PMS Automech Racing Team Raih Tempat Ke-5!

Politeknik Muadzam Shah telah berjaya mencatat kedudukan di tempat ke-5 dari 36 jentera yang dipertandingkan merangkumi 24 institusi pendidikan IPTA dan IPTS seluruh Malaysia.

Pelajar Politeknik Muadzam Shah Cipta E-Tajwid Untuk Android!

Boleh dikatakan terdapat pelbagai aplikasi bercorak pembelajaran agama untuk para pengguna Android, dan salah satunya adalah aplikasi E-Tajwid untuk Android.

Pekan Sungai Lembing Bakal Bandar Pelancongan!

"Pekan Sungai Lembing Bakal Bandar Pelancongan" berjaya memasuki ruangan Berita Harian pada 22 Mac 2013 yang lalu.

Program Imam Muda Musim 1 Politeknik Muadzam Shah!

Sekalung tahniah kepada penganjur program yang begitu bermanfaat ini.

Malam Sejuta Bintang PMS Berlangsung Meriah!

Malam Sejuta Bintang Berlangsung Meriah

Showing posts with label khusyu dalam solat. Show all posts
Showing posts with label khusyu dalam solat. Show all posts

Betol-betol Sengal! Teman lelaki abai solat!

Oleh Kaki Wayang on

DALAM Islam untuk mencari jodoh perlu pada akhlak dan agamanya. Teman lelaki saya berakhlak baik dan bertanggungjawab tetapi dia sering mengabaikan solat. Saya sering menasihatinya dan dia boleh menerimanya, malah berjanji akan berubah. Tetapi apabila kami keluar ke mana-mana dia seperti biasa meninggalkan solat. Adakah saya perlu memutuskan hubungan dengannya atau menasihatinya kerana saya berniat apabila kami berkahwin nanti kehidupan beragamanya lebih teratur.

Apabila berlaku sebaliknya, itu yang merunsingkan saya. Mungkin selepas berkahwin dia akan memberontak dan sesuatu yang buruk akan berlaku kepada saya. 

Jawapan:

AKHLAK baik termasuk dalam kategori beragama yang dituntut Islam. Tujuan Islam ialah melahirkan insan yang benar-benar berakhlak mulia dan baik.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.”

Kisah Nabi Yusuf dalam al-Quran mengingatkan kita bagaimana baginda memelihara rohani dan jasmaninya daripada terjebak ke lembah hawa nafsu manusia.

Antara akhlak mulia yang perlu diterapkan ialah ketakwaan kepada Allah iaitu mengikut sunnah nabi, berpaling dan mengelak diri daripada hal yang tidak bermanfaat, reda dengan segala pemberian Allah dan kembali kepada Allah dalam semua perkara.

Dalam melaksanakan solat, kesedaran sendiri amat penting. Saya berpendapat teman anda seorang yang baik dan boleh diajak ke arah kebaikan namun dia perlu sentiasa diingatkan.

Solat itu tiang agama dan mendirikan solat bererti menjaga agama dan asas akhlak. Malah Ia juga asas kepada kebahagiaan keluarga.

Seorang menunaikan perintah Allah tentu lebih bertanggungjawab sebagai suami dan ketua keluarga. Sebelum mengambil keputusan sama ada untuk memutuskan hubungan atau tidak, anda terlebih dulu perlu memberitahu prinsip anda dalam memilih pasangan hidup.

Keluarga hendaklah memilih jodoh anak perempuannya daripada kalangan orang yang taat kepada agama. Saya juga ingin menasihati supaya tidak terlalu bebas bergaul dengan mana-mana lelaki sehingga boleh membawa kepada maksiat seperti keluar berdua-duaan tanpa mahram.
Sila baca selanjutnyaBetol-betol Sengal! Teman lelaki abai solat!

Betol-betol Hangat! Oh My Goodness!

Oleh Kaki Wayang on


Sudah banyak kali aku menjadi imam untuk solat fardhu..namu semalam merupakan pengalaman pertama aku menjadi imam dengan ber"makmum"kan MUALLAF..yang bestnya dia ni merupakan seorang GURU didatangkan khas dari Toronto, Kanada..ditugaskan ke Muadzam Shah bagi tujuan untuk membantu guru-guru Bahasa Inggeris memperbaiki dan memantau mutu pengajaran mereka..

