Kontroversi serta pergaduhan antara penyanyi, Aliff Aziz dan pelakon
seksi, Zarina Anjoulie yang terpapar di laman sosial, Twitter masih
belum reda apabila masing-masing bertindak untuk tidak mengulas lanjut. Kontroversi itu tercetus apabila Zarina Anjoulie mendakwa Aliff Aziz
telah menipunya dan meminta penyanyi Singapura itu meminta maaf atas
kesilapan yang dilakukan menerusi akaun Twitter miliknya pada minggu
lalu.
Selain itu, Zarina Anjoilie turut menghantar entri melalui Twitter
Aliff Aziz dengan seakan-akan mengugut bahawa dia ada menyimpan video
yang dikatakan mempamerkan kelakuan Aliif yang sedang mabuk. Lebih hangat lagi, dalam entri yang dihantar oleh Zarina kepada Aliff
itu juga, ada menyebut nama pelakon Anne Ngasri yang dikatakan ada
bersama Aliff.
Namun pelatun lagu Kalau Cinta itu ketika dihubungi oleh portal
murai.com.my tidak dapat menjelaskan dakwaan tersebut sebaliknya mengaku
intim berkawan dengan Anne.
“Saya tidak dapat memberi apa-apa penjelasan atau komen mengenai apa yang dinyatakan oleh Zarina dalam laman sosial tersebut.
“Bukan sebab takut atau hendak lari dari masalah, tetapi saya
perlu menjaga hati banyak pihak terutama sekali syarikat rakaman saya
iaitu Sony Music Sdn Bhd.
“Cuma saya akui, memang apa yang terjadi telah menjejaskan
reputasi saya sebagai seorang penyanyi. Namun saya akan tampil untuk
memberi penjelasan bila tiba masanya.
“Mengenai Anne pula, saya akui kini memang sedang berkawan rapat
dengannya sejak kami sama-sama dipertemukan dalam drama Antara Kita yang
bakal ditayangkan di RTM tidak lama lagi,” katanya kepada murai.com.my
Mengulas lanjut mengenai hubungannya dengan janda anak dua itu, Aliff
memberitahu Anne adalah satu-satunya teman yang sentiasa mengambil
berat tentang dirinya sejak dia membuat keputusan menetap di Malaysia
beberapa bulan lalu.
“Saya memang rapat dan serasi bila bersama Anne. Disebabkan
itu saya selesa bila bersamanya dan saya akui memang selalu berhubung
serta keluar menghabiskan masa bersama.
“Bagi saya, dialah satu-satunya teman yang mengambil berat
mengenai saya selepas syarikat rakaman saya. Dia akan pastikan saya
berada dalam keadaan yang baik.
“Dia juga banyak memberi tunjuk ajar saya tentang selok belok
indusri terutama dalam bidang lakonan yang saya baru ceburi,” luahnya
lagi.
Bercakap mengenai masa depan hubungannya dengan Anne, Aliff akui akan
menerima Anne jika telah ditetapkan Tuhan, dia adalah jodoh buatnya.
“Ibu bapa saya sangat gembira apabila melihat perubahan
positif saya selepas berkawan dengan Anne. Mereka juga turut merestui
hubungan kami.
“Mengenai jodoh, saya hanya berdoa kepada Tuhan supaya
dipertemukan dengan pasangan yang baik. Jika Anne jodoh saya,
Alhamdulillah,” tambahnya.
Aliff kini sedang dalam proses menyiapkan lebihan untuk album terbarunya yang bakal berada di pasaran pada 14 Mac depan. (Murai.com.my)