TERBAIK...Annuar (kanan) menyampaikan Anugerah Supermokh kepada Norshahrul semalam.
PENYERANG Terbaik 2011, Norshahrul Idlan Talaha tidak berminat
mengikut jejak langkah rakan baiknya, Mohd Safee Sali berhijrah ke
Indonesia meskipun mengakui menerima banyak tawaran lumayan beraksi
bersama kelab Liga Super negara jiran itu.
Dia yang turut menerima anugerah Supermokh selaku Pemain Paling
Bernilai pada majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2011 semalam
menyatakan tidak tertarik untuk beraksi di Indonesia, sebaliknya lebih
berminat untuk mewakili kelab di Vietnam atau Thailand.
“Saya mendapat banyak tawaran daripada kelab Indonesia sejak Safee mula
berpindah ke negara itu. Tapi bagi saya sendiri, saya sebenarnya lebih
berminat untuk beraksi di Vietnam atau Thailand.
“Buat apa saya mahu pergi ke Indonesia sebab kita lebih baik
berbanding mereka. Sukan Sea pun kita boleh mengalahkan mereka. Kalau
hanya sebab sokongan penyokong kelab di sana bagus, penyokong di
Kelantan juga bagus,” katanya yang ditemui pemberita semalam.
Norshahrul, 25, yang turut senang disapa dengan panggilan Mat Yo
mengakui dirinya masih mahu memberikan komitmen bersama juara Liga
Super, Kelantan selepas menandatangani kontrak baru selama dua tahun.
Dia yang meledak 19 gol musim lalu bagaimanapun terkejut dengan
anugerah Supermokh yang diterimanya itu kerana menjangkakan rakan
sepasukannya, Khairul Fahmi Che Mat turut berpeluang cerah.
“Saya sebenarnya terkejut kerana menerima anugerah Supermokh yang
pertama kali diperkenalkan tahun ini kerana Apek (Khairul Fahmi) beraksi
banyak perlawanan. Apapun saya berterima kasih kepada rakan sepasukan
yang banyak membantu,” katanya yang turut meraih dua anugerah sama tahun
lalu.
Mengulas mengenai sasarannya selepas ini, Norshahrul
mahu memberi fokus untuk membantu Kelantan merebut trofi di peringkat
domestik dan juga dalam kempen kejohanan Piala AFC.
Malah dia turut berazam membantu skuad kebangsaan mempertahankan
Piala AFF apabila Malaysia menjadi tuan rumah tahun depan serta muncul
pemain paling bernilai kejohanan dwitahunan itu.
“Saya
berharap agar Malaysia dapat mengekalkan kejuaraan (Piala AFF) dan
sasaran peribadi saya adalah untuk merampas anugerah pemain terbaik
kejohanan itu yang diraih pemain Indonesia, Firman Utina,” katanya.