Dipendekkan cerita..selepas berbuka puasa sama-sama..tibalah masanya untuk Solat Maghrib..so, aku ni sangat curious..dia ni tahu ke macam mana nak solat..dah belajar ke, sape yang ajar dia..dan macam-macam lagi..mula-mula aku nak suh dia solat sorang-sorang..tapi tetiba tergerak hati nak berjemaah dengan dia..so, takkanlah aku nak suh dia jadi imam pula kan..So, sebagai muslim sejati..dari kecik sampai sekarang walaupun ilmu masih belum cukup..aku gagahkan diriku untuk menjadi imam (walaupun sebelum-sebelum ini dah berjuta kali jadi imam)..

Macam biasa bila part Al-Fatihah dan surah pada rakaat pertama dan kedua..biasanya aku akan mengalunkan kedua-dua surah tersebut sebaik mungkin..dengan bacaan tertib dan bertaranum aku cuba selitkan dalam bacaan itu..semuanya atas sebab-sebab aku sangat sukakan taranum..suka dengan ayat-ayat suci Al-Quran..tidak ada benda lain yang paling sedap didengar melainkan bait-bait Al-Quran..

Dipendekkan cerita..dah siap solat..dah wirid dan baca doa..aku bertanyakan sesuatu (dalam Bahasa Inggeris tau) lebih kurang maksudnya..Macam mana dengan Solat? Susah ke? Bacaan macam mana?Siapa yang ajar dan macam-macam lagi..lebih kurang 15-20 minit aku luangkan masa bertanyakan soal agama kepadanya..macam-macam dia jawab..salah satunya..WOW..!!!Amazing..Oh My Goodness (perkataan selalu dia sebut untuk gambarkan sesuatu dan kagum akan sesuatu)..beautiful voice katanyer..pastu dia cakap mungkin saya perlukan 20 tahun untuk dapatkan suara seperti itu untuk mengalunkan lagu-lagu taranum Al-Quran..(dalam hati aku..kembangnye hidong akooo)..hahahahahaha..

So, aku tawarkan untuk membantu dia dalam bab agama..dan dia cakap..memang itu yang dia harapkan..dia nak belajar taranum dengan aku..walaupun pada hakikatnya aku masih belum dapat kuasai semua jenis taranum seperti Soba, Jiharkah, Hijaz dan macam-macam lagi..lupa pula nak cakap MUALLAF itu bernama Ryan Harb..

Selamat Berpuasa..dan selamat berbuka puasa petang nanti...sekarang tak leh lagi k!!!Nanti aku buat berbuka puasa..kengkawan blogger leh lah datang memeriahkan majlis..leh aku imamkan Solat Maghrib dan dengar aku bertaranum (tak sedap mana pun)..kang sedap sangat korang tertidur pula masa SOLAT!

Sila baca selanjutnyaBetol-betol Hangat! Oh My Goodness!

Edisi Khas Puasa! Nabi Muhammad menjamin syurga?

Oleh Kaki Wayang on

http://donmakemesad.com/room06/wp-content/uploads/2011/04/solat3.bmp

Alhamdulillah, kita terus diberi peluang menghayati Ramadan tahun ini. Kita juga harus tidak lupa mengenang jasa Rasulullah SAW yang yang mengajar kita erti Ramadan melalui kata-kata dan contoh amalan baginda. 

Dalam ruangan ini kita masih membahaskan bab keistimewaan dan kelebihan Nabi SAW. Ia terpaksa dibahaskan walaupun sebenarnya tajuk ini tidak sepatutnya jadi kontroversi. Jika dianalisis dengan insaf, sepanjang sejarah aliran-aliran yang sesat dalam Islam, jarang sekali puncanya kerana terlampau mengangkat dan melebihkan Nabi SAW. Sebaliknya mereka tersasar kerana terlampau dalam melebihkan yang lain. 

Syiah tersilap kerana terlampau melebihkan Saidina Ali. Qadiyani terkhilaf kerana melebihkan Mirza Ghulam Ahmad. Kumpulan-kumpulan Neo-Khawarij dan Neo-Mu'tazilah (Khawarij dan Mu'tazilah Moden) pula tersesat kerana terlalu melebihkan akal fikiran sendiri berbanding dengan tafsiran yang berautoriti. 

