GEMBIRA...Rawi Ilias menunjukkan batu untuk membaiki jalan yang mengandungi hablur emas.
Penduduk memaklumkan, mereka mendapat kerjasama wakil kedai emas berkenaan yang datang ke lokasi dan melakukan pemeriksaan ke atas ketulan batu itu, kelmarin. Hasilnya, wakil berkenaan mendakwa ketulan batu diselaputi warna kuning tua itu adalah emas tulen yang mempunyai gred terbaik.
Bagaimanapun, perkara itu belum ditentukan kesahihannya 100 peratus kerana banyak lagi kajian serta ujian perlu dilakukan sebelum menyatakan ketulan batu berkenaan sahih diselaputi emas tulen.
Idham Mohd Diah, 36, berkata, wakil pemilik kedai emas yang mengunjungi tapak pencarian itu turut dikatakan menempah batu kononnya mengandungi hablur emas.
“Saya dan bapa menemui beberapa ketulan emas sejak mencarinya empat hari lalu,” katanya.
“Kami bercadang kembali semula ke sini pagi ini dengan harapan dapat menemui lebih banyak batu berkenaan. “Saya mendapat tahu berkaitan penemuan batu terbabit menerusi rakan yang mendakwa mengumpul 20 ketulan batu bersalut hablur emas dalam tempoh dua jam, kelmarin.
“Sekiranya benar ia emas tulen, kami menganggapnya rezeki,” katanya.
Munawarah berkata, dia turut tahu berkaitan kesahihan yang dimaklumkan wakil kedai emas berkenaan dan berharap ia benar.
Penduduk, Mohd Diah Abdullah, 63, berkata, suasana perkampungan itu bertukar riuh selepas penemuan batu bersalut warna keemasan terbabit.
Menurut Diah, individu pertama menemui batu itu adalah keluarga besannya, empat hari lalu.