Penjaga gawang gol skuad bola sepak Harimau Malaya, Khairul Fahmi Che
Mat atau lebih dikenali sebagai Apex, ternyata popular dan semakin hari
semakin hangat.
Terbaru, dia terpilih untuk menjadi penghias kulit hadapan majalah
GLAM Lelaki dengan aksi yang bukan sahaja macho, malah juga seksi.
Dia menghiasi kulit majalah itu bagi edisi Januari/Februari 2012.
Khairul Fahmi, 22, beraksi di depan lensa dengan seorang model,
Anastascia yang seolah-olah sedang membuka baju Apex dari belakang.
Majalah GLAM yang mengiktiraf kehadiran Apex di dunia selebriti itu
dipercayai bakal menarik ramai peminat untuk memiliki majalah edisi itu
setelah turut menampilkan Datuk Siti Nurhaliza sebagai Madonna untuk
edisi khas Januari/Februari ini.
Gambar kulit depan yang tersiar di Mediamalaya.com yang memetik dari ruangan forum terkenal,
Cari.com.my
tersebut turut dicetak tajuk Apex sebagai “The World Class Goalkeeper”
(penjaga gol bertaraf dunia) dan dipercayai akan menceritakan kehebatan
aksi Apex mengawasi pintu gol skuad bola sepak negara.
Perkembangan ini agak mengejutkan kerana sebelum ini, Apex pernah
dilaporkan seolah-olah ingin bersara awal dari karier bola sepak setelah
dihujani pelbagai kontroversi yang membabitkan diri dan aktiviti
sosialnya.
Persoalannya, apakah Apex benar-benar serius dengan kenyataan ‘merajuk’ tersebut dan beralih arah ke bidang peragaan?
Jika benar, apakah negara dan skuad Harimau Malaya bakal kehilangan
seorang penjaga gol yang sangat berpotensi serta berpengalaman seperti
Khairul Fahmi Che Mat?
Namun, Apex telah membuktikan bahawa dirinya mampu menjadi fenomena
dan memiliki ‘aura’ yang berjaya menarik ramai pihak untuk terus
menyokongnya, khususnya setelah mempertahan dan menewaskan skuad Garuda
di tempat lawan pada Sukan Sea di Indonesia baru-baru ini.
Kredit: MyNewsHub