Adapun aliran tradisi, Asha'irah, Sufi atau seumpamanya yang sebenarnya merupakan majoriti ummah yang kadang-kadang dituduh tersesat kerana terlalu mengagungkan Nabi SAW.

http://www.harian-metro-online.com/wp-content/uploads/2011/08/solat.jpg

Hakikatnya sikap mereka ini menepati acuan al-Quran dan al-Sunnah. Cuma mungkin sesetengah sudut kelebihan Nabi SAW jarang dibentangkan dengan baik sehingga kedengaran aneh dan janggal bagi mereka yang jarang mendengarnya.

Ia termasuklah soal keistimewaan Nabi Muhammad dalam menjamin tanah syurga. Keistimewaan ini telah disebut oleh al-Hafiz al-Suyuti, al-Qustallani, dan al-Zurqani di dalam syarahnya bagi kitab al-Mawahib al-Ladunniyyah

Kita sedia maklum, bahawa al-iqto' iaitu menjamin tanah syurga hanya dimiliki oleh ahli tauhid dan dengan izin perkenan daripada Allah SWT sama ada melalui wahyu, ilham atau pun al-tafwidh (penyerahan) daripada Allah. Perkara sedemikian pernah diisyaratkan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya: "Aku hanyalah pembahagi, dan Allahlah Pengurnia."

Jika pepatah syurga di bawah telapak kaki ibu itu benar, mengapa tidak benar kenyataan yang menegaskan bahawa syurga itu di bawah titah Nabi Muhammad SAW? Bahkan di bawah telapak kaki baginda.

Walau bagaimanapun, maknanya adalah sama dan makruf pada sesiapa pun, meskipun bagi orang yang mempunyai serendah-rendah ilmu. Ia adalah ungkapan majazi (kiasan) yang bermaksud, untuk sampai ke syurga, mesti melalui jalan melakukan kebaikan dan berkhidmat kepada kedua ibu bapa, terutama kepada ibu. 

Jika ia dinisbahkan kepada Nabi SAW, bererti untuk memasuki syurga disyaratkan supaya mentaati, mengasihi, dan menyokong baginda. Keistimewaan ini mempunyai contoh dan asas yang amat banyak dan kita hanya akan menyebut yang terpenting sahaja. Antaranya, makna menjamin tanah syurga adalah nabi SAW menjadi penjamin masuknya sebahagian para sahabat ke syurga.

Saksi Baiah Aqabah ahli syurga

Jaminan ini diperolehi oleh mereka yang menyaksikan Baiah (Perjanjian) Aqabah. 'Ubadah ibn Somit meriwayatkan dengan katanya: "Aku termasuk di antara orang yang menghadiri Perjanjian Aqabah yang pertama. 

"Dalam perjanjian tersebut, kita membaiah Rasulullah SAW untuk tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu pun, tidak mencuri, tidak berzina, tidak akan membunuh anak-anak kita, tidak akan melakukan pendustaan besar yang kita ada-adakan di antara kita dan tidak akan menderhakai nabi dalam perkara kebaikan."

Baginda bersabda: "Jika kalian menyempurnakan baiah ini, maka bagi kalian syurga. Tetapi jika kalian mengingkari sesuatu daripada itu, maka urusan kalian diserahkan kepada Allah. Jika Dia menghendaki Dia akan menyiksa kalian dan jika Dia berkenan, Dia akan mengampuni kalian."

Disebut oleh Ibnu Kathir dalam Bab Permulaan Keislaman Kaum Ansar (Ibnu Kathir: Al-Sirah, 2:176).

Dalam Sahih Muslim disebutkan dengan tegas bahawa baiah tersebut disyaratkan dengan jaminan masuk syurga. Ubadah ibn Somit berkata: "Aku termasuk di antara pemimpin yang membaiah Rasulullah SAW."
Dia berkata lagi: "Kita membaiah Rasulullah SAW untuk tidak lagi menyekutukan Allah dengan sesuatu pun, tidak mencuri, tidak berzina, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah, kecuali dengan jalan yang hak, tidak merampas dan tidak menderhaka. Kita dijanjikan syurga jika kita melakukan perkara-perkara tersebut." 

Dalam satu riwayat disebutkan, bahawa Nabi bersabda: "Sesiapa menyempurnakan (baiahnya), maka baginya balasan syurga (Ibnu Kathir, al Bidayah wal al Nihayah, jld 3 hlm 150)."

Menurut riwayat Qatadah mereka yang berbaiah itu berkata: "Wahai Rasulullah! Apa hak kita jika kita memenuhi (baiah itu)?" Baginda SAW menjawab: "Syurga. (al-Bidayah wal al-Nihayah, 3: 162)."

