Edisi Khas Puasa! Nabi Muhammad menjamin syurga?

Oleh Kaki Wayang on

http://donmakemesad.com/room06/wp-content/uploads/2011/04/solat3.bmp

Alhamdulillah, kita terus diberi peluang menghayati Ramadan tahun ini. Kita juga harus tidak lupa mengenang jasa Rasulullah SAW yang yang mengajar kita erti Ramadan melalui kata-kata dan contoh amalan baginda. 

Dalam ruangan ini kita masih membahaskan bab keistimewaan dan kelebihan Nabi SAW. Ia terpaksa dibahaskan walaupun sebenarnya tajuk ini tidak sepatutnya jadi kontroversi. Jika dianalisis dengan insaf, sepanjang sejarah aliran-aliran yang sesat dalam Islam, jarang sekali puncanya kerana terlampau mengangkat dan melebihkan Nabi SAW. Sebaliknya mereka tersasar kerana terlampau dalam melebihkan yang lain. 

Syiah tersilap kerana terlampau melebihkan Saidina Ali. Qadiyani terkhilaf kerana melebihkan Mirza Ghulam Ahmad. Kumpulan-kumpulan Neo-Khawarij dan Neo-Mu'tazilah (Khawarij dan Mu'tazilah Moden) pula tersesat kerana terlalu melebihkan akal fikiran sendiri berbanding dengan tafsiran yang berautoriti. 

Adapun aliran tradisi, Asha'irah, Sufi atau seumpamanya yang sebenarnya merupakan majoriti ummah yang kadang-kadang dituduh tersesat kerana terlalu mengagungkan Nabi SAW.

http://www.harian-metro-online.com/wp-content/uploads/2011/08/solat.jpg

Hakikatnya sikap mereka ini menepati acuan al-Quran dan al-Sunnah. Cuma mungkin sesetengah sudut kelebihan Nabi SAW jarang dibentangkan dengan baik sehingga kedengaran aneh dan janggal bagi mereka yang jarang mendengarnya.

Ia termasuklah soal keistimewaan Nabi Muhammad dalam menjamin tanah syurga. Keistimewaan ini telah disebut oleh al-Hafiz al-Suyuti, al-Qustallani, dan al-Zurqani di dalam syarahnya bagi kitab al-Mawahib al-Ladunniyyah

Kita sedia maklum, bahawa al-iqto' iaitu menjamin tanah syurga hanya dimiliki oleh ahli tauhid dan dengan izin perkenan daripada Allah SWT sama ada melalui wahyu, ilham atau pun al-tafwidh (penyerahan) daripada Allah. Perkara sedemikian pernah diisyaratkan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya: "Aku hanyalah pembahagi, dan Allahlah Pengurnia."

Jika pepatah syurga di bawah telapak kaki ibu itu benar, mengapa tidak benar kenyataan yang menegaskan bahawa syurga itu di bawah titah Nabi Muhammad SAW? Bahkan di bawah telapak kaki baginda.

Walau bagaimanapun, maknanya adalah sama dan makruf pada sesiapa pun, meskipun bagi orang yang mempunyai serendah-rendah ilmu. Ia adalah ungkapan majazi (kiasan) yang bermaksud, untuk sampai ke syurga, mesti melalui jalan melakukan kebaikan dan berkhidmat kepada kedua ibu bapa, terutama kepada ibu. 

Jika ia dinisbahkan kepada Nabi SAW, bererti untuk memasuki syurga disyaratkan supaya mentaati, mengasihi, dan menyokong baginda. Keistimewaan ini mempunyai contoh dan asas yang amat banyak dan kita hanya akan menyebut yang terpenting sahaja. Antaranya, makna menjamin tanah syurga adalah nabi SAW menjadi penjamin masuknya sebahagian para sahabat ke syurga.

Saksi Baiah Aqabah ahli syurga

Jaminan ini diperolehi oleh mereka yang menyaksikan Baiah (Perjanjian) Aqabah. 'Ubadah ibn Somit meriwayatkan dengan katanya: "Aku termasuk di antara orang yang menghadiri Perjanjian Aqabah yang pertama. 

