Edisi Sentap! Lelaki Uzbekistan cuba bunuh Obama

Oleh Kaki Wayang on

 
 
Seorang lelaki Uzbekistan yang tinggal di AS mengaku salah di mahkamah persekutuan negeri Alabama kelmarin kerana cuba membunuh Presiden Barack Obama. Jabatan Kehakiman AS dalam satu kenyataan memberitahu, Ulugbek Kodirov (gambar), ditangkap dalam satu operasi rahsia semasa dia cuba mendapatkan bahan letupan dan senjata.
 
Pendakwaraya AS yang mengendalikan kes berkenaan, Joyce White Vance mengucapkan terima kasih kepada komuniti Islam di Birmingham, AS, kerana membantu pihak berkuasa mematahkan ancaman Kodirov.

Kodirov, 22, mengaku salah berhubung tuduhan memberikan bantuan material bagi aktiviti pengganas, mengancam membunuh Presiden AS dan memiliki senjata api oleh pendatang asing. Dia mengaku pernah berhubung dengan "seorang individu yang dia percaya ialah anggota Pergerakan Islam Uzbekistan (IMU)," dan diarah oleh individu terbabit untuk membunuh Presiden Obama. Jabatan Negara AS menganggap IMU sebagai pertubuhan pengganas.

Kodirov juga mengaku berbincang tentang komplot tersebut dengan seorang individu lain. Individu kedua tersebut yang identitinya tidak didedahkan Jabatan Kehakiman, memperkenalkan Kodirov kepada seorang ejen perisik AS yang menyamar, bagi membeli senjata api. Mereka bertemu di sebuah motel di Leeds, negeri Alabama pada Julai 2011. Kodirov membeli sepucuk mesingan M15-A1 dan empat bom tangan sebelum ditangkap.

Dia memasuki AS dari Uzbekistan dengan menggunakan visa pelajar pada Jun 2009. Pasportnya dibatalkan pada 2010 selepas dia gagal mendaftar di sebuah pusat pengajian tinggi AS. Pemuda itu tinggal secara haram di sebuah motel di Alabama semasa ditangkap. Kodirov boleh dipenjara sehingga 30 tahun jika didapati bersalah atas semua tuduhan.

Mengenai Penulis:

Kaki Wayang mula terlibat dan serius dalam dunia penulisan kreatif sejak tahun 2006. Beliau juga terlibat dalam penciptaan lagu dan lirik lagu Nasyid dan pernah menjulang nama Politeknik Muadzam Shah apabila menjuarai Pertandingan Lagu-lagu Patriotik di PNM, Kuala Lumpur pada tahun 2007.

Ikuti perkembangan terbaru beliau melalui @ Blog Paling Hangat! | Facebook

Comments
0 Comments

{ 0 Komen Membina!... read them below or add one }

Post a Comment