Edisi Hangat! Kilafairy Tenggelam dek Kemunculan Artis Baru!

Oleh Kaki Wayang on


BERGELAR anak kepada penyanyi popular Rohana Jalil, pastinya ramai yang beranggapan bahawa tidak sukar buat Kilafairy untuk mencipta nama dengan begitu pantas. Pernah mendapat jolokan sebagai ‘Angelina Jolie Malaysia’ oleh segelintir peminat kerana memiliki bibir seakan-akan aktres popular itu semakin menjadi sebutan ramai apabila membawakan watak gadis gedik dalam filem sulungnya berjudul Karak pada tahun lalu.

Bagaimanapun, namanya kini seakan-akan semakin tenggelam dengan kemunculan lebih ramai pelakon baharu sama ada di kaca televisyen atau layar perak sehingga ada yang mengatakan kedudukannya sebagai pelakon mula terancam.

Pemilik nama sebenar Shakila Nisha Jahangir Khan mengakui dia terpaksa berhadapan dengan saingan pelakon baharu, tetapi tidak merasakan dirinya tergugat dengan situasi tersebut.

“Kalau melihat kepada keadaan yang berlaku sekarang ini, industri hiburan di Malaysia semakin meriah dengan kehadiran ramai artis baharu yang sangat berbakat dan ini adalah satu perkembangan yang cukup baik.

“Namun, saya rasa tidak perlu merasa cemas kerana kebanyakan artis baharu yang muncul itu juga adalah terdiri daripada kalangan rakan-rakan saya sendiri dan kami saling menyokong di antara satu sama lain,” ujar anak bongsu daripada tiga beradik ini.

Menurut Kilafairy, tidak dinafikan memang terdapat segelintir peminat yang merasakan dirinya semakin tenggelam serta dibayangi oleh ramai pelakon wanita baharu yang semakin menyerlah dan kerap mendapat liputan media.

Ujarnya, biarpun menyedari seseorang pelakon itu memerlukan publisiti untuk lebih dikenali, namun dia agak kurang gemar tampil di media sekiranya tidak muncul dalam sesuatu produk sama ada drama atau filem terbaharu. 

Bercerita lebih lanjut tentang kerjaya pula, pelakon berkenaan memberitahu dia masih lagi mendapat banyak tawaran berlakon tetapi terpaksa ditolak kerana jadualnya yang padat memandangkan kini dia juga turut menuntut di sebuah kolej.

“Selalunya kalau ada tawaran yang diterima, saya akan diberikan watak yang sudah klise seperti antagonis dan gadis gedik. Kalau ada tawaran yang sesuai pula pasti akan bertembung dengan jadual kuliah saya.

“Bukan saya mahu jadi terlalu selektif dalam memilih tawaran berlakon, tetapi saya percaya kalau hendak terus bertahan dalam bidang ini sesesorang pelakon harus bijak memilik watak yang ditawarkan,” ujarnya yang bakal muncul dalam filem Hora Hore pada tahun ini.

Pada masa yang sama, Kilafairy menegaskan buat masa ini dia mahu memberi lebih tumpuan kepada pengajiannya di peringkat Diploma Lanjutan Fesyen, Pemasaran dan Pengurusan di Kolej Antarabangsa Raffles.

Ujarnya, dalam usia yang baru menjangkau 20 tahun, dia tidak mahu terlalu terburu-buru mencipta nama dalam bidang seni dan percaya rezeki tetap ada di mana-mana dan masih banyak pengalaman yang mahu diperolehinya.

“Boleh jadi disebabkan kesibukan saya sebagai seorang pelajar, maka kemunculan saya dalam drama atau televisyen agak kurang sehingga menyebabkan ramai yang beranggapan saya semakin tenggelam.

“Ketika ini saya hanya mahu tumpukan kepada pengajian saya terlebih dahulu. Biasanya kalau saya berlakon atau membuat persembahan nyanyian pun adalah sewaktu mempunyai waktu terluang dan cuti semester,” ujarnya.

Kredit: Kosmo

Mengenai Penulis:

Kaki Wayang mula terlibat dan serius dalam dunia penulisan kreatif sejak tahun 2006. Beliau juga terlibat dalam penciptaan lagu dan lirik lagu Nasyid dan pernah menjulang nama Politeknik Muadzam Shah apabila menjuarai Pertandingan Lagu-lagu Patriotik di PNM, Kuala Lumpur pada tahun 2007.

Ikuti perkembangan terbaru beliau melalui @ Blog Paling Hangat! | Facebook

Comments
0 Comments

{ 0 Komen Membina!... read them below or add one }

Post a Comment