“Berdasarkan
keadaan sekarang ini terdapat banyak masjid dan surau d merata
tempat,bolehkah Ustaz huraikan tentang solat jamak @ qasar yg mana pada
dasar permerhatian saya sesetengah orang engan mengerjakan solat jamak @
qasar semasa bermusafir . Apakah niat, syarat dan cara mengerjakannya?”
Jawapannya
Menurut Dato Ismail Kamus dan Mohd Azrul Azlen Ab. Hamid dalam bukunya Indahnya Hidup Bersyariat bahawa :
Pengertian
solat jamak ialah mengumpulkan dua solat dalam satu waktu, contohnya
mengumpulkan waktu zohor kepada asar atau asar kepada zohor, maghrib
kepada isyak atau isyak kepada maghrib. Manakala solat qasar ialah
memendekkan solat daripada 4 rakaat menjadi 2 rakaat. Solat yang boleh
dipendekkan menjadi 2 rakaat ialah solat zuhur, asar dan isyak. Solat
jamak atau solat qasar diharuskan kepada sesiapa yang musafir lebih
dari 2 marhalah (60 batu) atau lebih 90 KM.
Pembahagian Solat Jamak
Jamak
Taqdim ialah melakukan solat jamak pada waktu yang awal iaitu zuhur dan
maghrib. Contohnya solat zuhur dijamakkan dengan asar pada waktu zuhur,
solat maghrib dan isyak pada waktu maghrib, maka ini dinamakan solat
jamak taqdim.
Jamak Takhir ialah melakukan solat jamak pada waktu
yang akhir iaitu asar dan isyak. Contohnya melaksanakan solat zuhur dan
asar pada waktu asar, solat maghrib dan isyak pada waktu isyak, maka
ini dinamakan solat jamak takhir.
Hikmah dan Hukum solat Jamak dan Qasar
Hikmah
solat Jamak dan Qasar adalah untuk mempermudahkan atau memberikan
keringanan kepada orang yang musafir lebih dari 2 marhalah. Orang
musafir sering mengalami masalah dalam perjalanannya, sukar untuk
berhenti solat dan sebagainya, maka dari itulah Allah memberikan
kemudahan kepada umat Islam untuk jamak dan qasar solat fardhunya. Tiada
alasan lagi bagi orang yang musafir untuk meninggalkan solat fardhu.
Hukum solat jamak dan Qasar ini adalah harus, terpulang kepada orang
yang musafir untuk mendirikan solat sempurna atau jamak dan qasar, tidak
menjadi masalah, nak buat jamak qasar tidak menjadi masalah atau tidak
mahu buatpun tidak menjadi masalah.
Syarat Jamak Taqdim
- Solat pada waktunya yang awal seperti solat zuhur dan maghrib.
- Niat jamak pada waktu solat yang pertama.
- Berturut-turut antara solat yang pertama dan kedua dan tidak boleh diselangi dengan perbuatan lain dari solat.
- Diselangi dengan iqamah dan mengambil wuduk maka jamaknya tidak batal.
- Berkekalan musafirnya sehingga solat yang kedua.
Syarat Jamak Takhir
- Berniat untuk mentakhirkan solat yang pertama pada waktu kedua ketika masuk waktu solat pertama.
- Berkekalan musafir sehingga selesai kedua-dua solat.
Syarat Qasar
- Musafir hendaklah tidak bertujuan maksiat.
- Perjalanan tidak kurang dari dua marhalah.
- Solat yang diqasarkan hendaklah solat zuhur, asar dan isyak sahaja.
- Hendaklah diniatkan qasar dalam niat solat.
- Tidak boleh berimam orang yang solat penuh (sempurna).
- Berkekalan perjalanan sehingga sempurna solat.
- Dia tahu orang musafir itu harus mengerjakan solat qasar.
Niat Solat Jamak dan Qasar
Jamak Taqdim dan Qasar
Zuhur-Asar
أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا مجموعا إليه العصر أداء لله تعالى
“Sengaja aku solat fardhu zuhur dua rakaat dipendekkan dan dihimpunkan kepadanya asar tunai kerana Allah Taala”.
أصلي فرض العصر ركعتين قصرا مجموعا إلي الظهر أداء لله تعالى
“Sengaja aku solat fardhu asar dua rakaat dipendekkan dan dihimpunkan kepada zuhur tunai kerana Allah Taala”.
Maghrib-Isyak
أصلي فرض المغرب ثلاث ركعات مجموعا إليه العشاء أداء لله تعالى
“Sengaja aku solat fardhu maghrib 3 rakaat dihimpunkan kepadanya isyak tunai kerana Allah Taala”.
أصلي فرض العشاء ركعتين قصرا مجموعا إلي المغرب أداء لله تعالى
“Sengaja aku solat fardhu isyak dua rakaat dipendekkan dan dihimpunkan kepada maghrib tunai kerana Allah Taala”.
Jamak Takhir dan Qasar
Asar-Zuhur
أصلي فرض العصر ركعتين قصرا مجموعا إليه الظهر أداء لله تعالى
“Sengaja aku solat fardhu asar dua rakaat dipendekkan dan dihimpunkan kepadanya zuhur tunai kerana Allah Taala”.
أصلي فرض الظهر ركعتين قصرا مجموعا إلي العصر أداء لله تعالى
“Sengaja aku solat fardhu zuhur dua rakaat dipendekkan dan dihimpunkan kepada asar tunai kerana Allah Taala”.
Isyak-Maghrib
أصلي فرض العشاء ركعتين قصرا مجموعا إليه المغرب أداء لله تعالى
“Sengaja aku solat fardhu isyak dua rakaat dipendekkan dan dihimpunkan kepadanya maghrib tunai kerana Allah Taala”.
أصلي فرض المغرب ثلاث ركعات مجموعا إلي العشاء أداء لله تعالى
“Sengaja aku solat fardhu maghrib 3 rakaat dihimpunkan kepada isyak tunai kerana Allah Taala”.
Cara Mengerjakan Solat Jamak dan Qasar
Di
sini saya datangkan cara mengerjakan solat jamak dan qasar berdasarkan
penerangan Ustaz Sulaiman Endut dalam bukunya Asas-asas Fardhu Ain,
iaitu seperti berikut :
- Solat zuhur dan asar itu hendaklah dilakukan dalam waktu zuhur. Kalau jamak takhir hendaklah dilakukan dalam waktu asar.
- Berdiri lurus mengadap kiblat.
- Berniat
hendak mengerjakan solat zuhur secara jamak taqdim dan qasar. Kalau
jamak takhir solat jamak dan qasar pada waktu terakhir.
- Setelah itu kerjakan solat zuhur sebanyak dua rakaat sehingga selesai memberi salam.
- Kemudian berdiri semula untuk mendirikan solat yang kedua iaitu asar.
- Berniat untuk mengerjakan solat asar secara jamak takhir.
- Kerjakanlah solat asar sebanyak dua rakaat sehingga selesai.
- Kalau
qasar jamak taqdim atau jamak takhir antara solat maghrib dan isyak,
maka hendaklah niatkan solat maghrib secara jamak takdim atau jamak
takhir sahaja tanpa menyebut qasarnya.
Sila baca selanjutnya → Edisi Insaf! Niat, Syarat & Cara Solat Jamak & Qasar