Sukar digambarkan azab yang dilalui seorang suri rumah apabila
mukanya ditekap dengan seterika panas, dipukul lebih 15 minit, lehernya
dijerut dengan selendang sebelum digantung di kipas oleh suaminya. Kejadian berlaku jam 3 pagi kelmarin di rumah pasangan terbabit di
Taman Miharja, Cheras di sini, apabila wanita berusia lewat 30 tahun
itu mempersoalkan tindakan suami mahu menceraikannya. Bagaimanapun,
mangsa bernasib baik apabila selendang yang digunakan untuk menjerut
leher dan menggantungnya di kipas siling terputus, membolehkan dia
menyelamatkan diri.
Menurut sumber, sebelum kejadian si suami memberitahu mahu menceraikannya dan menyebabkan mangsa bertanya mengapa mahu berbuat demikian.
“Bagaimanapun, tanpa diduga soalan itu menyebabkan suaminya berang
lalu mengambil seterika panas dan menekap muka mangsa. Terkejut dengan
tindakan suaminya, mangsa menangis dan meminta dikasihani.
“Namun rayuannya itu tidak diendahkan suspek yang dilaporkan menjadi lebih ganas dan memukul mangsa menggunakan tangan dan kakinya,” katanya.
Menurutnya, penderitaan mangsa tidak berakhir di situ apabila suspek yang bagaikan dirasuk syaitan mengambil selendang mangsa dan menjerut leher isterinya.
“Lebih kejam, suspek mengangkat mangsa dan menggantungnya di kipas
siling di ruang tamu sebelum menghidupkan suis kipas dan menyaksikan
isterinya terpakai-kapai meminta bantuan.
“Suspek meninggalkan ruang tamu buat sementara untuk ke bahagian lain di dalam rumah dan mujur ketika itu selendang yang menjerut leher mangsa terputus.
“Sebaik terselamat, mangsa berlari keluar dari rumahnya dan
mendapatkan bantuan saudaranya yang tinggal berhampiran sebelum membuat
laporan polis,” katanya.
Sumber berkata, mangsa dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) di sini, untuk rawatan berikutan mukanya yang melecur selain beberapa kecederaan lain di badan akibat dipukul.