Zakat Fitrah adalah kewajipan yang dikenakan ke atas setiap orang yang dikira masih mempunyai makanan yang mencukupi bagi dirinya dan juga tanggungannya di Aidilfitri.
Kewajipan zakat fitrah terhadap setiap muslim dinyatakan oleh saidina Umar RA berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :
" Sesungguhnya Rasullullah SAW mewajibkan zakat fitrah daripada muslim, baik hamba atau merdeka, lelaki atau perempuan, iaitu sebanyak segantang kurma atau gandum " ( Hadis riwayat Bukhari dan Muslim ).
Dalam hadis yang lain diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, dari Abu Said Al-Khudry bermaksud :
" Ketika Rasullullah SAW berada bersama kami, kami mengeluarkan zakat fitrah untuk setiap anak kecil, orang dewasa, merdeka atau hamba sebanyak segantang makanan samada berupa keju, kurma, gandum atau anggur kering. "
Kita dapat melihat kelebihan atau faedah zakat fitrah ke atas setiap individu muslim dari 4 sudut iaitu sudut rohani, ibadah masyarakat dan ekonomi.
Kelebihan zakat fitrah dari sudut rohani :
- Sesungguhnya zakat fitrah mampu mendidik hati dan menjauhkan orang yang menunaikannya daripada bersifat dengan sifat-sifat keji seperti kedekut dan mementingkan diri sendiri.
- Sabda Rasullullah SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu Abas bermaksud :
" Diwajibkan oleh Rasullullah SAW bahawa zakat fitrah membersihkan bagi orang yang berpuasa dan memberi makan bagi orang miskin. "
Kelebihan zakat fitrah dari sudut ibadah :
- Zakat fitrah boleh menampung ibadah puasa yang mungkin berkurangan disebabkan kelakuan kita ketika berpuasa dan juga boleh menyucikan orang-orang yang berpuasa dari sifat lagha dan bercakap kotor atau keji di bulan Ramadhan.
Kelebihan zakat fitrah dari sudut masyarakat :
- Kefarduan zakat fitrah akan memberi rasa kebersamaan orang yang berpuasa terhadap saudara-saudaranya yang fakir lagi miskin. Rasa kebersamaan ini lahir apabila golongan yang fakir lagi miskin ini mampu menikmati kemeriahan hari raya sama seperti saudara-saudara mereka yang lebih berkemampuan manakala golongan pembayar zakat dapat merasa ketenangan dengan kegembiraan yang terpancar dari raut wajah golongan yang fakir ini.
- Selain itu, kefarduan ini sudah pasti akan menyucikan masyarakat daripada sifat-sifat tercela seperti hasad dengki, iri hati, dendam-mendendami, tamak, kedekut, ujub, riak dan takabbur. Akhirnya akan lahirlah keharmonian, kesejahteraan, keamanan dan ketenangan di dalam masyarakat seluruhnya.
Kelebihan zakat fitrah dari sudut ekonomi :
- Apa lagi yang dapat dikatakan tentang keadaan ekonomi apabila permintaan dalam pasaran meningkat, sudah tentu aktiviti ekonomi akan bertambah rancak dan ini sudah tentu mampu meningkatkan pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan terhadap negara khususnya. Disamping dapat membantu golongan fakir miskin memenuhi keperluan di Aidilfitri, para peniaga juga dapat kelebihan daripada kefarduan zakat fitrah ini.
- Ekonomi negara Islam sudah pasti akan berada di tahap yang baik dan dapat meneruskan momentum kenaikannya sepanjang bulan Ramadhan.
Tidak dapat dinafikan lagi bahawa zakat fitrah adalah antara unit terpenting dalam ekonomi Islam yang mampu memberi banyak kelebihan kepada masyarakat dan negara khususnya dari sudut ekonomi selain merupakan terapi rohani dan jasmani kepada masyarakat sekaliannya.
Anda sudah tunaikannya??
" Barang siapa menunaikan zakat fitrah sebelum solat hari raya maka zakat itu dterima dan barangsiapa yang membayar selepas solat, zakat itu sebagai sedekah biasa. " ( Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah) .
Kredit:
IQTISODUNA