“Saya membuat rakaman semata-mata untuk diserahkan kepada polis kerana saya sudah tidak tahan melihat bayi itu kerap dikasari ibunya. Jadi, jangan kata saya bersubahat (mendera) atau tidak bertimbang rasa.”
Itu penjelasan wanita dikenali sebagai Noor yang merakam adegan seorang bayi perempuan berusia 10 bulan didera ibunya dan rakaman video itu dimuat naik dalam Internet kelmarin, sekali gus menimbulkan kemarahan orang ramai.
Harian Metro semalam menyiarkan berita mengenai adegan rakaman video berkenaan serta kenyataan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed yang kes itu berlaku Mei tahun lalu dan ia sudah disiasat polis, malah ibu terbabit sudah dijatuhi hukuman penjara 18 bulan.
Noor, 30-an, berkata, dia tidak tahu siapa yang memuat naik rakaman video itu dalam Internet dan sedih apabila sebahagian besar maklum balas pengguna Internet mengenainya menyalahkan dia kerana dianggap bersubahat apabila tidak menyelamatkan bayi itu daripada didera ibunya.
“Itu ikhtiar terakhir saya untuk selamatkan bayi berkenaan. Saya sangat sedih kerana sebelum itu sudah empat kali wanita terbabit yang juga rakan saya memukul bayinya dengan teruk termasuk menghumban ke dinding,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Petaling Jaya.