Filem arahan James Lee itu memilih Seputeh, Perak sebagai lokasi utama filem ini. Penggambaran yang memakan masa selama sebulan setengah dengan bajet RM3 juta, meletakkan Petaling Street Warrior sebagai filem Cina tempatan termahal pernah diterbitkan di Malaysia.
Bagi menjanjikan yang terbaik kepada peminat filem, penerbit, Sampson Yuan, menggunakan khidmat koreografer aksi lasak terkenal dari Hong Kong, Ma Yuk Sing. Antara babak aksi lasak yang dihasilkannya boleh ditonton menerusi filem Storm Riders 2 dan A Chinese Ghost Story.
Berlatarkan situasi di Jalan Petaling (Petaling Street) sekitar 1908, filem ini mengisahkan Shi Duyao (lakonan Mark Lee), seorang penjual mi Hokkien di sebuah warung di Jalan Petaling. Dia tidak tahu yang dia sebenarnya adalah pewaris Kerajaan Jianwen dari Dinasti Ming yang sudah melarikan diri ke Asia Tenggara beratus tahun dulu.
Isterinya, Zhung Li Chun (Yeo Yann Yann), secara rahsia cuba melindungi Shi Duyao dengan bantuan sepupunya Liu Kun (Namewee). Sering diganggu oleh penjahat yang mencari peta harta karun, Shi Duyao harus memahirkan diri dengan seni mempertahankan diri, Kungfu Dara (Virgin Kungfu Skills) secepat yang mungkin bagi menentang penjahat itu.