Menurut riwayat Ibnu Mas'ud bahawa Nabi SAW bersabda: "Apabila kamu telah melaksanakan (baiah) itu, maka bagi kamu hak Allah dan aku untuk memasukkan kamu ke dalam syurga (riwayat Imam al Tabrani. Lihat Majma' al Zawa'id, 6: 47)."

Utbah ibn Amru al Ansari meriwayatkan, bahawa Nabi SAW bersabda: "Jika kamu melaksanakan (baiah) itu, kamu berhak atas jaminan Allah dan juga aku, untuk masuk syurga (riwayat Ibnu Abi Syaibah dan Ibnu 'Asakir. Lihat Kanz al 'Ummal 1: 67)."

Berdasarkan riwayat daripada Abu Hurairah, disebut bahawa Rasulullah pernah memberikan kedua belah capalnya kepada Abu Hurairah.

Kemudian baginda bersabda kepadanya: Pergilah kamu! Sesiapa sahaja yang kamu temui di belakang dinding ini bersaksi bahawa tiada Tuhan selain Allah, maka gembirakanlah dia dengan syurga. (riwayat Imam Muslim di dalam Kitab al Iman).

Begitulah sebahagian perbahasan berkenaan soal ini yang akan disambung minggu hadapan dengan izin-Nya. Kesimpulan awal yang boleh dibuat di sini adalah tidak salah menerima ungkapan Nabi SAW menjamin syurga dengan kefahaman yang kita sebut di atas. Ia tidaklah bercanggah dengan tauhid kerana hakikatnya kelebihan ini tidaklah terkeluar daripada kurniaan dan kekuasaan Allah SWT.

Sila baca selanjutnyaEdisi Khas Puasa! Nabi Muhammad menjamin syurga?

Betol-betol Hangat! Tiada alasan lagi....!

Oleh Kaki Wayang on

SEJARAH...warga kota menunaikan solat  Jumaat buat pertama kali di Surau Jumaat Al-Hidayah di Hentian Puduraya  pada 8 Julai lalu. 

Selepas dibuka pada 1976, surau di Hentian Puduraya di sini yang sekian lama berkhidmat sebagai tempat umat Islam beribadat terutama penumpang bas, kini berubah wajah. Dengan perubahan drastik hampir ‘360 darjah’, surau terbabit kini diiktiraf sebagai surau ke-71 yang dibenar melakukan ibadat solat Jumaat oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Sesuai dengan penaikta rafan itu, ia kini dikenali sebagai Surau Jumaat Al-Hidayah dan tanggal 8 Julai 2011 lalu menjadi catatan sejarah apabila hampir 500 jemaah hadir menunaikan solat Jumaat buat kali pertama. Pengurus Besar Kanan Perancangan Korporat dan Strategik, Uda Holdings Berhad, Mohd Kamaruddin Abdul Manan berkata, pengiktirafan itu signifikan kepada pihaknya dan pengurusan Hentian Puduraya dalam usaha menunaikan tanggungjawab sosial mereka kepada umat Islam yang menggunakan kemudahan terminal berkenaan.

Kemudahan yang ada:-
  • Surau di tingkat dua bangunan itu mempunyai keluasan kira-kira 900 meter persegi (termasuk ruang lobi) dan mampu memuatkan 1,000 jemaah dalam satu masa berbanding hanya 400 jemaah sebelum ini.
  • Dewan solat berhawa dingin, ia turut dilengkapi kemudahan lain yang baik dan selesa seperti tandas lelaki dan wanita, bilik loker untuk kemudahan menyimpan barang serta ruang berwuduk yang luas.
  • Televisyen LED untuk membolehkan jemaah melihat khatib membaca khutbah juga disediakan di bahagian parkir kereta yang juga boleh digunakan sebagai tempat sembahyang bagi menampung lebihan orang ramai yang datang untuk bersolat.
  • Surau berkenaan dihubungkan dengan eskalator dari tempat ruang menunggu bas dan kaunter tiket di bahagian bawahnya bukan lagi tangga yang sempit seperti dulu.
P/s: So, lepas ni dah tak de alasan lagi dah pada penumpang-penumpang atau penduduk sekitarnya dari elak tak solat Jumaat..yelaa lagipun ramai diantara kita yang cuba untuk lari dari menunaikan tanggungjawab seorang yang beragama Islam untuk Solat Jumaat..alasannya takut tertinggal bas dan macam-macam lagi..itu tak tengok lagi budak-budak melayu masuk ke Shopping Mall setiap hari Jumaat..semuanya sebab nak elak dari Solat Jumaat..so, dah ada kemudahan gunakanlah sebaik mungkin..jangan sampai Allah SWT tarik nikmat sihat baru terfikir nak solat..