"Dalam perjanjian tersebut, kita membaiah Rasulullah SAW untuk tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu pun, tidak mencuri, tidak berzina, tidak akan membunuh anak-anak kita, tidak akan melakukan pendustaan besar yang kita ada-adakan di antara kita dan tidak akan menderhakai nabi dalam perkara kebaikan."

Baginda bersabda: "Jika kalian menyempurnakan baiah ini, maka bagi kalian syurga. Tetapi jika kalian mengingkari sesuatu daripada itu, maka urusan kalian diserahkan kepada Allah. Jika Dia menghendaki Dia akan menyiksa kalian dan jika Dia berkenan, Dia akan mengampuni kalian."

Disebut oleh Ibnu Kathir dalam Bab Permulaan Keislaman Kaum Ansar (Ibnu Kathir: Al-Sirah, 2:176).

Dalam Sahih Muslim disebutkan dengan tegas bahawa baiah tersebut disyaratkan dengan jaminan masuk syurga. Ubadah ibn Somit berkata: "Aku termasuk di antara pemimpin yang membaiah Rasulullah SAW."
Dia berkata lagi: "Kita membaiah Rasulullah SAW untuk tidak lagi menyekutukan Allah dengan sesuatu pun, tidak mencuri, tidak berzina, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah, kecuali dengan jalan yang hak, tidak merampas dan tidak menderhaka. Kita dijanjikan syurga jika kita melakukan perkara-perkara tersebut." 

Dalam satu riwayat disebutkan, bahawa Nabi bersabda: "Sesiapa menyempurnakan (baiahnya), maka baginya balasan syurga (Ibnu Kathir, al Bidayah wal al Nihayah, jld 3 hlm 150)."

Menurut riwayat Qatadah mereka yang berbaiah itu berkata: "Wahai Rasulullah! Apa hak kita jika kita memenuhi (baiah itu)?" Baginda SAW menjawab: "Syurga. (al-Bidayah wal al-Nihayah, 3: 162)."

Menurut riwayat Ibnu Mas'ud bahawa Nabi SAW bersabda: "Apabila kamu telah melaksanakan (baiah) itu, maka bagi kamu hak Allah dan aku untuk memasukkan kamu ke dalam syurga (riwayat Imam al Tabrani. Lihat Majma' al Zawa'id, 6: 47)."

Utbah ibn Amru al Ansari meriwayatkan, bahawa Nabi SAW bersabda: "Jika kamu melaksanakan (baiah) itu, kamu berhak atas jaminan Allah dan juga aku, untuk masuk syurga (riwayat Ibnu Abi Syaibah dan Ibnu 'Asakir. Lihat Kanz al 'Ummal 1: 67)."

Berdasarkan riwayat daripada Abu Hurairah, disebut bahawa Rasulullah pernah memberikan kedua belah capalnya kepada Abu Hurairah.

Kemudian baginda bersabda kepadanya: Pergilah kamu! Sesiapa sahaja yang kamu temui di belakang dinding ini bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah, maka gembirakanlah dia dengan syurga. (riwayat Imam Muslim di dalam Kitab al Iman).

Begitulah sebahagian perbahasan berkenaan soal ini yang akan disambung minggu hadapan dengan izin-Nya. Kesimpulan awal yang boleh dibuat di sini adalah tidak salah menerima ungkapan Nabi SAW menjamin syurga dengan kefahaman yang kita sebut di atas. Ia tidaklah bercanggah dengan tauhid kerana hakikatnya kelebihan ini tidaklah terkeluar daripada kurniaan dan kekuasaan Allah SWT.

Mengenai Penulis:

Kaki Wayang mula terlibat dan serius dalam dunia penulisan kreatif sejak tahun 2006. Beliau juga terlibat dalam penciptaan lagu dan lirik lagu Nasyid dan pernah menjulang nama Politeknik Muadzam Shah apabila menjuarai Pertandingan Lagu-lagu Patriotik di PNM, Kuala Lumpur pada tahun 2007.

Ikuti perkembangan terbaru beliau melalui @ Blog Paling Hangat! | Facebook

Comments
0 Comments

{ 0 Komen Membina!... read them below or add one }

Post a Comment