Penyanyi diva terkenal, Whitney Houston
dilaporkan meninggal dunia seorang diri ketika ditemui salah seorang
rakan terdekatnya di tingkat empaat kamar hotel, Beverly Hilton, pada
jam 3.55 petang (waktu tempatan) semalam. Menurut
sumber, rakan Whitney kemudiannya menghubungi paramedik 911 yang
bergegas datang ke hotel berkenaan dan berusaha memulihkan beliau
melalui kaedah CPR namun cubaan tersebut gagal.
Paramedik 911 kemudiannya mengesahkan kematian penyanyi yang bersuara emas tersebut. Pegawai
koroner, Ed Winter, yang menyiasat kematian Whitney memberitahu bahawa
terlalu awal untuk mengenal pasti punca-punca kematian penyanyi wanita
berkulit hitam itu.
“Belum pasti,
masih diperingkat awal penyiasatan dan terlalu awal untuk memberitahu
punca kematiannya,” katanya yang dipetik dari TMZ.com.
Dalam
kejadian sebelum itu, Whitney dikatakan telah menyertai rakan-rakannya
di satu parti santai di hotel tempat beliau menginap pada malam itu dan
dikatakan dalam keadaan sihat sahaja.
Rakan-rakannya, Dionne Warwick dan Cissy Houston yang turut berada di parti itu mengesahkan perkara tersebut.
Sementara
itu, bekas suami Whitney, Bobby dilaporkan agak bingung dan sedih atas
kematian penyanyi itu serta dilihat keluar masuk di hotel tersebut
sambil menangis teresak-esak.
Pihak
berkuasa sedang berusaha untuk mendapatkan waran untuk menggeledah di
bilik hotel Whitney ditemui meninggal dunia dan para penyiasat dijangka
mencari dadah yang dikatakan menjadi punca utama kematian mengejutkan
penyanyi tersebut.
Sebelum ini,
mendiang dikatakan berhempas pulas selama bertahun-tahun untuk
menyelesaikan masalah ketagihan dadah yang agak kronik.
Whitney
dikatakan telah keluar berseronok bersama teman-temannya di Hollywood
pada malam Khamis lalu dan sempat mencapai mikrofon untuk mendendangkan
sebuah lagu yang merupakan persembahan terakhir di dalam hidup beliau.
Untuk
rekod, penyanyi di kelas yang tersendiri ini pernah menggondol dua
Anugerah Emmy, enam Anugerah Grammy, 30 Anugerah Muzik Billboard dan 22
Anugerah Muzik America ketika berada di kemuncak kariernya.
Selain
itu, beliau juga merupakan penyanyi wanita pertama yang berjaya
mengungguli Carta Billboard Amerika di kedudukan no.1 dan sebanyak 200
juta albumnya terjual di seluruh dunia. Whitney
meninggalkan seorang anak perempuan, Bobbi Kristina, hasil
perkahwinannya dengan penyanyi R&B terkenal, Bobby Brown, pada tahun
1992 sebelum berpisah pada tahun 2007.