Sila baca selanjutnyaBetol-betol Hangat! Tiada alasan lagi....!

Betol-betol Insaf! Tips-Tips Khusyu’ Dalam Solat

Oleh Kaki Wayang on


KHUSYU’
Khusyu‘ dalam sembahyang ialah menghadirkan hati kepada Allah SWT di dalam sembahyang. Ia merupakan hakikat batin yang sebenar-benarnya bagi suatu sembahyang. Hakikat zahirnya pula ialah perbuatan anggota seperti berdiri, membaca, ruku‘, sujud dan sebagainya. Kedua-duanya mestilah dilaksanakan dengan sempurna. Sabda Rasulullah SAW:
“Sembahyang itu dua-dua rakaat, terdapat tasyahhud pada setiap dua rakaat, kekhusyu‘an hati, bersungguh-sungguh memohon dan merendah diri serta ketenangan hati……..” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)
Khusyu‘ dalam sembahyang itu merupakan antara kunci yang penting untuk memberi kesan yang baik secara efektif kepada orang yang mendirikannya. Allah Ta‘ala menggelar mereka sebagai orang mukmin yang berjaya. Allah Ta‘ala berfirman:
“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyu‘ dalam sembahyangnya.” (Surah al-Mukminun, ayat 1-2)
Melihat kepada kepentingan khusyu‘ dalam sembahyang itu maka diutarakan di sini sebahagian tip atau panduan yang boleh digunapakai untuk memandu diri kita ke arah perlaksanaan ibadat sembahyang yang khusyu‘.

SEBELUM MENDIRIKAN SEMBAHYANG
i.  Menjaga makanan dan minuman.
 

Khusyu’ itu berkaitan dengan kerja hati. Oleh itu, hati perlu dipelihara kesuciannya dengan menjauhkannya daripada benda- benda yang haram. Sabda Rasulullah SAW:
Ketahuilah! Bahawa di dalam badan ada seketul daging; apabila ia baik, maka baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, maka rosaklah sekaliannya. Ketahuilah! Itulah yang dikatakan hati. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
ii.  Mengambil wudhu dengan sempurna supaya air mengenai semua anggota wajib serta mengingati niat.

Sebab kesempurnaan sembahyang juga terletak kepada kesempurnaan wudhu’. Diriwayatkan daripada Abu Rauh al-Kula‘ie daripada seorang laki-laki bahawa beliau pernah mendirikan sembahyang Subuh bersama Rasulullah SAW. Baginda SAW dalam sembahyang tersebut membaca surah ar-Ruum. Pada salah satu ayatnya, bacaan Baginda SAW terganggu. Lalu apabila selesai sembahyang Baginda SAW bersabda:
“Sesungguhnya bacaan kami terganggu disebabkan terdapat beberapa orang di antara kamu yang sembahyang bersama kami tidak menyempurnakan wudhu’ mereka. Oleh itu, siapa yang mendirikan sembahyang bersama kami, maka sempurnakanlah wudhu’nya.” (Hadis riwayat Ahmad dan an-Nasa’ie).
iii.  Membersihkan diri, termasuk bersugi.

 

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Jika tidak mendatangkan kesusahan ke atas umatku atau ke atas manusia nescaya aku menyuruh mereka bersiwak pada setiap kali hendak sembahyang.”  (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
iv.  Jangan sembahyang dalam keadaan menahan buang air besar atau air kecil.
v.  Jangan sembahyang dalam keadaan lapar.

Sebolehnya selesaikan atau perkemaskan segala urusan keperluan diri termasuk makan dan qadha hajat terlebih dahulu. Tujuannya ialah supaya tidak timbul kebimbangan dan ketidakselesaan ketika menunaikan sembahyang. Sabda Rasulullah SAW:
Jangan sembahyang ketika makanan (yang hendak dimakannya) sedang tersedia, dan jangan sembahyang dalam keadaan menahan buang air besar dan air kecil.” (Hadis riwayat Muslim).
vi.  Memakai pakaian yang bersih dan kemas.
Jangan memakai pakaian yang kurang selesa, seperti memakai sarung kaki yang sempit, mengikat serban terlalu ketat dan sebagainya.
vii.  Pilih tempat sembahyang yang suasananya tenteram, selesa, tidak bising dan sebagainya.

