mamandangnya.
Pada tahun 606 M, ketika Nabi SAW berusia 35 tahun, Kaabah mengalami
kebakaran besar sehingga perlu dibina kembali oleh Nabi Muhammad SAW dan
kabilah-kabilah terdapat di Mekah ketika itu.
Semasa pembangunan semula itu selesai, dan Hajar Aswad hendak
diletakkan kembali ke tempatnya, terjadilah perselisihan di antara
kabilah-kabilah itu tentang siapa yang paling berhak untuk meletakkan
batu itu di tempatnya.
Melihat keadaan ini, Abu Umayyah bin Mugirah dari suku Makzum,
sebagai orang yang tertua, mengajukan usul bahawa yang berhak meletakkan
Hajar Aswad di tempatnya adalah orang yang pertama sekali memasuki
pintu Safa keesokan harinya.
Ternyata orang itu adalah Muhammad yang ketika itu belum menjadi
rasul. Dengan demikian, dialah yang paling berhak untuk meletakkan Hajar
Aswad itu di tempatnya. Akan tetapi dengan keadilan dan
kebijaksanaannya, Muhammad tidak langsung mengangkat Hajar Aswad itu.
Baginda melepaskan serbannya dan menghamparkannya di tengah-tengah
anggota kabilah yang ada. Hajar Aswad lalu diletakkannya di
tengah-tengah serban itu.
Baginda kemudian meminta para ketua kabilah untuk memegang seluruh
tepi serban dan secara bersama-sama mengangkat serban sampai ke tempat
yang dekat dengan tempat diletakkannya Hajar Aswad.
Muhammad sendiri memegang batu itu lalu meletakkannya di tempatnya.
Tindakan Muhammad ini mendapat penilaian dan penghormatan yang besar
dari kalangan ketua kabilah yang berselisih faham ketika itu.
Awalnya, Hajar Aswad tidak dihiasi dengan lingkaran pita perak di
sekelilingnya. Lingkaran itu dibuat pada masa-masa berikutnya. Menurut
Abu al-Walid Ahmad bin Muhammad al-Azraki (M. 203 H), seorang ahli
sejarah kelahiran Mekah, Abdullah bin Zubair adalah orang pertama yang
memasang lingkaran pita perak di sekeliling Hajar Aswad, setelah terjadi
kebakaran pada Kaabah.
Pemasangan pita perak itu dilakukan agar Hajar Aswad tetap utuh dan
tidak mudah pecah. Pemasangan pita perak berikutnya dilakukan pada 189
H, ketika Sultan Harun ar-Rasyid, Khalifah Uthmaniah (memerintah tahun
786-809 M), melakukan umrah di Masjidil Haram.
Ia memerintahkan Ibnu at-Tahnan, seorang pengukir perak terkenal
ketika itu, untuk menyempurnakan lingkaran pita perak di sekeliling
Hajar Aswad dan membuatnya lebih berkilat dan berkilau.
Usaha berikutnya dilakukan oleh Sultan Abdul Majid, Khalifah
Uthmaniah (1225-1277 H/1839-1861 M). Pada tahun 1268 H, baginda
menghadiahkan lingkaran emas untuk dililitkan pada Hajar Aswad, sebagai
pengganti lingkaran pita perak yang telah hilang.
Lingkaran emas itu kemudian diganti dengan lingkaran perak oleh
Sultan Abdul Aziz, Khalifah Uthmaniah (1861-1876 M). Pada 1331 H, atas
perintah Sultan Muhammad Rasyad (Muhammad V, memerintah pada tahun
1909-1918), lingkaran pita perak itu diganti dengan lingkaran pita perak
yang baru. Untuk menjaga dan mengekalkan keutuhannya, Hajar Aswad
sering dililit dan dilingkari pita perak.