BAYI yang ditemui jemaah Masjid Kampung Lamir, Pekan, subuh semalam.
Baca je Berita Harian pagi ni, terpampang artikel yang begitu menyayat hati apabila seorang bayi ditemui di sebuah masjid di Pekan pada subuh semalam. Sedih bila mengenangkan sikap manusia sekejam ini. Ikuti kisahnya dibawah.
Seorang jemaah yang baru hendak melangkah masuk ke dalam masjid awal pagi semalam, terkejut mendengar tangisan bayi yang diselimuti kain pelikat ditinggalkan di tepi pintu masjid Kampung Lamir di sini. Khasli Mohd Razali, 48, berkata beliau menemui bayi lelaki berkenaan bersama botol susu, beg plastik berisi lampin pakai buang, sekotak susu dan pakaian di sisinya.
Bimbang keselamatan bayi itu, beliau memanggil penduduk yang tinggal bersebelahan masjid untuk melihatnya sebelum imam masjid menghubungi polis. Katanya, terdapat kesan gigitan nyamuk pada muka bayi berkenaan yang mungkin ditinggalkan di situ antara dua hingga tiga jam.
“Mungkin kerana lapar, bayi itu menangis yang turut didengari seorang penduduk yang tinggal hampir dengan masjid berkenaan. “Perbuatan meninggalkan bayi yang tidak berdosa ini suatu tindakan tidak berperikemanusiaan,” katanya yang bertugas dengan syarikat membuat kenderaan di Peramu Jaya, di sini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahaya Othman berkata, bayi seberat 2.9 kilogram dan dipercayai keturunan Melayu kini ditempatkan di Hospital Pekan untuk rawatan lanjut. Katanya, orang ramai yang melihat atau ada maklumat mengenai pembuangan bayi itu diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan kes.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya.
Yahaya berkata, kejadian itu adalah yang pertama tahun ini membabitkan kes meninggalkan bayi di daerah ini, kes sama pernah berlaku dua tahun lalu.