 

Termasuk langkah yang boleh dibuat, pastikan tidak terdapat telepon di dalam bilik tersebut. Atau jika membawa bersama telepon bimbit, pastikan ianya dimatikan (switch off) sebelum sembahyang.

Imam an-Nawawi rahimahullah menjelaskan bahawa makruh menunaikan sembahyang di tempat orang lalu lalang, kerana yang demikian itu boleh mengganggu kekhusyukan sembahyang seseorang. Diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar r.a.:
“Bahawa Rasulullah SAW menegah mendirikan sembahyang pada tujuh tempat: Tempat pembuangan sampah, tempat penyembelihan, kubur, tengah-tengah jalan, bilik mandi, tempat unta duduk di keliling air dan di atas Baitullah.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi).
viii.  Pastikan supaya tidak ada objek atau gambar yang boleh mengganggu fikiran atau membimbangkan hati di tempat sujud.

Diriwayatkan daripada Saidatina ‘Aisyah r.a. bahawa Nabi SAW pernah mendirikan sembahyang di atas hamparan daripada bulu yang mempunyai objek lukisan, lalu Baginda SAW:
“Objek lukisan ini mengganggu aku, bawalah ia kepada Abu Jahm dan bawakan kepadaku hamparan tebal yang tidak ada ukiran.” (Hadis riwayat Muslim).
Tersebut di dalam riwayat bahawa Abdullah bin ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma tidak pernah meletakkan al-Qur’an atau pedangnya di tempat sembahyangnya, juga tulisan atau surat. Semuanya diletakkan di belakangnya atau di mana saja yang tidak dapat dilihat olehnya.

KETIKA HENDAK MENUNAIKAN SEMBAHYANG
i.  Usahakan sembahyang dilakukan secara berjemaah.

 

Selain pahala sembahyang berjemaah itu melebihi sembahyang seorang diri dengan dua puluh tujuh darjat, ada ulama mengatakan, pada kebiasaannya orang yang sembahyang berjemaah itu memperolehi khusyu‘ ketika sembahyang dan terselamat daripada perkara yang boleh melalaikannya.

ii.  Menghadirkan hati.
Maksudnya ialah sebelum mendirikan sembahyang kosongkan hati dari segala urusan yang boleh mengganggu ataupun yang tidak ada sangkut-paut dengan ibadat sembahyang yang dikerjakan.
Abu Darda’ Radhiallahu ‘anhu berkata:
“Antara tanda kefahaman seseorang ialah dia memulai memenuhi keperluannya terlebih dahulu sebelum dia masuk menunaikan sembahyang supaya dia masuk ke dalam sembahyang dalam keadaan hatinya kosong dari perkara yang lain.”
iii.  Mengingatkan mati dan kemungkinan sembahyang itu yang terakhir sekali dalam hidupnya.
Diriwayatkan daripada Hatim al-Asham r.a. bahawa ditanyakan kepadanya tentang sembahyangnya, beliau menjawab:
“Apabila tiba waktu sembahyang aku menyempurnakan wudhu dan aku mendatangi tempat di mana di situ aku hendak mendirikan sembahyang. Lalu aku duduk pada tempat itu sehingga berkumpullah seluruh anggota tubuhku. Kemudian aku berdiri menunaikan sembahyangku dan aku jadikan Ka‘bah di antara dua keningku, titian ash-shirath di bawah tapak kakiku, syurga di sebelah kananku, neraka di sebelah kiriku, malaikat maut di belakangku, aku menyangka sembahyang ini adalah sembahyangku yang terakhir. Kemudian aku berdiri di antara mengharap dan takut, aku bertakbir dengan penuh keyakinan, aku membaca dengan bacaan yang betul, aku ruku‘ dengan merendahkan diri, aku sujud dengan khusyu‘, aku duduk atas punggung kiri dan aku bentangkan belakang tapak kaki kiri, aku tegakkan tapak kaki kanan atas ibu jari kaki dan aku ikutkan keikhlasan hati. Kemudian aku tidak tahu sama ada sembahyangku diterima atau tidak?”
iv.  Sebelum mengangkat takbir elok membaca mana-mana zikir yang boleh menjauhkan diri daripada syaitan.

