Edisi Simpati! Derita Hidap Kanser Tulang 20 Kilogram Di Bahu!

Oleh Kaki Wayang on

 
Akibat menghidap kanser tulang tahap kritikal, ketumbuhan seberat 20 kilogram di bahu kiri Mohd. Zulhafiz Abdul Ghani, 21, tidak boleh dibedah melainkan tangan kirinya dipotong bagi memulihkan penderitaan yang sedang ditanggung pemuda malang tersebut.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Datuk Dr. Nooraini Baba berkata, Mohd. Zulhafiz yang kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini hanya diberikan rawatan paliatif yang bertujuan mengurangkan kesakitan yang dihadapi pemuda itu.

“Rawatan paliatif ini kita berikan kepada pesakit yang menghidap kanser tahap kritikal yang tidak ada rawatan bagi memulihkan penyakit itu. Ia rawatan terakhir yang mana kita akan beri ubat tahan sakit yang dosnya di tahap paling tinggi bagi mengurangkan kesakitan Mohd. Zulhafiz.

“Tidak ada pembedahan akan dilakukan kerana Mohd. Zulhafiz telah melakukan rawatan sebelum ini di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Pelbagai rawatan termasuk kemoterapi telah dibuat dan sehingga kini keadaannya masih sama kerana Mohd. Zulhafiz menghidap kanser tulang tahap kritikal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama Majlis Belia Pahang (MBP) yang hadir melawat dan memberikan sumbangan berupa wang tunai RM1,000 kepada ibu Mohd. Zulhafiz, Supiah Yahya, 58, di HTAA di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah HTAA, Datuk Dr. Marlia Mohamad Salleh, Setiausaha Agung MBP, Azrul Khairi Muhamad dan Pengerusi Biro Wanita, Keluarga dan Masyarakat MBP, Nurasyikin Sulaiman.

Sementara itu, mengenai laporan yang memetik kenyataan Supiah sebelum ini bahawa RM20,000 diperlukan bagi kos rawatan Mohd. Zulhafiz, Nooraini menjelaskan, tiada kos rawatan yang diminta oleh HTAA kepada keluarga pemuda itu.

”Ini kerana apabila seseorang pesakit itu ditempatkan di hospital kerajaan, semuanya adalah percuma,” jelasnya.

Sementara itu, Nurasyikin berkata, MBP akan memantau perkembangan pemuda malang itu dari semasa ke semasa kerana tidak mahu dia keseorangan menanggung penyakit yang sedang dihidapinya itu.

“Kita tahu, banyak kos diperlukan terutama untuk membeli keperluan harian sepanjang Mohd. Zulhafiz berada di hospital. Kita (MBP) akan membantu dari segi kebajikan. Kalau pemuda ini perlukan lampin pakai buang, kita juga akan berikan.

“Kami juga akan terus mengumpul dana melalui program yang MBP laksanakan untuk disumbangkan kepada Mohd. Zulhafiz. Dan buat permulaan untuk hari ini, sebanyak RM1,000 kita berikan kepada ibunya,” katanya.

Mengenai Penulis:

Kaki Wayang mula terlibat dan serius dalam dunia penulisan kreatif sejak tahun 2006. Beliau juga terlibat dalam penciptaan lagu dan lirik lagu Nasyid dan pernah menjulang nama Politeknik Muadzam Shah apabila menjuarai Pertandingan Lagu-lagu Patriotik di PNM, Kuala Lumpur pada tahun 2007.

Ikuti perkembangan terbaru beliau melalui @ Blog Paling Hangat! | Facebook

Comments
0 Comments

{ 0 Komen Membina!... read them below or add one }

Post a Comment