Seorang pelajar perempuan kolej swasta diheret dari sebuah tempat
letak kereta di Sentul di sini, sebelum dirogol pensyarahnya sendiri,
pagi kelmarin. Sebelum kejadian, pensyarah berusia lingkungan 40-an berkenaan
memperdaya mangsa berjumpa di pejabatnya di sebuah kolej swasta di ibu
kota dengan alasan berbincang mengenai pelajaran, jam 9 pagi.
Sebaik mangsa tiba di biliknya, lelaki terbabit mengugut akan
menggagalkan pelajar itu dalam peperiksaan pada setiap semester jika
enggan keluar bersarapan dengannya.
Sumber polis berkata, mangsa yang bimbang dengan ugutan berkenaan
terpaksa akur, namun sebaik masuk ke dalam kereta, pensyarah itu membawa
pelajar itu ke rumahnya di Sentul. “Ketika dalam perjalanan, telefon
bimbit mangsa dirampas dan sejurus tiba di kawasan letak kereta di
kediamannya, pensyarah itu mengheret mangsa hingga ke rumahnya.
“Sebaik masuk ke dalam rumah, mangsa dipukul dan dua tangannya diikat.
Baju mangsa dikoyak sebelum dia dirogol pensyarah itu,” katanya.
Menurutnya, sebelum meninggalkan pelajar itu bersendirian, pensyarah
berkenaan membasahkan pakaian mangsa dipercayai bagi mengelakkannya
melarikan diri.
“Biarpun pakaiannya basah, mangsa tetap memakai semula pakaiannya
sebelum cuba meloloskan diri namun gagal disebabkan pintu berkunci. “Lelaki itu mengugut membunuh mangsa jika menceritakan kejadian itu kepada sesiapa,” katanya.
Sumber itu berkata, lelaki terbabit menghantar mangsa ke stesen
transit aliran ringan (LRT) di Jalan Tun Razak, di sini, sebelum sekali
lagi mengugut membunuh mangsa sekiranya mendedahkan kejadian itu kepada
orang lain. Katanya, mangsa menghubungi kakaknya sebelum menceritakan kejadian berkenaan.
Mangsa yang ditemani kakaknya membuat laporan di Balai Polis Sentul di sini, untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan
Risikan) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Arasa ketika dihubungi
mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.
Katanya,
sehingga kini masih belum ada tangkapan dibuat namun usaha mengesan
suspek giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 376/511 Kanun
Keseksaan.
Ini kejadian kedua dalam tempoh tidak sampai
seminggu membabitkan pensyarah melakukan jenayah seksual terhadap
penuntut wanita masing-masing.
Pada 29 0ktober lalu, Harian
Metro melaporkan perbuatan seorang pensyarah sebuah institusi pengajian
tinggi awam (IPTA) di Lembah Klang berusia lingkungan 50-an yang
mencabul pelajar perempuan di bilik universiti berkenaan.
Pensyarah terbabit didakwa memaksa pelajar berusia 23 tahun berkenaan
melakukan aksi ringan-ringan dengan mengumpan meluluskan pelajar itu
dalam peperiksaan.
Kredit: Harian Metro