Seorang pelajar Tingkatan Lima sebuah sekolah yang cedera selepas
terbabit dalam satu kemalangan jalan raya bulan lalu kini terlantar di
rumahnya akibat kesan trauma kejadian berkenaan.
Noraini Ismail, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Nasiruddin
Shah dekat sini mendakwa berperasaan luar biasa dan bercakap ganjil
dalam bahasa tidak difahaminya dipercayai berpunca daripada kemalangan.
“Dalam kejadian itu saya membonceng motosikal abang, Jefri Ismail
yang terbabit dalam satu perlanggaran dengan sebuah lori kecil
berhampiran persimpangan lampu isyarat di Kampung Alor Lintang pada 10
Januari lalu dalam perjalanan pulang dari sekolah. “Akibat
kemalangan itu saya terjatuh dan terhantuk kepala ke atas jalan raya dan
dimasukkan ke Hospital Besut serta tidak sedarkan diri selama 11 jam,”
katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gong Medang dekat Kampung
Raja di sini, kelmarin.
Noraini kemudian menerima rawatan lanjut di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan dan menjalani imbasan di bahagian kepala yang mendapati terdapat kesan darah beku. Menurut ibunya, Mansena Daud, 48, apabila anaknya itu menjalani imbasan kali kedua dan ketiga di hospital sama, doktor memberitahu bahawa kesan darah beku itu sudah tiada. Selepas tiga hari dirawat di HUSM, Kubang Kerian, anak keenam daripada tujuh beradik itu dibenarkan pulang ke rumah, tetapi keadaannya menjadi teruk hingga tidak dapat bercakap.
Tidak lama kemudian, dia mula bercakap
bahasa ‘ganjil’ tidak difahami yang didakwa bahasa Cina, Jepun, Korea
dan Indonesia. Mansena berkata, anaknya kemudian dimasukkan semula
ke hospital bagi rawatan seterusnya atas arahan doktor. Walaupun
berperangai pelik, katanya, Noraini kelihatan sihat dan berselera makan
serta ingatannya masih baik, namun sering mengadu sakit kepala pada
waktu malam hingga terpaksa menghantarnya ke hospital. Sementara itu
Anggota Dewan Undangan Negeri Kota Putra, Muhammad Pehimi Yusoff ketika
ditemui meminta pakar membuat kajian teliti bagi mengetahui punca
sebenar masalah dihadapi pelajar berkenaan.