Edisi Sentap! Ibu Negara Sesak Luar Biasa Akibat Banjir, Terowong SMART ditutup!

Oleh Kaki Wayang on

 
KEADAAN Lebuh Raya Kuala Lumpur-Seremban arah masuk ke pusat bandar raya, berdekatan Desa Petaling sesak teruk akibat penutupan terowong SMART dan Jalan Tun Razak yang terpaksa dilencongkan setelah sebuah lori rosak di Jalan Loke Yew, Kuala Lumpur, semalam. Gambar dirakamkan pada pukul 10.00 pagi.
 
Kesesakan lalu lintas yang luar biasa berlaku lagi di ibu negara, dua hari berturut-turut. Hari ini, ribuan kenderaan yang dalam perjalanan ke tempat kerja terpaksa menempuh kesesakan teruk selama berjam-jam untuk masuk ke pusat bandar dan ini kali kedua berlaku sejak semalam. Jika semalam, hujan lebat dan penutupan Lebuh Raya SMART dikatakan punca kesesakan tersebut. Hari ini pula, sebuah treler yang `tersadai’ akibat tayar pecah selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Tun Razak pula menjadi puncanya.

Kenderaan berat yang membawa muatan batu konkrit menghala ke ibu negara itu terlibat dalam kemalangan kecil dengan sebuah van sehingga menyebabkan beberapa tayarnya pecah. Kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu mengakibatkan sebilangan besar warga kota yang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas luar biasa ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.

Kerosakan yang berlaku di tengah-tengah jalan utama di ibu kota itu mengakibatkan kesesakan di beberapa jalan seperti di Lebuh Raya Sungai Besi (Besraya), Jalan Lingkaran Tengah 2 (JLT2), Lebuh Raya Maju Expressway (Mex) dan Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) menghala Kuala Lumpur.

Kesesakan itu kemudiannya melarat ke Jalan Sungai Besi, Jalan Istana, Jalan Mahameru, Jalan Tun Razak, Jalan Kuching dan Jalan Loke Yew. Keadaan bertambah buruk menjelang malam kerana treler tersebut masih tersadai dan belum dapat dialih setelah mengalami kerosakan enjin pula.

Ketua Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Rusli Mohd. Noor ketika dihubungi mengesahkan bahawa kemalangan treler itu adalah salah satu punca kesesakan teruk di ibu negara hari ini.

Beliau turut memberitahu, treler itu belum dialihkan sehingga petang ini kerana menunggu pemandu treler itu menukar tayar kenderaannya yang pecah. Akibat kemalangan itu katanya, polis terpaksa melencongkan laluan beberapa jalan raya ke Jalan Istana menuju ke Jalan Mahameru untuk memasuki ibu negara.

“Lencongan jalan dan pertambahan kenderaan di beberapa jalan raya memasuki ibu negara menyebabkan kesesakan teruk,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Penutupan terowong SMART bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan setelah banjir melanda ibu negara sejak semalam dipercayai menjadi `ibu’ kepada kesesakan luar biasa. Warga kota yang berpusu-pusu meninggalkan ibu kota sejak tengah hari ini ekoran bermulanya cuti penggal pertama persekolahan memburukkan lagi keadaan lalu lintas.

Sehingga petang ini, kesesakan lalu lintas masih berlaku di beberapa laluan masuk ke ibu negara. Sementara itu, menurut jurucakap Unit Kawalan Trafik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, kesesakan luar biasa itu ditambah dengan beberapa kemalangan kecil seperti di Jalan Kuching serta kerja-kerja penyenggaraan jalan di Jalan Sultan Ismail.
 

Mengenai Penulis:

Kaki Wayang mula terlibat dan serius dalam dunia penulisan kreatif sejak tahun 2006. Beliau juga terlibat dalam penciptaan lagu dan lirik lagu Nasyid dan pernah menjulang nama Politeknik Muadzam Shah apabila menjuarai Pertandingan Lagu-lagu Patriotik di PNM, Kuala Lumpur pada tahun 2007.

Ikuti perkembangan terbaru beliau melalui @ Blog Paling Hangat! | Facebook

Comments
0 Comments

{ 0 Komen Membina!... read them below or add one }

Post a Comment