Demikian luahan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mengenai insiden
lampu limpah Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah di sini yang
terpadam lebih setengah jam sehingga perlawanan bola sepak Liga Super
Terengganu melawan Kedah malam tadi tergendala.
Ahmad turut kesal dengan sikap sambil lewa pihak-pihak berkenaan yang
tidak memaklumkan kepada kerajaan negeri lebih awal mengenai apa
masalah sebenar yang berlaku membabitkan lampu limpah stadium itu.
"Ini yang buat saya marah dan masalah ini sesuatu yang memalukan.
Sepatutnya pihak yang bertanggungjawab sama ada MBKT (Majlis Bandaraya
Kuala Terengganu) atau PBSNT (Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu)
maklumkan pada kita apa masalah sebenar.
"Sampai sekarang pun tak ada pihak yang datang jumpa saya untuk beri
penjelasan sama ada PBSNT atau pun MBKT atau pihak lain untuk
menceritakan hal dan keperluan sebenar ataupun beri penjelasan kepada
Exco.
"Kita tak perlu panggil mereka yang terlibat kerana itu tugas mereka
untuk beri penjelasan kepada kita," katanya kepada pemberita selepas
mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan Negeri di sini,
semalam.
Beliau diminta mengulas suasana di stadium berkenaan yang 'bergelap'
selama lebih setengah jam apabila berlaku kerosakan teknikal pada lampu
limpah sehingga mendorong pengadil menghentikan sementara perlawanan.
Pada perlawanan antara Terengganu menentang Kedah di Stadium Sultan
Ismail Nasiruddin Shah kelmarin, lampu limpah stadium berkenaan terpadam
sejurus bermula separuh masa kedua sehingga menyebabkan perlawanan
terpaksa dihentikan lebih setengah jam.
Ahmad selanjutnya berkata, beliau pelik bagaimana masalah itu masih
berulang sedangkan sebelum ini lampu limpah itu telah dibaik pulih
dengan meningkatkan tahap pencahayaannya.
"Saya dah beritahu dulu, kalau kita nak tahu kita perlu dapatkan
maklumat teknikal, kalau kita nak pasang lampu 800 lux kita perlu pasang
lebih, kerana pencahayaan ini akan menurun dan sebaliknya.
"Tapi kita tak dapat maklumat yang sebenar, dari segi teknikal mereka
perlu beritahu kita. Kalau stadium nak pakai lampu 800 lux maka kita
kena pasang 900 lux," katanya.
Beliau tidak menolak kemungkinan perlawanan-perlawanan akan datang
yang dilangsungkan di stadium berkenaan terpaksa diadakan pada sebelah
siang sekiranya masalah itu masih berlarutan.