LIGA M musim ini baru memasuki tiga perlawanan tapi gejala rasuah
sudah dikesan menyelinap dalam dunia bola sepak tempatan apabila seorang
pemain Perlis dipanggil memberi keterangan kepada Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan terhadap
dakwaan menjual perlawanan membabitkan pasukan negeri itu.
Sumber dalaman Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) memberitahu pemain
muda berusia 20-an, ditawarkan kontrak beraksi bagi musim ini, dipanggil
memberikan keterangan Sabtu lalu, selepas didakwa mempunyai maklumat
mengenai perlawanan yang menyaksikan skuad Singa Utara tumpas 2-7 kepada
Majlis Perbandaran (MP) Muar dalam saingan pertama Liga Perdana, Isnin
lalu.
Dipercayai, setakat ini, hanya pemain itu dipanggil SPRM bagi
membantu siasatan berhubung dakwaan berkenaan sekali gus menjadi pemain
pertama dikaitkan dengan dakwaan rasuah untuk musim ini.
“Pemain
itu kemudian dibenar pulang pada hari sama selepas selesai memberi
keterangan dan tidak ditahan SPRM,” kata sumber itu yang enggan
dinamakan sambil memberitahu pengurusan PFA memang tidak menafikan
kemungkinan wujudnya elemen negatif itu.
Penolong Pengurus, Hamunir Hamzah bagaimanapun berkata, setakat
ini pengurusan pasukan negeri tidak mempunyai cukup bukti untuk menuduh
atau mengaitkan mana-mana pihak dengan kewujudan gejala negatif yang
menyaksikan kekalahan ‘memalukan’ skuad Singa Utara itu.
Sila baca selanjutnya → Edisi Sukan! Titik Noda Liga Malaysia!