Edisi Kaki Wayang! Kisah percintaan meruntun jiwa Ombak Rindu

Oleh Kaki Wayang on


Jika anda gemarkan novel, maka filem terbaru arahan Osman Ali, Ombak Rindu, yang diadaptasi dari novel wajar menjadi pilihan. Novel karangan Fauziah Ashari ini, memang terkenal dengan jalan cerita yang mengusik jiwa. Bahkan walaupun diadaptasi ke filem, Ombak Rindu masih mampu mengundang deraian air mata penonton. Kekuatan Ombak Rindu terletak pada kolaborasi pelakon-pelakonnya, iaitu Maya Karin, Aaron Aziz, Lisa Surihani dan Bront Palarae.
 
Biarpun pemilihan Maya sebagai Izzah pada mulanya, mendapat respons kurang baik dari kalangan penggemar novel tersebut, Maya akhirnya membuktikan dia mampu menampilkan watak Izzah, Seorang gadis kampung yang terpaksa melalui liku kehidupan yang tidak menjamin masa depannya.
 
Malah setiap kali 'Izzah' bermain dengan emosinya, penonton dapat merasai kesengsaraan dilaluinya, derita, sakit, gembira, bahagia serta ketulusan cinta pada suaminya Hariz.
 
Jarang sekali kita dapat melihat hero filem mengalirkan air mata jantannya. Namun dalam filem ini, heronya Aaron Aziz yang menjayakan watak Hariz, ternyata banyak bermain dengan emosi dan air mata.
 
Pendek kata, jika anda ingin melihat lakonan Aaron yang biasanya membawa watak jahat, samseng, ataupun kaki perempuan, maka Ombak Rindu adalah pilihan tepat.
 
Malah jika anda ingin melihat Aaron sebagai 'Seth' dalam drama Nora Elena, anda juga perlu menonton filem ini kerana 'Hariz' lebih meruntun jiwa. Meskipun Hariz diselubungi dengan egonya, namun terselit sifat romantik membuatkan penonton 'cair'.
 
Selain Maya dan Aaron, tampil dengan lakonan berkesan, Lisa juga tidak ketinggalan menampilkan lakonan cukup berbeza berbanding sebelum ini. Memegang watak Mila Emylia, Lisa berjaya menimbulkan rasa 'benci' penonton terhadap sikapnya yang panas baran dan degil.
 
Namun dalam antagonisnya, masih terselit perasaan halus seorang wanita yang mahu mempertahankan cintanya terhadap Hariz sehingga melenyapkan rasa benci dan menimbulkan rasa kasihan padanya.
 
Tidak kurang hebatnta dengan watak Mail, dipegang Bront Palarae. Walaupun hanya watak sampingan tapi ia memberi impak besar terhadap jalan cerita dan kehidupan Izzah dan Hariz. Cintanya ditolak mentah-mentah oleh Izzah tapi dia masih setia menunggu walaupun pada akhirnya dia menemui cinta lain.
 
Secara keseluruhannya, sinematografi cantik dengan panorama indah di Pulau Langkawi, Kuala Kerpan, Alor Setar dan Tanah Tinggi Cameron Higlands, banyak membantu menimbulkan mood romantis.
Walaupun ada beberapa babak yang 'blur' kesilapan itu boleh dimaafkan. Ditambah pula dengan keindahan lagu runut bunyi filem berkenaan yang dinyanyikan oleh Hafiz dan Adira, sehingga mampu membuai perasaan penonton.
 
Ombak Rindu mengisahkan Izzah (Maya Karin), seorang gadis kampung dijual oleh bapa saudaranya kepada sebuah kelab hiburan di Kuala Lumpur untuk dijadikan pelacur. Hariz adalah anak Datuk Sufiah, pemilik empayar perniagaan, telah membeli Izzah dari pemilik kelab tersebut untuk dijadikan perempuan simpanan,
 
Namun, Izzah merayu kepada Hariz supaya menikahinya untuk menghalalkan hubungan mereka. Hariz setuju dengan syarat Izzah tidak menuntut hak sebagai isteri.
 
Namun, Hariz akhirnya jatuh cinta dengan Izzah yang penuh dengan kelembutan. Konflik berlaku, apabila Hariz dipaksa Datuk Sufiah untuk menikahi Mila (Lisa Surihani). Hariz kemudiannya terlibat dengan kemalangan dan koma. Ketika ketiadaan Hariz, Datuk Sufiah telah menghalau Izzah keluar daripada rumah mereka.
 
Penulis kecil hati 
 
Aura filem adaptasi novel, Ombak Rindu berjaya memainkan emosi penonton, namun penulis asal naskah ini, Fauziah Ashari, tidak dapat menghayatinya kerana baginya, filem ini tidak sama seperti karya asalnya. Dalam satu sidang media selepas pratonton filem Ombak Rindu, Fauziah melahirkan rasa kesal terhadap pihak penerbitnya.
 
Menurut Fauziah, terdapat beberapa plot penting dalam novel tidak diangkat ke layar perak dan dialog yang digunakan dalam filem ini tidak seperti apa yang beliau sampaikan menerusi novelnya.
 
“Saya pada awalnya memang tiada masalah untuk membenarkan karya saya ini diangkat kepada filem. Ketika pertama kali saya dirujuk oleh mereka, saya berfikiran terbuka dan berharap ianya lebih hebat. “Tetapi setelah selesai penggambarannya, saya kesal apabila banyak yang tidak sama daripada novel. Pada saya, ‘mood’ yang saya sampaikan dalam novel tidak sama,” katanya kepada Zass.
 
Jelasnya lagi, jalan cerita dalam filem ini juga terlalu pendek dan tidak berbaloi dengan membaca novel asalnya. Malah, beliau bertambah kesal apabila tidak berpeluang bekerjasama untuk filem ini.
 
"Selepas ini kalau ada pihak penerbit yang mahu mengadaptasi novel kepada filem, ajaklah penulis sertai produksi sebagai penasihat atau penulis skrip bersama.
 
“Bukan apa, untuk mengelak daripada perkara sama berulang dan pasti masing-masing tidak selesa apabila ada masalah berbangkit,” katanya dengan nada tenang.

Mengenai Penulis:

Kaki Wayang mula terlibat dan serius dalam dunia penulisan kreatif sejak tahun 2006. Beliau juga terlibat dalam penciptaan lagu dan lirik lagu Nasyid dan pernah menjulang nama Politeknik Muadzam Shah apabila menjuarai Pertandingan Lagu-lagu Patriotik di PNM, Kuala Lumpur pada tahun 2007.

Ikuti perkembangan terbaru beliau melalui @ Blog Paling Hangat! | Facebook

Comments
0 Comments

{ 0 Komen Membina!... read them below or add one }

Post a Comment