Kapten
skuad bola sepak kebangsaan, Safiq Rahim akan berlepas ke Cardiff esok
untuk menjalani ujian percubaan selama tiga minggu dengan kelab Cardiff
City.
"Ia adalah peluang yang ditunggu-tunggu. Ini adalah peluang terbaik
saya untuk menunjukkan skil bola sepak saya. Saya tahu ia adalah sukar
tetapi tiada apa yang mustahil.
"Sudah sampai masanya bagi kita untuk menunjukkan Malaysia juga
mempunyai ramai pemain bola sepak yang berbakat," kata pemain tengah
Selangor berusia 24 tahun itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh
Kelab Cardiff City 1Malaysia hari ini.
Safiq, yang merupakan kapten pasukan Malaysia ketika menentang Arsenal
dan Liverpool, berkata apa jua keputusannya, beliau berharap dapat
mempelajari sesuatu daripada perlawanan ujian percubaan di Cardiff itu
nanti dan meningkatkan prestasi permainannya ke tahap lebih tinggi.
"Sudah pasti impian saya adalah menjadi pemain pertama Malaysia beraksi
di England," kata pemain itu yang menyumbat gol hasil sepakan percuma
ketika menentang pasukan gergasi Liga Perdana Inggeris Liverpool apabila
Malaysia tewas 3-6 dalam perlawanan persabahatan di Stadium Nasional
Bukit Jalil pada Julai lalu.
Penyerang negara Safee Sali, yang kini bermain dengan pasukan Liga
Super Indonesia, Pelita Jaya menjalani latihan ujian percubaan dua
minggu pada September lalu dengan Cardiff City yang dimiliki ahli
perniagaan Malaysia, Datuk Chan Tien Ghee.
"Kami gembira dapat bersama Safiq di Cardiff selama tiga minggu. Dia
akan dijaga dengan baik dan akan diberi peluang untuk menjalani latihan
dengan pasukan pertama," kata Chan.
Beliau yang yakin Safiq akan memberi persembahan terbaik, ahli
perniagaan itu berkata: "Beliau akan dinilai sendiri oleh Malky Mackay
(pengurus Cardiff City) dan kami akan mendapatkan penilaiannya daripada
Mackay."
Sila baca selanjutnya → Betol-betol Gempak! Safiq Rahim berlepas ke cardiff City!