Edisi Tips! Elak gejala tersedak susu!

Oleh Kaki Wayang on

SEJAK akhir-akhir ini, kematian bayi akibat tersedak susu atau tercekik makanan semakin banyak dilaporkan. Terbaru, bayi perempuan berusia tujuh bulan meninggal dunia dipercayai akibat tersedak susu di rumahnya di Simpang Empat, Kangar, Perlis pada 16 Februari lalu. Walaupun kes ini dianggap terpencil, ibu bapa tidak harus memandang ringan kejadian-kejadian tidak diduga ini. Pensyarah Jabatan Anatomi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Dr. Noor Eliza Hashim, menjelaskan, masalah ini berpunca daripada proses menelan makanan oleh bayi.

"Penyusuan bayi adalah satu proses yang memastikan makanan yang ditelan memasuki saluran makanan iaitu esofagus. Ia bersambung dengan perut dan kemudiannya ke usus kecil dan besar manakala saluran pernafasan (trakea) bersambung dengan paru-paru," katanya.


Beliau menjelaskan, jika trakea ini tersumbat, udara tidak akan dapat masuk ke dalam paru-paru lalu menyebabkan organ-organ di dalam badan tidak mendapat bekalan oksigen. Menurut Dr. Noor Eliza, organ seperti jantung dan otak jika tidak mendapat bekalan oksigen, tidak dapat berfungsi dan ini boleh menyebabkan kematian. Dalam keadaan yang normal, makanan yang turun dari mulut tidak akan masuk ke dalam trakea. 

"Ini kerana apabila kita menelan, struktur yang dinamakan epiglotis yang terdapat di bahagian pangkal salur trakea akan menutup salur trakea dan makanan itu hanya akan melalui saluran esofagus. Proses inilah yang dilalui bayi yang sedang minum susu," katanya. Selain itu, di dalam larinks juga terdapat kotak suara (vocal cord). Semasa bayi menangis, kotak suara ini bergetar dan larinks tidak ditutup oleh epiglotis. Oleh itu, apabila bayi diberi minum susu ketika dia sedang menangis dengan kuat, risiko untuk susu termasuk ke dalam saluran pernafasan adalah lebih tinggi.

Posisi bayi"Faktor-faktor lain yang menyebabkan bayi tersedak susu adalah posisi bayi ketika menyusu. Susu lebih senang memasuki salur pernafasan jika bayi baring terlentang," jelas beliau. Dr. Noor Eliza menjelaskan, cara kedua yang boleh menyebabkan gejala tersedak susu adalah gastroesofagial reflux. Dalam keadaan ini, susu di dalam perut akan keluar semula ke atas melalui esofagus dan kemudian memasuki saluran trakea. Ini disebabkan oleh otot sfinkter antara esofagus dan perut yang masih lemah pada bayi.

"Reflux ini lebih mudah berlaku jika bayi menyusu dalam keadaan terlentang. Jenis susu yang lebih pekat boleh digunakan untuk mengurangkan masalah reflux ini. Kebiasaannya masalah reflux akan pulih dengan sendirinya apabila bayi semakin membesar," tambahnya.

Terdapat juga kes-kes bayi lemas ketika menyusu disebabkan penyakit kongenital atau saraf yang boleh menjejaskan fungsi saluran makanan dan pernafasan. 

"Contoh penyakit kongenital seperti trakeo-esofagial fistula iaitu terdapat komunikasi di antara trakea dan esofagus. Walaupun jarang terjadi, faktor penyakit ini meninggikan risiko seseorang bayi itu untuk mengalami masalah tersedak ini," ujarnya.

Jika berhadapan dengan situasi mencemaskan ini, Dr. Noor Eliza menasihatkan berhenti menyusukan dengan segera dan tegakkan posisi bayi.

Sekiranya bayi kelihatan sukar bernafas segeralah ke hospital yang berdekatan.

Mengenai Penulis:

Kaki Wayang mula terlibat dan serius dalam dunia penulisan kreatif sejak tahun 2006. Beliau juga terlibat dalam penciptaan lagu dan lirik lagu Nasyid dan pernah menjulang nama Politeknik Muadzam Shah apabila menjuarai Pertandingan Lagu-lagu Patriotik di PNM, Kuala Lumpur pada tahun 2007.

Ikuti perkembangan terbaru beliau melalui @ Blog Paling Hangat! | Facebook

Comments
0 Comments

{ 0 Komen Membina!... read them below or add one }

Post a Comment