Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diminta melaksanakan pelarasan skim
perkhidmatan perguruan secepat mungkin selaras dengan pembatalan Saraan
Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak kelmarin.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah
itu perlu bagi membolehkan Kementerian Pelajaran mengetahui mengenai
kedudukan terperinci pelarasan tersebut.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, pengumuman Perdana
Menteri itu disambut baik oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan
Kebangsaan (NUTP) dan kira-kira 480,000 warga pendidik yang merangkumi
satu pertiga daripada jumlah keseluruhan penjawat awam di negara ini.
"Pada masa ini, kita belum mengetahui tentang perincian perubahan
pelarasan itu. Jadi, kita berharap pihak JPA dapat menyelesaikan ia
dengan segera," katanya selepas merasmikan Program Jelajah Sayang
1Malaysia Wanita UMNO di Kem Bina Negara Gunung Pulai, di sini hari ini.