"Ia satu kesilapan, kedua-dua gol tersebut berpunca daripada kegagalan kami membuang bola keluar dari kawasan bahaya," ujar Capello.
Kebangkitan dipamerkan para pemain England pada separuh masa kedua dengan menampilkan corak permainan pantas dan tersusun, ia sekaligus membantu mereka mengejar dan mengikat keputusan seri 2-2 namun masih gagal mencari gol ketiga kemenangan.
Gol semangat dijaringkan oleh Frank Lampard selepas pengadil perlawanan menghadiahkan sepakan penalti kepada England kerana Johan Djourou mengasari Jack Wilshere. Pemain gantian Ashley Young menyelamatkan maruah England apabila menjaringkan gol penyamaan selepas menerima hantaran cantik daripada pemain Chelsea Ashley Cole. Momentum hebat anak buah Capello tidak terhenti setakat itu sahaja apabila serangan demi serangan dilancarkan ke arah kubu lawan.
Darren Bent terlepas peluang terbaiknya untuk membantu England meraih mata penuh apabila gagal menyudahkan peluang pada minit ke-71 meskipun pintu gol sudah terbuka luas. Kedudukan 2-2 kekal hingga tamat wisel permainan antara England menentang Switzerland.
Dengan keputusan seri ini menyaksikan England menduduki tangga kedua Kumpulan G dan dibezakan tiga mata dengan pendahulu Montenegro yang mengutip 10 mata di dalam empat perlawanan.