Kegembiraan sepasang suami isteri dikurniakan anak selepas menanti
hampir enam tahun bertukar duka apabila bayi itu yang lahir pada tarikh
keramat 31 Ogos lalu mengalami kecacatan otak berada di luar tempurung
kepalanya. Lebih menyedihkan, bayi lelaki itu disahkan doktor menunggu masa
untuk pergi buat selama-lamanya kini ditempatkan di bawah kawalan
doktor pakar Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini.
Bapa
bayi yang diberi nama Eyrshah Elman itu, Erywan Yaacob, 32, menyifatkan
akur nasib menimpa bayinya, namun dia dan isteri, Noraishah Alaby, 32,
kesal dengan kegagalan petugas sebuah klinik kesihatan berhampiran
rumahnya di Gelang Petah yang tidak dapat mengenal pasti masalah
kandungan isterinya sejak awal.
“Setiap kali menjalankan pemeriksaan, doktor dan jururawat di
klinik itu menyatakan isteri dan bayi di dalam kandungan sihat dan
selamat. “Sehingga seminggu sebelum kelahirannya, doktor di
klinik kesihatan terbabit menghantar isteri ke HSA kerana menurutnya
kandungan mengalami masalah dan memerlukan pengawasan doktor pakar,”
katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Erywan yang juga
pembantu jurutera berkata, doktor di HSA memberitahu, keadaan bayi itu
di luar jangkaan kerana kes berkenaan yang pertama berlaku di negeri ini
dan antara kes terawal di negara.
“Tetapi, saya kesal doktor dan jururawat di klinik kesihatan
terbabit tidak dapat mengenal pasti punca masalah kandungan isteri,
sedangkan menurut doktor di HSA, masalah seperti itu sepatutnya boleh
dikesan ketika kandungan berusia empat atau lima bulan.
“Hancur dan hiba hati terutama isteri sebaik melihat cahaya mata pertama
kami yang dinantikan hampir enam tahun dilahirkan dalam keadaan sungguh
menyedihkan.
“Menitis air mata kami setiap kali memandangnya yang kelihatan amat
menderita dengan keadaan otaknya di bahagian luar. “Jika doktor dan
jururawat klinik kesihatan itu dapat mengesan masalah ini dari awal,
anak saya mungkin tidak menderita. “Kini, kami berserah ke hadrat
Ilahi dengan apa juga ketentuan, namun saya merayu mana-mana pihak
terutama yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini untuk membantu,”
katanya.
Menurut Erywan, tiga hari lalu dia cuba menghubungi
beberapa pakar perubatan untuk bertanyakan mengenai masalah anaknya,
namun semuanya memberi jawapan menghampakan.
“Doktor
mengatakan kes seperti ini amat jarang terjadi dan masih menjalankan
kajian berhubung cara atau kaedah terbaik bagi menyelamatkannya,”
katanya.
Sesiapa yang ingin memberi bantuan atau mempunyai
maklumat yang boleh membantu Eyrshah Elman boleh menghubungi Erywan di
talian 017-7746696.