Anda sedar merokok akan memberikan kesan buruk pada tubuh. Merokok adalah permulaan kepada penyakit kanser, jantung dan angin ahmar. Langkah terbaik untuk menanganinya ialah dengan berhenti sahaja. Bercakap memang senang tetapi melakukannya agak sukar, kan? Tetapi lebih cepat anda berhenti, lebih mudah untuk anda memperbaiki keadaan tubuh.
Info Baik
Emma Dalglish dari Cancer Council Quessland’s Tobacco Programme memberitahu tidak ada istilah terlambat untuk berhenti merokok. Sebaik berhenti, jumlah oksigen dalam tubuh akan meningkat dan karbon monoksida yang mematikan akan beransur hilang dari pembuluh darah. Setelah setahun berhenti, risiko diserang penyakit jantung juga akan berkurangan sehingga 50%. 10 tahun kemudian, risiko kanser paru-paru akan menurun dengan drastik.
Apa yang perlu dibuat?
Buatlah sedikit jurnal dan pilihlah apa jua kaedah yang anda rasakan perlu atau sesuai (dan mampu anda lakukan) untuk berhenti. Bukan hanya memilih tetapi pastikan cara itu juga berkesan. Anda misalnya boleh mencuba dengan rawatan, pengganti nikotin atau terapi dari pakar. Ada juga orang yang berjaya dengan berhenti begitu sahaja. Yang penting, anda haruslah berusaha.