Umpamanya seperti berikut surah an-Nas, ta’awudz, tahlil atau zikir. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya salah seorang daripada kamu apabila berdiri menunaikan sembahyang syaitan akan mendatanginya, lalu syaitan menimbulkan kesamaran ke atas orang itu sehingga dia tidak tahu berapa rakaat sudah ditunaikannya….” (Hadis riwayat Muslim).
KETIKA MENUNAIKAN SEMBAHYANG

i.  Meneliti bacaan-bacaan dalam sembahyang, sama ada bacaan itu terdiri dari ayat-ayat al-Qur’an atau selain daripada ayat-ayat al-Qur’an (tasbih, takbir dan doa).
Jika boleh, fahami makna bacaan-bacaan tersebut. Perkara ini amat penting untuk menghadirkan hati dalam sembahyang. Hati mestilah ikut mengetahui segala apa yang kita baca.
ii.  Merasa rendah hati dan rendah diri ketika dalam ruku‘ dan sujud.

 

Tempoh masa rukuk dan sujud pula elok dipanjangkan. Rasulullah SAW bersabda:
Seseorang hamba paling dekat dengan Tuhannya sewaktu ia bersujud….. (Hadis riwayat Muslim).
iii.  Meliputkan hati dengan kebesaran Allah dan kesucianNya ketika bertakbir dan ketika bertasbih pada seluruh gerak-geri dalam sembahyang.
iv.  Meninggalkan segala fikiran dan lintasan hati yang berkaitan dengan urusan dunia.
v.  Segala perhatian dalam sembahyang itu hendaklah tertumpu hanya kepada mendirikan dan menunaikannya dengan yang terbaik sekali.
vi.  Sembahyang dilakukan dalam keadaan tuma’ninah.

Thuma’nînah dalam ruku‘, sujud dan lain-lain rukun fi‘li (perbuatan). Thuma’ninah ertinya anggota seseorang itu tetap diam seketika ketika melakukan suatu rukun fi‘li di dalam sembahyang seperti ruku‘, sujud dan sebagainya, sebelum beralih ke rukun fi‘li seterusnya. Sekurang-kurangnya tetap diam seketika dalam tempoh pada kadar bacaan zikir: “SubhanAllah”. Maknanya, gerakan di dalam sembahyang itu tidak dilakukan dengan tergopoh-gapah, tidak dilakukan dengan bercepat-cepat tetapi dilakukan dengan tenang dan relaks. Rasulullah SAW bersabda:
“Apabila kamu berdiri menunaikan sembahyang maka bertakbirlah. Kemudian bacalah ayat al-Qur’an yang mudah bagi kamu. Kemudian rukuklah sehingga kamu berthuma’ninah dalam keadaan rukuk. Kemudian bangkitlah sehingga kamu berdiri betul. Kemudian sujudlah sehingga kamu berthuma’ninah dalam keadaan sujud. Kemudian bangkitlah sehingga kamu berthuma’ninah dalam keadaan duduk. Kamu buatlah yang demikian itu dalam semua sembahyang kamu. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
vii.  Sentiasa melihat tempat sujud sekalipun orang itu buta.

 

Sekalipun sembahyang di dalam gelap kecuali ketika membaca perkataan إلاّ الله dalam tahiyyat. Pada ketika itu pandangan orang yang sembahyang itu dialihkan ke jari telunjuknya.

Jika memejamkan mata boleh mendatangkan khusyu‘ dalam sembahyang seseorang itu, maka bolehlah dia berbuat begitu dan hukumnya tidak makruh sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam an-Nawawi.

PENUTUP
Kesimpulannya orang-orang yang takut kepada Penciptanya dan menyedari ia hanyalah hamba akan patuh apasaja yang diperintahkan dan disampaikan oleh rasul serta akan khusyuk mendapat nikmat solat seperti firman Allah SWT yang bermaksud:
“Jadikanlah Sabar dan Solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk. (Yakni) orang-orang yang meyakini, bahawa mereka akan menemui Tuhannya dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya.” [Surah Al-Baqarah : ayat 45-46].

Source: Tips Solat
Sila baca selanjutnyaBetol-betol Insaf! Tips-Tips Khusyu’ Dalam Solat