Edisi Terkini! Susulan Kisah Suhaila - 'Doakan saya cepat sembuh'!

Oleh Kaki Wayang on


Hampir tiga tahun menderita dan sudah dua kali menjalani pembedahan, namun ia sedikit pun mematahkan semangatnya untuk pulih seperti remaja lain. Biar raut wajahnya sentiasa mengukir senyum, namun jauh di sudut hatinya, Nur Suhaila Tukijan, 15, tidak mahu melepaskan usia remajanya dengan hanya terlantar dan mengenang nasib.

Selagi masih bernafas. Ibu dan keluarga sentiasa di sisi. Sahabat dan taulan tidak putus berdoa. Selagi itu tiada rasa mengalah dalam diri. “Saat mula-mula tahu saya menghidap penyakit ini, satu perasaan menerpa diri. Bertuah atau malang? Mengapa saya? Sedih sangat apabila mengenang banyak aktiviti terbatas.

“Mujur ibu sentiasa memberi nasihat. Kakak dan adik juga tidak putus-putus memberi kata-kata nasihat, begitu juga kawan-kawan,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumah keluarganya di Pinggiran USJ, di sini.

Itulah harapan adik Nur Suhaila yang akan menjalani pembedahan Conginetal Disorder di Hospital Universiti Sharjah, Khamis ini. Suhaila bersama ibunya, Hanita Mohd Tahir akan berlepas ke Dubai jam 5 petang ini.

Anak kedua daripada tiga beradik ini adalah pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 19 di sini mahu kembali aktif dalam aktiviti sukan terutamanya bola jaring. “Selama ini, saya banyak duduk di tepi padang dan melihat kawan-kawan. Kalaupun dapat peluang, saya tidak boleh terlalu aktif.

“Hidup saya bergantung pada pil perancang. Terdetik juga, sampai bila harus begini? Sedangkan kawan-kawan seusia saya sibuk menjalani kehidupan seperti biasa, tetapi saya, hanya mampu melihat sahaja,” katanya lagi.

Berharap pembedahan kali ketiga ini akan menemui jalan penyudah untuknya dan akhirnya dapat kembali seperti biasa. “Saya harap semuanya akan kembali seperti biasa. Apabila dikenang semula saat-saat saya sakit, saya rasa seperti tiada masa depan. “Terlalu sakit. Bukan hanya tak ada selera, malah saya hanya mampu berguling di katil. Saya benar-benar berharap selepas ini perkara ini tidak berulang lagi.

Saya tidak mahu berfikiran negatif. Saya sedar, jika saya terlalu memikirkan perkara ini, pasti akan memberi impak kurang baik untuk saya. “Saya sangat berterima kasih di atas keprihatinan banyak pihak serta individu yang tampil menghulurkan sumbangan kepada saya. “Insya-ALLAH, jika diizinkan DIA untuk saya terus bernafas dan kembali sihat seperti biasa, pasti saya akan mengejar cita-cita menjadi doktor dan memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

Mengenai Penulis:

Kaki Wayang mula terlibat dan serius dalam dunia penulisan kreatif sejak tahun 2006. Beliau juga terlibat dalam penciptaan lagu dan lirik lagu Nasyid dan pernah menjulang nama Politeknik Muadzam Shah apabila menjuarai Pertandingan Lagu-lagu Patriotik di PNM, Kuala Lumpur pada tahun 2007.

Ikuti perkembangan terbaru beliau melalui @ Blog Paling Hangat! | Facebook

Comments
0 Comments

{ 0 Komen Membina!... read them below or add one }

Post a Comment